PUTRAJAYA 3 Februari 2020 – Program Taste of Malaysia (ToM) 2020 telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan kerjasama erat serta penglibatan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun dan dirasmikan oleh TYT Dato’ Kennedy Jawan, Duta Besar Malaysia pada 31 Januari 2020 di Vision Center Hamamatsucho, Tokyo. Ia merupakan program yang pertama dalam inisiatif mempromosikan dan meningkatkan keterlihatan Program Malaysia Street 2020, yang akan diadakan mulai 8 Julai hingga 6 September 2020 akan datang.
Menurut MEDAC di dalam kenyataan media semalam, ToM 2020 bertujuan untuk mempromosi dan memperkenalkan produk makanan Halal Malaysia seperti makanan ready to eat (RTE), pes, dan bahan ramuan.
“ToM 2020 telah disertai oleh 13 syarikat tempatan dan lima syarikat pengimport produk Halal Malaysia di Jepun. Program ini juga telah dihadiri oleh lebih 100 wakil persatuan hotel, ejen pelancongan dan rantaian peruncitan daripada Jepun seperti Lawson Japan (rangkaian peruncit), New Otani Hotel, Hotel Metropolitan Villa Fountain Hotel dan Grand Nikko Hotel. Antara menu makanan yang terlibat adalah seperti laksa Sarawak, rendang, nasi lemak, asam pedas dan sebagainya.” kata MEDAC.
Tambah MEDAC, ToM 2020 telah berjaya mencatat potensi jualan sebanyak RM930,000.00 sepanjang program berlangsung. Ia juga menyaksikan Syarikat Agri Dagang Sdn Bhd telah berjaya menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Hotel Jesly Villa Co. Ltd bagi membekal pes masakan Malaysia kepada hotel tersebut dengan nilai sebanyak RM150,000.00.
“Justeru, selari dengan Teras Strategik 6: Mengantarabangsakan Perusahaaan Berpertumbuhan Tinggi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030), MEDAC menjemput semua usahawan yang mempunyai pensijilan halal untuk menyertai Program Malaysia Street 2020 dan mendaftar di portal MEDHalal.” kata MEDAC.
Untuk makluman, MEDAC dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi serta Kedutaan Besar Malaysia di Jepun akan menganjurkan Program Malaysia Street 2020 bersempena Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Ariake Garden City, Tokyo mulai 8 Julai hingga 6 September 2020. Program bertemakan “Malaysia in Japan for Tokyo 2020” ini menyediakan platform untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan membina dan mengukuh jenama halal Malaysia melalui penerokaan pasaran, pemasaran produk dan jaringan perniagaan dalam pasaran Jepun.
Leave a comment