Ekonomi @ My LNA

Fadillah turun padang periksa pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak

200

11 September 2021 – Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof  pada hari ini turun padang buat kali kedua dalam tempoh satu bulan, bagi memeriksa sendiri pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak. Ini susulan dari aduan rakyat berhubung prestasi pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sarawak khususnya di antara Sarikei ke Bintulu.

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya melalui satu hantaran di Facebook rasminya, selepas meninjau laluan Pan Borneo di Zon Utara antara Bintulu ke Miri pada 14 dan 15 Ogos lalu, hari ini beliau meninjau keadaan pelaksanaan projek LPB di Zon Tengah iaitu antara Sarikei ke Bintulu. Tinjauan tertumpu di Zon Tengah Sarawak yang merangkumi Pakej Kerja (Work Package Contract – WPC) 06, 07, 08 dan 09 di Sarikei, Sibu dan Bintulu.

“Tinjauan ini adalah sebagai langkah proaktif Kementerian Kerja Raya untuk bekerja bersama rakyat melalui tinjauan tapak dan sesi libat urus, bagi memastikan pelan mitigasi pemulihan ekonomi pelaksanaan Projek LPB Sarawak berkesan dan berimpak tinggi.

Pemantauan yang dibuat bertujuan meneliti prestasi keseluruhan, kualiti pembinaan serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan pemimpin tempatan. Antara isu yang diteliti adalah kekangan pelaksanaan dan penyenggaraan serta keberkesanan pelan mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

Fokus tinjauan kali ini ialah Pakej Kerja Pembinaan (WPC) 06 – Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor, sepanjang 64 kilometer, WPC 07 – Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua (76 kilometer), WPC 08 – Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip (63 kilometer) dan WPC 09 – Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu Airport (65 kilometer). Sehingga 25 Ogos 2021 prestasi pelaksanaan keseluruhan WPC ini adalah 70.83 peratus.” kata Fadillah.

Tambah beliau, selaras dengan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) terbaharu bagi sektor pembinaan seperti peningkatan kapasiti pekerja dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi secara berperingkat, ia berupaya menyuntik peningkatan positif terhadap prestasi pelaksanaan projek yang kini terganggu akibat penularan wabak Covid 19.

“Kualiti penyenggaraan semasa pembinaan di jajaran Sibu ke Bintulu turut dikenalpasti untuk ditambah baik dengan segera. Ini termasuk pembaikan berkala di kawasan lencongan trafik (traffic diversion), penambahan papan tanda jalan dan lampu tunjuk arah di kawasan kritikal selaras dengan piawaian Road Safety Audit dan Traffic Management Plan yang ditetapkan.

Memandangkan kerja-kerja pembinaan masih berjalan sehingga Projek LPB Sarawak siap sepenuhnya, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda jalan dan had kelajuan khususnya di sepanjang kawasan pembinaan. Sebarang aduan serta pertanyaan berhubung kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan bagi Projek LPB Sarawak bolehlah dimajukan melalui telefon, laman web serta media sosial Kementerian Kerja Raya dan JKR Sarawak.” ujarnya.

Rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisyen apabila keseluruhan Projek LPB Sarawak siap sepenuhnya dijangka paling awal pada September 2022. Selain itu projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada sektor pembinaan dan pembangunan kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi khususnya pusat-pusat komersial dan perindustrian serta mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Belanjawan 2025 : KPDN mulakan siri dialog bersama pemain industri peruncitan

KUALA LUMPUR 16 Julai 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos...

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPertanian @ My LNA

LPNM & UMPSA tandatangan MOU, jalin kerjasama strategik untuk industri nanas

PAHANG – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman...

Biz @ My LNABM @ MY LNAEkonomi @ My LNA

Peruntukan RM2.5 Juta kepada Angkasa Biayai Program Pembangunan dan Pendidikan

PUTRAJAYA, 16 Julai 2024 – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan dana sejumlah...