Sempena Hari Thaipusam tahun ini, saya berharap agar kita sama-sama dapat menghayati semangat sambutan hari perayaan tersebut bersama kaum keluarga serta rakan taulan yang menganuti agama Hindu.
Semoga sambutan Thaipusam di negara ini terus menjadi natijah daripada semangat perpaduan antara rakyat Malaysia yang sentiasa komited untuk terus hidup dalam suasana aman dan harmoni antara satu sama lain.
Selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), kita haruslah bekerjasama dan berganding bahu bagi merealisasikan kesejahteraan sosial buat semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.
Dengan anjakan paradigma di dalam diri setiap rakyat, ini akan membawa Malaysia ke satu pencapaian yang tinggi di persada antarabangsa dan terus berdaya saing.
Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang etnik mahupun agama, pasti mengharapkan masa hadapan yang lebih gemilang untuk anak-anak kita dan generasi yang akan datang.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu.
Ikhlas,
Pak Wan
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
8 Februari 2020
Leave a comment