Ekonomi @ My LNAPelancongan @ My LNA

Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi (T-Rec) 2021-2022 : LADA kenalpasti inisiatif

179

LANGKAWI 16 September 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi pertama projek rintis bagi pembukaan sektor pelancongan domestik yang boleh mula dikunjungi bagi mereka yang memenuhi kriteria SOP yang ditetapkan. Seluruh Keluarga Malaysia, termasuk mereka yang berada di negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara boleh datang ke Langkawi, kecuali bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut MOTAC melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Kerajaan juga sedang meneliti dan mempertimbangkan beberapa lagi bentuk kelonggaran tambahan bagi aktiviti pelancongan selain daripada destinasi yang termasuk dalam inisiatif gelembung pelancongan seperti destinasi bukan pulau.

Mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan untuk mewajibkan semua pengunjung menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent), MOTAC menyambut baik perkara ini bagi menjamin keselamatan serta kesihatan Keluarga Malaysia yang akan berkunjung ke Pulau Langkawi bermula pada 16 September ini.

“Pelancong perlu menjalani proses saringan serta ujian pengesanan di lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas ke Langkawi.

Keputusan yang dibuat ini adalah berdasarkan perkembangan semasa serta penilaian risiko yang dibuat oleh pihak KKM sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlakunya penularan pandemik COVID-19.” kata MOTAC.

Dalam pada itu, berhubung Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi (T-Rec) 2021-2022 pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) juga telah mengenalpasti beberapa inisiatif yang telah digariskan merangkumi 3 fasa seperti berikut:
• Fasa 1: Destinasi Pelancongan Selamat;
• Fasa 2: Meningkatkan aktiviti promosi di peringkat domestik dan global; dan
• Fasa 3: Mencapai Pemulihan Ekonomi.

MOTAC juga telah menyediakan pelbagai promosi tiket penerbangan, penginapan serta pakej cuti penjawat awam dan pesara kerajaan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan.

“Selain itu, LADA akan turut membangunkan platform atas talian Market Place, melalui laman sesawang http://greatsales.naturallylangkawi.my/. Ia menyediakan platform untuk mempromosi pakej dan menjual pelancongan dengan harga yang menarik serta menggalakkan pembelian pakej atas talian.

LADA turut melaksanakan pembukaan Hotline yang menyediakan talian khas bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan pertanyaan umum mengenai pelancongan Pulau Langkawi, SOP dan lain-lain. Ia akan beroperasi mulai pada 16 September 2021, dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam selama tujuh (7) hari seminggu. Dua talian telah dikhaskan bagi tujuan tersebut iaitu 04-9600 888 dan 04-9600 889.” jelas MOTAC.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pagi ini bagi menyambut ketibaan kumpulan pelancong domestik pertama yang menaiki pesawat boeing 737-800 MH1432 menggesa kepada orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke pulau tersebut supaya menjadi pelancong yang bertanggungjawab dengan mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan.

“Ini bagi memastikan Pulau Langkawi kekal selamat dan seterusnya Kementerian dapat membuka lebih banyak lokasi pelancongan dalam menyemarakkan lagi sektor ini serta membantu penggiat industri yang terjejas.” ujarnya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles