Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia Bantu Dapatkan Akses Internet

167

14 Oktober 2021- Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia akan ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL kepada para pelajar dan Keluarga Malaysia untuk tempoh selama enam bulan sehingga 15 April 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata inisiatif oleh pihak Kerajaan ini adalah bagi membantu golongan remaja dan para pelajar memperoleh akses Internet dan mereka yang kurang berkemampuan, memiliki peranti pintar mampu milik.

“Pakej Remaja Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah. Dengan hanya RM10/sebulan (Dibayar untuk tiga bulan/RM30), mereka akan mendapat data 20GB (Gigabyte – merujuk kepada kapasiti storan data), untuk tiga bulan.

“Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari Internet. Manakala, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data.

“Bagi data 20GB pula, ianya boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video ataupun permainan dalam talian. Ia boleh membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan kebolehan untuk hiburan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya, Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma.

“Teknologi VoLTE ini membolehkan pengguna menikmati panggilan yang berkualiti tinggi di rangkaian 4G. Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.

“Saya berharap melalui penyerahan pakej-pakej ini kepada para pelajar/remaja dan golongan kurang berkemampuan, ianya bukan sahaja dapat membantu mereka menikmati kesalinghubungan yang lebih baik bahkan juga memanfaatkan sebaik mungkin pakej-pakej berkenaan untuk meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *