AMKesihatan @ My LNA

Tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di Malaysia

73
Gambar Ameba Naegleri Fowleri di bawah mikroskop (Sumber CDC USA)

29 DISEMBER 2022 – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah maklumkan bahawa sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di Malaysia.

Bagaimanapun beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan mengambil langkah-langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti berkaitan air tawar seperti berikut;

1. Elakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ;

2. Elakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari oleh ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus;

3. Mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air; dan

4. Segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher (neck stiffness) secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti di dalam air.

Terdahulu, sebuah laporan berita dalam media massa bertarikh 27 Disember 2022 yang melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria Fowleri di Korea Selatan. Sebagai makluman, Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) telah mengesahkan bahawa seorang lelaki warga Korea Selatan yang berusia lingkungan 50-an meninggal dunia pada 21 Disember 2022 selepas dijangkiti ameba Naegleria Fowleri. Lelaki tersebut dilaporkan telah menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember 2022 yang lalu.

Naegleri Fowleri merupakan ameba termofilik atau dikenali juga sebagai  organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta juga dalam tanah. Walau bagaimanapun, ia tidak ditemui dalam air masin seperti di lautan.

Ameba Naegleri Fowleri tersebut juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Ianya berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar. Namun, sehingga kini tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.

Ameba Naegleri Fowleri ini boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary moebic Meningoencephalitis (PAM), yang seterusnya boleh membawa maut. Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah. Gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher (neck stiffness), kekeliruan (confusion), kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling (lack of attention to people and surrounding), sawan, halusinasi, dan koma juga boleh berlaku.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNASekuriti Makanan @ My LNASukarelawan @ My LNAUTAMA

Mahasiswa UM menyelamat sayur dan buah-buahan

Menurut laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAUTAMA

Formula Surcaj Lewat Bayar Bil Elektrik TNB Yang Tular Adalah Salah

Oleh : JomCheck Tular di media sosial tuduhan bahawa Tenaga Nasional Berhad...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat di Seram, Indonesia

Satu kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 telah berlaku di Seram, Indonesia...