AMPertahanan @ My LNA

ATM digesa lebihkan perhatian terhadap isu pencabulan kedaulatan oleh China di Laut China Selatan

297

LABUAN, 27 September- Komitmen berterusan kerajaan menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperlukan bagi memastikan tentera China tidak sesuka hati mencerobohi sempadan dan perairan negara di Laut China Selatan.

Datuk Rozman Isli

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, China kebelakangan ini agak aktif menjalankan aktiviti ketenteraan dan penguatkuasaan maritim di Laut China Selatan hingga menganggu aktiviti perikanan serta industri minyak dan gas negara.

“Kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus mengambil serius situasi ini dengan memperkukuhkan aspek ketenteraan di sempadan kita khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.

Sudah berkali-kali kita dengar alasan China mengenai tindakan mereka itu untuk ‘menjamin hak, kepentingan dan kedaulatan Negara China’ tetapi bagaimana dengan hak serta kedaulatan Malaysia?”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Rozman, siri pencerobohan berulang kali sejak tahun 2013 itu dapat dilihat menerusi laporan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), membabitkan 23 kes di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sepanjang tahun lalu.

“Kerajaan harus menunjukkan bahawa kita peka dan cakna soal keselamatan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan dengan lebih tegas, kita tidak boleh lagi berdiam diri dengan hanya melihat dari jauh segala tindakan pihak lain yang telah mencabul kedaulatan wilayah kita.”

Tambah Rozman, situasi di Laut China Selatan dijangka semakin tegang susulan kunjungan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taiwan.

Ditambah lagi dengan kunjungan beberapa anggota Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang dijadualkan Disember ini sekaligus dikhuatiri bakal meningkatkan lagi ketegangan tersebut.

“Kita dapat saksikan tentera China People’s Liberation Army (PLA) telah mengadakan lima latihan ketenteraan bersenjata di perairan Laut China Selatan antara 27 hingga 31 Julai lalu, beberapa hari sebelum kunjungan Pelosi ke Asia.

Susulan itu, Amerika Syarikat pula menghantar kapal perang USS Ronald Reagan ke Laut China Selatan.”

Rozman turut mengingatkan kerajaan dan ATM supaya mengambil serius termasuk memantau perkembangan yang berlaku di Taiwan kerana situasi itu akan turut memberi impak dI Laut China Selatan.

China juga katanya dikhuatiri akan terus meningkatkan aktiviti ketenteraan di sekitar Laut China Selatan termasuk di kawasan milik Malaysia serta kawasan-kawasan yang masih dalam pertikaian.

“Kebimbangan semakin meningkat ekoran laporan beberapa aktiviti China di Laut China Selatan sejak beberapa minggu lalu menunjukkan jet milik China sering melakukan pintasan terhadap pesawat lain.

Terbaru, sebuah pesawat milik Tentera Udara Australia telah dipintas secara berbahaya oleh jet China hingga membahayakan pesawat dan nyawa anak kapal tersebut.”

Rozman juga berkata, perkembangan itu menunjukkan Malaysia harus siap sedia khususnya patrol koordinasi Laut, Udara dan Darat bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya konflik tercetus di Laut China Selatan.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga harus memastikan hal itu tidak mencetuskan kegusaran buat pemegang taruh di Laut China Selatan seperti nelayan dan pemain industri minyak dan gas negara.

“Kelewatan penghantaran enam unit kapal tempur pesisir (LCS) tidak boleh dijadikan alasan untuk Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) untuk mengambil sikap tunggu dan lihat di Laut China Selatan.

Ini kerana selain siri pencerobohan di perairan negara, ketegangan di Selat Taiwan turut memberi impak terus kepada Laut China Selatan yang dijangka semakin tegang pada bulan mendatang,” tegas Rozman.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...