30 JUN 2021 – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah memaklumkan bahawa Malaysia mendapat pengiktirafan dengan menempa nama di antara 10 negara teratas yang mempunyai komitmen tinggi dalam bidang keselamatan siber menerusi laporan Global Cybersecurity Index 2020 yang merupakan hasil kajian yang dilaksanakan oleh International Telecommunications Union (ITU) di 194 negara seluruh dunia.
Menurut Saifuddin dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Malaysia beroleh skor sebanyak 98.06 dan sekaligus meletakkan negara pada kedudukan kelima bersama Rusia dan Emiriah Arab Bersatu di peringkat global manakala di peringkat Asia Pasifik, Malaysia berada pada kedudukan kedua selepas Republik Korea dan Singapura yang berkongsi skor yang sama.
“Pencapaian ini lebih baik berbanding tahun 2018, di mana negara berada pada kedudukan kelapan.
Skor Malaysia adalah berdasarkan kepada lima petunjuk prestasi utama agenda keselamatan siber 2020 ITU iaitu Perundangan (20.00), Teknikal (19.08), Organisasi (18.98), Pembangunan Kapasiti (20.00) dan Kerjasama (20.00). Kebolehupayaan Malaysia untuk menduduki tempat teratas dunia adalah melalui skor penuh melibatkan tiga komponen iaitu Perundangan, Pembangunan Kapasiti dan Kerjasama. Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan, iltizam, serta kesediaan Kerajaan dalam menyediakan khidmat kepakaran, advokasi dan kesiapsiagaan dalam bidang keselamatan siber.” kata Saifuddin.
Tambah beliau, dalam aspek pembangunan kapasiti, Malaysia menyediakan program-program latihan kemahiran teknikal dan kompetensi serta persijilan profesional melibatkan domain keselamatan siber.
“Menerusi Skim Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Bertauliah Global (Global ACE Certification Scheme) serta kolaborasi bersama sektor awam, swasta, industri dan juga institusi pengajian tinggi, Malaysia berupaya untuk menghasilkan golongan profesional keselamatan siber bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara.
Melalui Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP), negara diiktiraf untuk melatih peserta dari negara ASEAN dan juga Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).” kata beliau.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Malaysia juga aktif dalam mengukuhkan kerjasama menentang keganasan siber di peringkat global melalui pelbagai platform antarabangsa antaranya ASEAN-CERT, ASEAN Regional Forum (ARF), Confidence Building Measures (CBM), Council for Security Cooperation in the Asia Pacific (CSCAP), Budapest Convention, United Nations (UN) Counter-Terrorism Committee Executive Directorate (CTED), Asia Pacific Computer Emergency Response Team (APCERT), Organisation of Islamic Cooperation – Computer Emergency Response Team (OIC-CERT), PERTAMA serta Forum of Incident Response and Security Teams (FIRST).
“Jalinan kerjasama turut dimeterai bersama rakan serantau ASEAN seperti Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Cambodia, Thailand dan Vietnam serta United Kingdom, Korea, Itali dan juga Australia.
Dalam hal ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama-sama Cybersecurity Malaysia (CSM) komited untuk terus memperkasa dan melestari prasarana serta ekosistem keselamatan siber agar terus mampan dan berdaya saing demi mencapai aspirasi membawa Malaysia ke arah pendigitalan dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.” ujar beliau.
- Bend so you don’t break
- New Directions East Asia 2024: Exploring the Transformative Role of Language Assessment on Education and Society
- Get Wild about the Festive Season with ChristmasVille Furry Monsters Unleash Holiday Fun at Pacific Place and Starstreet Precinct
- UFC® FIGHT NIGHT MACAU at Galaxy Macau A Thrilling Night of Fights Set for Galaxy Arena on November 23
- HKPC Wins Gold Award in Government PR Category at 20th China Golden Awards for Excellence in Public Relations
Leave a comment