Alam Sekitar @ MY LNAAM

Integriti hutan wajar dipelihara – Puan Sri Shariffa Sabrina

403

Baru-baru ini timbul isu di mana Kerajaan Pahang bakal memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil di atas dua kenyataan beliau yang didakwa berunsur fitnah mengenai aktiviti pembalakan di negeri itu.

Semalam pihak kami berkesempatan menemubual beliau bagi mendapatkan pandangan, penjelasan dan pendapat beliau berkenaan kes tersebut dan juga berkenaan alam sekitar secara amnya.

Terima kasih kepada Puan Sri kerana sudi meluangkan masa.

Apakah solusi Puan Sri cadangkan dalam isu-isu yang dibawa tentang alam sekitar?

Pertama sekali, Perlembagaan Negara patut digubal sekarang untuk merangkumi dengan khususnya perlindungan, pemeliharaan & pemuliharaan alam sekitar. Tidak masuk akal jika pentadbiran negara sekarang memberikan alasan remeh yang gabungan parti mereka memerlukan mandat 2/3 untuk melaksanakan pengubalan Perlembagaan Negara. Mana-mana ahli parlimen, parti, sama-ada kerajaan atau pun daripada pembangkang yang berpandangan jauh akan menyokong artikel “ perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar “ sebagai sesuatu yang amat diperlukan sekarang tanpa mengira ideologi parti mereka.

Aspirasi politik ini lah yang sekarang tidak dapat dilihat dalam mana-mana parti politik sama-ada diperingkat negeri atau pun negara. Kerajaan juga patut mengishtiharkankan Darurat Iklim di Malaysia dengan segera dan mengunakan pengishtiharan ini untuk membatalkan lesen-lesen pembalakan, perlombongan, perladangan dan pembangunan disemua negeri di Malaysia sehingga akta dan undang-undang yang mesra alam yang setampil dapat digubal dan dilaksanakan.

Jika ini dapat dibuat, Banjaran Titiwangsa dan banyak lagi banjaran-banjaran dan kawasan sensitif alam akan dapat dilindungi dan dikekalkan untuk generasi yang akan datang. Perlu diingati bahawa, habitat yang dilindungi dengan secara langsung akan memberi nafas baru kepada proses melipat kali gandakan populasi spesis haiwan-haiwan liar negara yang dikini diambang kepupusan.

Pada pendapat Puan Sri, apakah contoh terbaik atau contoh yang wajar dikaji/diikuti sekiranya pembalakan itu perlu dilakukan ?

Daripada membincangkan contoh jenis pembalakan yang wajar dikaji, lebih baik kita terus ke sikap Jabatan Perhutanan dan Pentadbiran Negeri yang tidak ikhlas atau langsung tidak mempedulikan pemelestarian alam sekitar. Perlu disoal jika elemen rasuah, perlumbaaan mengejar kekayaan secara haram dan penguatkuasaan yang lemah mempunyai dorongan yang kuat dalam kelulusan-kelulusan pembalakan diMalaysia.

Teknik pembalakan yang paling “ state of the art “ pun tidak akan berguna jika kualiti-kualiti yang disebut diatas bermaharajalela dalam hal kelulusan pembalakan dan penguatkuasaan undang-undang. Setelah sekian lama pembalakan dilakukan dengan alasan menukar kawasan berhutan semula jadi kepada ladang hutan, berapa ratus ribu hektar kah yang sekarang dibalak secara mampan dan penanaman semula dijalankan untuk pembalakan kitar semula kawasan yang telah matang pokok-pokoknya ? Oleh itu, saranan atau pengesyoran sesuatu teknik pembalakan adalah suatu pembaziran masa.

Apakah kepentingan hutan terhadap alam sekitar?

Terlalu banyak sangat kepentingan hutan terhadap alam sekitar tetapi yang paling penting adalah berikut yang memberikan impak besar terhadap kehidupan harian rakyat negara

  • Sekuriti kekal bekalan air bersih
  • Sekuriti kekal agen-agen pendebunggan ( polinators ) untuk bekalan makanan sayur-sayuran, buah-buahan dan madu
  • Sekuriti kekal benteng fenomena pemanasan dunia dan perubahan iklim.

Mengapa integriti hutan wajar dipelihara?

Kerana disebut didalam kitab Al-Quran dan kitab-kitab ugama-ugama utama di Malaysia. Pemberian pencipta tidak sepatutnya dimusnahkan untuk ketamakkan manusia.

Bolehkah Puan Sri berkongsi semua latarbelakang tuduhan sehingga kena saman ?

Apa yang saya boleh kongsikan dengan media anda adalah, tuduhan-tuduhan ini tidak berasas. Kerajaan mana-mana negeri diMalaysia sepatutnya dengan terus turun ke padang, berjumpa dengan rakyat dan memberikan penjelasan kepada rakyat dan bukannya menghantar surat saman kepada yang berani menyoal mereka.

Adakah tidak kerabat raja yang sah terlibat dalam isu balak ?

Ini adalah satu soalan yang jawapannya rahsianya diketahui umum. Tidak perlu saya memperjelaskan penglibatan Kerabat Diraja. Mungkin pihak media anda boleh menjalankan “ online poll “ untuk mendapatkan jawapan dan pendapat umum dalam soal ini. Sertakan juga soalan tambahan seperti “ patutkah Kerabat Diraja terlibat dalam perniagaan seperti pembalakan dan perlombongan “ jika soalan pertama dijawab dengan “ Ya “ oleh pembaca anda.

Siapakah NGO lain yang menyokong dibelakang Puan Sri?

Semua NGO alam sekitar, sosial dan ramai orang awam menyokong aspirasi dan perjuangan saya dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam ( PEKA – pekamalaysia.org ) yang telah saya pimpin selama lebih satu dekad sekarang.

Bilakah tarikh bicara akan diadakan dan siapakah peguam Pn Sri?

Saya tidak tahu tetapi – adalah amat diharapkan supaya Kerajaan Negeri Pahang sedar kesilapan mereka dan membatalkan notis saman mereka kepada saya. Penyesalan dan perbetulan sesuatu yang salah oleh Kerajaan Negeri Pahang akan akan menunjukkan pentadbiran negeri itu adalah satu kerajaan yang prihatin terhadap kehendak semasa masyarakat yang telah memberikan kuasa pentadbiran kepada mereka.

Perlu dijelaskan disini juga, Malaysia adalah negara ahli Majlis Hak Asasi Manusia ditahap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tindakan menyaman aktivis-aktivis yang lantang memdedahkan kelemahan pentadbiran tidak sepatutnya diikuti dengan tindakan undang-undang untuk menutup mulut mereka yang berani memperjuangkan kelangsungan alam sekitar.

Apakah pesanan Puan Sri kepada aktivis/pencinta alam sekitar yang lain yang mengikuti isu ini ?

Sudah tiba masanya untuk anak-anak muda masa depan negara untuk bangkit menyoal mereka yang menjalankan pentadbiran dan pengurusan alam sekitar tanpa mengira daripada parti mana mereka ini berasal. Jika tidak disoal, Malaysia akan kehilangan kebanyakan hutan-hutan negara sebelum tahun 2030 dan kehilangan ini tidak akan dapat diganti balik. Jangan hilang semangat atau berasa takut apabila amaran, intimidasi dan pemerasan dilakukan mengunakan tindakan makamah untuk menutup mulut anda dalam perjuangan mempertahankan khazanah alam kita.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...