KUCHING, 20 Februari – Yayasan Sarawak telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) kali ke-14.
Majlis penutupan PESAYA dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), semalam.
Temasya PESAYA melabuhkan tirai setelah 10 hari berkampung di Kuching dari 10 hingga 19 Februari 2023 dengan penglibatan seramai 1,131 orang atlet dan pegawai daripada 13 buah Yayasan Negeri telah mengambil bahagian dalam 15 jenis sukan yang dipertandingkan.
Yayasan Sarawak sebagai tuan rumah PESAYA ke-14 merangkul 12 pingat emas, sembilan pingat perak dan tiga pingat gangsa yang menyumbang kepada 95 mata, manakala Yayasan Sabah di tempat kedua mengutip dua pingat emas, tujuh pingat perak dan lapan pingat gangsa dengan 51 mata terkumpul dan Yayasan Johor di tempat ketiga mengutip lima pingat emas, tujuh pingat perak dan lapan pingat gangsa yang menyumbang kepada 44 mata.
“Kejayaan dan kejuaraan bukanlah semata-mata menjadi hasrat utama kita tetapi ia lebih kepada memupuk semangat silaturahim dan setiakawan sesama Yayasan Negeri yang telah lama dibina mampu kita perkukuhkan.
“Pada masa yang sama, perkara yang paling penting adalah kemampuan kita memupuk semangat integrasi nasional antara tiga wilayah yang telah bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia,” kata Abang Johari.
PESAYA dianjurkan secara dwitahunan di mana setiap yayasan negeri akan diberi peluang untuk menjadi tuan rumah secara bergilir-gilir.
PESAYA pertama kali dianjurkan oleh Yayasan Sabah pada tahun 1991 dan penganjuran PESAYA seterusnya bakal diadakan di Kelantan dengan Yayasan Kelantan Darulnaim sebagai tuan rumah seperti mana yang telah dibincangkan oleh wakil ahli jawatankuasa pada mesyuarat teknikal PESAYA pada 5 Januari 2023 lepas.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli.
- PT. Eka Mas Republik (MyRepublic) Celebrates Double Recognition at ACES Awards
- Hong Kong’s premier ink art event UOB Art in Ink Festival returns this December, fostering art inclusivity
- Arbor Partners With Japanese Aomori Prefecture To Unveil A New Japanese-French Culinary Feast
- Beloved Disney ∙ Pixar Characters Come to Life as 10 FURRY NICE Collectible Furry Friend Sets at 7-Eleven
- Anglo-Chinese School Students Crowned as the Grand Winner of the Samsung Solve for Tomorrow 2024 Competition
Leave a comment