Pelancongan @ My LNA

Permohonan Geran Padanan dibuka kepada pengusaha hotel taraf 1 dan 2 Bintang

226

25 Mei 2022 – Permohonan Geran Padanan sebanyak RM30 juta bagi tujuan pembaikan Inap Desa (Homestay) dan Hotel Bajet telah dibuka kepada semua pemohon mulai 1 April 2022 dan dilanjutkan tarikh tutup pada 15 Jun 2022 kepada semua pengusaha hotel bajet yang telah diberikan penarafan 1, 2 dan 3 Orkid di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Bagi memberi ruang lebih ramai pengusaha hotel mengambil peluang menyertai usaha Kerajaan untuk memulihkan semula industri pelancongan negara, Kementerian ini telah bersetuju untuk turut membuka permohonan ini kepada pengusaha-pengusaha hotel yang bertaraf 1 dan 2 Bintang yang telah diberi penarafan oleh MOTAC.

“Pemberian geran ini bakal memanfaatkan sebanyak 641 buah hotel lagi yang sebelum ini dibuka kepada hotel bertaraf Orkid yang berjumlah sebanyak 648 buah. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Hotel Bajet yang layak memohon geran ini adalah berjumlah sebanyak 1,289 buah. Pemberian geran ini bertujuan untuk memberi peluang sama rata dan membantu pengusaha-pengusaha hotel bertaraf 1 dan 2 Bintang membaik pulih premis mereka yang telah terkesan akibat COVID-19 yang melanda seluruh negara agar dapat menawarkan kemudahan dan fasiliti yang terbaik kepada pelancong sama ada domestik atau antarabangsa.

Tarikh tutup permohonan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Kepada Hotel Bajet dan bertaraf 1 dan 2 Bintang di bawah MOTAC bagi tahun 2022 adalah diselaraskan kepada sehingga 15 Jun 2022. MOTAC menyeru semua pengusaha hotel yang layak untuk segera mengemukakan permohonan geran yang ditawarkan ini. Maklumat lanjut seperti Garis Panduan Permohonan, Borang Permohonan dan lain-lain maklumat boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC di www.motac.gov.my/geran-padanan.” kata MOTAC dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemberian geran itu diharapkan dapat pengusaha hotel untuk terus kekal berdaya saing bagi mempromosikan premis-premis mereka untuk menarik lebih ramai pelancong datang menginap.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles