BM @ MY LNAHKHM2024Pendapat @ My LNAPerpaduan @ My LNAUTAMA

Kisah Perpaduan

522

Oleh Pak Tua

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu aku mula menjadi seorang pemandu GRAB. Demi kelansungan hidup, pekerjaan aku di dunia glamor tidak menjanjikan kesenangan apabila ia dipenuhi dengan persaingan kotor demi untuk kekal relevan dalam dunia tv dan filem. Untung sebelum ini aku pernah menjadi pemandu E-Hailing di bawah platform UBER. Kini Uber tidak ada lagi dan di ambil alih sepenuhnya oleh GRAB. Aku kembali memandu beratus ratus kilometer dan menjadi kumpulan yang setia menanti giliran di sebuah tempat menunggu khusus untuk pemandu GRAB dan E-Hailing yang lain di KLIA untuk menanti giliran sebelum mendapat pelanggan yang kebiasaannya hadir dengan upah yang agak tinggi.

Tempat menunggu ini agak selesa kerana ia ada kantin, meja dan tidak kurang ada yang melepak dalam surau yang ada di dalam bangunan itu. Di sini aku menyedari bahawa pemandu GRAB ini tidak tertumpu kepada golongan satu-satu bangsa yang terdesak akibat tekanan ekonomi . Ramai juga pemandu india dan cina yang ada di sini. Pemandu melayu sudah tentu yang paling ramai. Mata aku liar melihat mereka yang menunggu giliran di panggil. Sambil menunggu mereka berbual sama sendiri. Mengupas pelbagai isu semasa ataupun berkonsi keluh kesah masing-masing dalam meneruskan kehidupan.

Jelas kita masih mengekalkan perpaduan yang harmoni di mana setiap meja mereka berkumpul tidak berpuak-puak. Setiap meja akan ada campuran antara bangsa india, melayu dan cina. Oleh kerana mereka ini kebanyakkannya daripada golongan marhain maka mereka berbahasa melayu antara sesama mereka. Ada yang gelak ketawa, ada yang serius kawannya mengoreng cerita dan tidak kurang yang baru mengenalkan diri dan berkonsi cerita pengalaman mereka sepanjang menjadi pemandu e-hailing. Aku juga suka berkonsi ragam penumpang yang aku bawa kerana pemandu e-hailing secara lansung menjadi duta kecil kepada pelancong yang datang ke Malaysia. Ada beberapa secerita yang suka aku konsikan bagi menggambarkan kekuatan perpaduan antara bangsa yang ada di Malaysia.

Kisah 1

Aku dahulukan kisah ini kerana ia memberi tamparan hebat kepada aku tentang siapa kita? siapa acuan kita? Bagaimana kita di didikkan?Aku mendapat seorang pemuda India yang aku kira dia berumur dalam lingkungan pertengahan 20an. Kebiasaannya aku tidak akan mulakan perbualan selain daripada memberi ucapan salam kerana ramai penumpang mahukan perjalanan yang senyap tanpa perbualan. aku akan memasang lagu yang sesuai dengan kadar perlahan agar penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan. Pemuda india ini memulakan perbualan dengan bertanyakan adakah kerja aku ini sepenuh masa ataupun sambilan . Bila aku ceritakan yang aku seorang penulis dan kajian aku di pengaruhi oleh kajian aku tentang Pendita Zaaba dia menjadi teruja. Dia mula bertanyakan banyak soalan tentang falsafah dan budaya. Dia mendengar dengan tekun dan sekali sekala dia turut memberikan pandangannya. Aku menjadi kagum bukan kerana perbualan yang berlansung antara kami. Aku sehingga lupa bahawa aku sedang berbual dengan seorang pemuda india. Kefasihannya berbahasa melayu menjadikan aku begitu selesa dan hanpir terasa bagai tiada jurang pemisah antara kami. Setelah berapa ketika barulah aku tahu  bahawa dia sedang pulang bercuti kerana belajar di England. Perbualan kami menjadi rancak dan berbalas balas soalan. Pemuda itu lebih banyak bertanyakan soalan dan aku cuba menjawab dengan sebaik mungkin. Dalam perbualan yang panjang itu aku lansung tidak terasa masa berjalan dan akhirnya aku sampai ke distinasi untuk menurunkan pemuda india itu. Aku kira aku lihat dia mungkin daripada keluarga yang sederhana. Mungkin M40. Bagai nak terkeluar biji mata aku apabila melihat rumahnya seperti mahligai dengan beberapa kenderaan mewah yang ada di sekitar rumahnya itu. Dia yang bagai berat untuk turun daripada kereta sambil mengucapkan terima kasih dengan beradab sekali. Aku cuba meminta akaun Facebook kepadanya untuk dijadikan kawan dalam alam maya namun dia berkata yang dia tidak mempunyai sebarang akaun media sosial kerana telah terdidik oleh ayahnya yang tegas dan berdisiplin untuk terdedah dengan media sosial yang dilihatnya lebih membawa pengaruh buruk daripada baik. Di rumahnya hanya ibunya bercakap tamil dengan dia. Dengan bapanya dia bercakap dalam bahasa inggeris. dengan adik beradik yang lain dan pembantu rumah, dia bercakap menggunakan bahasa melayu. Kenangan itu membuatkan aku kagum dengan cara bapanya membesarkan dia sekeluarga. Dia lebih kelihatan seperti seorang budak Malaysia yang mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi daripada kebanyakan pemuda tempatan yang pernah aku jumpa. Termasuk pemuda melayu.

Kisah 2

Peristiwa kali ini membuatkan aku kagum kepada satu susuk tubuh wanita cina yang aku sambut di KLIA. Mulanya aku keliru yang dia kelihatan seperti wanita berusia 40an namun setelah dia memulakan perbualan barulah aku mendapat tahu dengan rasa curiga bahawa dia sudah berumur 60an. Daripada perbualan itu yang juga berlansung dengan menggunakan Bahasa Melayu yang dituturkan oleh dia dengan fasih bahawa dia baru sampai daripada Taiwan setelah selesai tugasnya sebagai bidan yang menjaga wanita yang baru lepas bersalin. Bila dia memberitahu upah yang dia dapat daripada kerjanya aku percaya bahawa dia adalah seorang yang professional. Tugasnya yang paling singkat 1 bulan boleh mencecah puluhan ribu. Pernah paling lama 6 bulan. Aku tak bertanya pula bagaimana dia menguruskan visanya. Aku lebih tertarik untuk mengetahui bagaimana boleh kelihatan begitu muda dan daripada mana dia belajar ilmu perbidanan. Yang lebih menghairankan aku adalah cerita pengalaman yang dia lemparkan kepada aku begitu mirip dengan budaya perbidanan orang melayu. Secara ringkasnya dia mengatakan bahawa di besarkan oleh keluarga melayu setelah ibu bapanya maut dalam peristiwa 1969. Ibu melayu yang membesarkannya adalah seorang bidan kampung yang mempunyai ilmu perbidanan yang tinggi. Ibu dan bapa angkatnya membesarkan dan menyekolahkan dia di sekolah cina. Setelah ibu bapa angkatnya meninggal dunia, dia memencilkan diri daripada keluarga angkat kerana perebutan harta. Bagaikan jatuh di timpa tangga dia dikecewakan oleh kekasih hatinya yang berkahwin dengan pilihan keluarga. Dia nekad tidak berkahwin dan mendalami ilmu perbidanan. Lebih mencurigakan apabila dia berkata bahawa dia ada 4 orang anak. Semua anaknya itu adalah anak angkat. 2 lelaki 2 perempuan. Semua anak itu mempunya cerita sendiri. Ada yang dijanjikan ketika dalam kandungan ada juga yang diambil daripada keluarga susah. 2 anaknya berbangsa cina, seorang india dan seorang berbangsa indonesia. Yang hebatnya semua anaknya itu berjaya ke menara gading. Kini dia tinggal dengan anaknya yang berbangsa Indonesia kerana yang lainnya telah berumahtangga. Dia mendapat kebahagian yang dia mahukan. Dia puas berjalan tapi kebanyakkannya di negara Asia. Dia pernah juga di ke England. Ada harta sendiri. Setelah sampai di rumahnya aku melihat anaknya yang berbangsa Indonesia itu menyambutnya. Jelas nampak pada wajah anak daranya itu berwajah orang Indonesia. Sebelum dia turun dia menunjukkan kad pengenalannya. Mungkin dia mahu membuktikan bahawa dia tidak menipu. Nampak pada kad pengenalannya itu dia lahir pada tahun 1955. Ketika itu aku membuat UBER pada tahun 2018. Santun dia mengucapkan terima kasih. Anaknya tersenyum gembira melihat ibunya selamat sampai daripada luar negara.

Kisah 3

Kisah yang ini pula aku lupa berlaku bila. Rasanya sebelum wabak covid 19 melanggar dunia. Ketika seorang pemuda cina menaiki kereta aku daripada Port Dickson untuk aku hantarkan ke KLIA dia memberi salam kepada aku lalu dia bertanyakan aku sihat ataupun tidak. Aku kagum kerana jarang aku melihat seorang pemuda cina yang sangat fasih lontaran Bahasa Melayunya. Aku bertanyakan adakah dia seorang muslim? Dia menidakkan dan mengatakan bahawa dia mahu pulang ke Palembang. Rupanya dia adalah seorang cina yang berbangsakan Indonesia. Satu perkara yang aku faham tentang indonesia. Mereka mengamalkan asimilasi. Maknanya semua orang indonesia itu sama. Cuma dibezakan mengikut etnik. Di mana mereka tinggal maka mereka akan menjadi seperti orang di tempat itu. Melihatkan aku terperanjat dengan kefasihannya berbahasa melayu maka dia mengubah telo bahasanya kepada bahasa indonesia. Aku pun mula bertanyakan pelbagai perkara kepadanya. Dia mengatakan bahawa sudah ada banyak perubahan kepada kaum cina di Indonesia. Datuknya memakai nama Indonesia. Begitu juga dengan bapanya. Tetapi dia telah menggunakan nama cina. Generasinya telah di benarkan menggunakan nama cina. Namun dia tidak pandai berbahasa mandarin. Di Indonesia tiada sekolah khusus menggunakan Bahasa Mandarin. Katanya itu adalah satu pengkhianatan kepada negara. Namun dia suka cara Malaysia yang mengamalkan integrasi. Di Malaysia dibenarkan mengamalkan adat dan budaya asal. Cuma pandangan anak muda mengenai sekolah vernikular hanya akan menipiskan sifat kebangsaan ataupun nasionalis seseorang terhadap negaranya. Sepanjang di bercuti di Port Dickson dia kagum melihat keharmonian dan perpaduan yang wujud antara sesama bangsa yang berbeza di Malaysia. Dia merumuskan beberapa faktor yang telah mengikat secara semulajadi perpaduan yang ada di Malaysia. Pertama adalah makanan. Kedua adalah bahasa. Apabila mereka bersama sesama bangsa mereka bahasa bangsa akan digunakan dalam perbualan. Apabila sesama bangsa ini bercampur antara melayu,India,Cina ataupun etnik yang lain maka Bahasa Melayu akan menjadi pilihan secara semulajadi. Pemuda itu berpandangan bahawa adalah satu kerugian kiranya perpaduan yang sudah sekian lama wujud ini akan terhakis dan terhapus suatu hari nanti. Aku yang melopong mendengar luahan dan pandangannya itu telah dijelaskan olehnya bahawa dia adalah seorang graduan dalam bidang antrapologi di sebuah univesiti terkenal di England. Aku hanya menyambut dengan Oooo panjang. Aku turunkan dia di aras perlepasan KLIA 1. Terasa amat singkat pertemuan itu.

Dalam pengalaman aku menjadi pemandu, hanya bahasa yang dapat mengikat aku dengan pelanggan yang aku bawa. Ada banyak sangat cerita. Baik cerita sedih mahupun cerita yang mencuit hati. Mungkin fitrahnya kita jenis suka bercerita. Melalui mendengar cerita, bahasa juga yang menjadi perpaduannya. Adalah satu kelebihan jika kita pandai banyak bahasa. Maka kayalah kita dengan perbualan dan pengalaman daripada mereka yang di luar lingkaran kita. Umpama menjadi pengembara tanpa keluar pergi ke negara orang lain. Pernah aku berbual dengan satu pasangan muda daripada Perancis dan mereka suka sangat dengan lagu pop ye ye yang aku pasang. Dalam perbualan aku bersama mereka dalam bahasa Inggeris aku kagum melihat pengetahuan mereka tentang sejarah Malaysia tidak kurang hebatnya. Jika dengan orang tempatan sudah tentu hanya bahasa melayu menjadi perantaraan dan perpaduan antara aku bersama pelanggan aku. Aku pernah dapat tips yang paling tinggi dengan seorang pelanggan lelaki cina yang 20 tahun lebih tua daripada aku. Puas aku menahan gelak melihat kelucuan dia dalam kepayahan dia berbahasa melayu. Namun dia tetap berusaha berbahasa melayu kerana seronok sangat berbual. Topik kami ketika itu hanya pasal anak dan cucu. Dia sangat gembira sambil ketawa terbahak-bahak. Namun jika tiada perpaduan. Tidak kira siapa bangsa yang ada dalam kereta aku walaupun orang itu adalah bangsa aku sendiri. Kesombongan akan menjadi tembok pemisah antara dua manusia sepanjang perjalanan. Ketika itu kami hanya akan diam seribu bahasa.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...