KUALA LUMPUR 11 JUN 2021 – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerima dengan terbuka keputusan laporan insiden LRT Laluan Kelana Jaya pada 24 Mei 2021 yang lepas yang telah dibentangkan kepada Kabinet oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ir. Wee Ka Siong pada 9 Jun 2021.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan warga kerja Prasarana, kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini. Kami amat sedih kerana kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun dan menerima dengan terbuka keputusan laporan awal insiden yang telah dibentangkan,” kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Hjh. Norlia Noah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Kata Norlia pada mulanya kedua-dua OCC dan Hostler mematuhi kesemua prosedur operasi standard atau SOP yang berkenaan.
“Namun demikian, liputan radio komunikasi yang tersekat-sekat dan kelewatan perkhidmatan telah memberi tekanan yang tinggi bagi mereka untuk menggerakkan tren yang dipandu manual secepat mungkin dan ini secara tidak langsung telah menjadi antara punca SOP tidak dipatuhi sepenuhnya.” jelasnya.
Sejajar dengan lima (5) cadangan penambahbaikan jangka pendek yang perlu dilaksanakan dalam masa tiga (3) bulan, Prasarana juga telah mengambil beberapa langkah segera berkaitan sistem keselamatan, operasi, tenaga kerja dan penyelenggaraan rel untuk mempermantapkan lagi SOP untuk perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang beroperasi secara automatik tanpa pemandu.
Langkah-langkah segera yang telah diambil dan berkuatkuasa mulai 30 Mei lepas adalah:
- Menetapkan keperluan dua Hostler bagi segala pemanduan tren manual untuk jajaran di bawah terowong untuk LRT Laluan Kelana Jaya antara stesen Pasar Seni dan Damai.
- OCC dan Hostler diwajibkan memastikan arah pergerakan tren yang dipandu adalah betul, tanpa sebarang kesangsian dan rasa ragu-ragu.
- Membuat tambahan zon perlindungan atau ‘Manual Route Reservation (Automatic Train Protection) Buffer Zone’ kepada tren-tren yang terputus hubungan bagi memastikan tren berhenti pada jarak yang lebih jauh.
- Pergerakan tren-tren secara manual dihadkan dengan kelajuan maksima pada hanya 20 km sejam.
- Buletin Keselamatan telah dikeluarkan secara kerap dan berkala beserta penerangan semula tentang aspek keselamatan dan SOP kepada semua tenaga kerja Prasarana.
- Mempergiatkan latihan tindakan kecemasan mini atau ‘Mini ERP Exercise’ untuk dijalankan pada setiap Ahad malam dengan penekanan kepada senario ‘menyelamat tren yang terputus komunikasi dan pemanduan tren manual’ bagi memantapkan lagi keupayaan staf dan sistem yang digunakan terutama yang melibatkan kawasan yang sukar diakses seperti terowong bawah tanah dan jejambat (‘viaduct’).
“Latihan ‘mini ERP’ ini sebenarnya telah berjalan sejak dahulu dan dilaksanakan dengan pelbagai fokus mengikut keperluan keadaan dan untuk mengendalikan pelbagai bentuk kecemasan. Akan datang, program latihan akan diselaraskan dengan kolaborasi pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk memantapkan dan meningkatkan kemahiran staf dalam menyelamatkan tren yang berhadapan dengan cabaran di dalam terowong dengan berpandukan kepada SOP yang dipertingkatkan ini,” kata Norlia.
Di samping itu, Prasarana turut menyediakan bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan perbelanjaan lain yang berkaitan kepada para penumpang yang terlibat dengan insiden tersebut. Prasarana turut menyediakan khidmat kaunseling yang dijayakan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi para penumpang dan keluarga mereka. Temujanji untuk perkhidmatan ini boleh dibuat menerusi Talian Krisis dan akan disediakan selama mana ia diperlukan. Sehingga hari ini, seramai 73 orang telah tampil untuk menerima bantuan segera wang ihsan.
“Prasarana turut akan memberi laporan berkala tentang pelaksanaan cadangan penambahbaikan khususnya cadangan jangkapendek untuk segera memulihkan sepenuhnya keyakinan terhadap perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang amat penting untuk urusan harian warga kota. ” tambah Norlia.
- Bend so you don’t break
- New Directions East Asia 2024: Exploring the Transformative Role of Language Assessment on Education and Society
- Get Wild about the Festive Season with ChristmasVille Furry Monsters Unleash Holiday Fun at Pacific Place and Starstreet Precinct
- UFC® FIGHT NIGHT MACAU at Galaxy Macau A Thrilling Night of Fights Set for Galaxy Arena on November 23
- HKPC Wins Gold Award in Government PR Category at 20th China Golden Awards for Excellence in Public Relations
Leave a comment