AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNA

Hikmah Mengingati Kematian Dari Perspektif Islam

177
Gambar hiasan : sunnah mengingati kematian.

Oleh: 1Siti Jamilah Mohd Sukri dan 2Nadiah Mohd Noor

Setiap insan yang bernyawa pasti akan menemui kematian dan bakal meninggalkan dunia yang fana ini tidak kira pangkat, status atau darjat yang dimiliki. Persoalannya, bersediakah kita untuk menghadapi saat-saat ini? Lebih-lebih lagi kematian merupakan rahsia Allah SWT yang tidak mempunyai amaran mahupun tanda sebelum ianya menjemput. Bagi umat Islam terutamanya, beriman dengan qadha’ dan qadar adalah salah satu rukun iman yang wajib diimani. Salah satunya ialah kematian yang dirahsiakan oleh Allah SWT. Allah SWT merahsiakan kematian untuk menguji tahap keikhlasan seseorang individu dalam melaksanakan sesuatu amalan soleh sama ada dikerjakan semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya atau ada niat tersembunyi disebaliknya. Namun, tidak bermaksud bahawa seseorang Muslim tidak dibenarkan berniat untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan demi mengubah nasib hidup atau mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Namun, alangkah beruntungnya, jika seseorang individu berniat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT terlebih dahulu dalam mengerjakan sesuatu amalan. Ianya berupaya menjadi satu benteng supaya terus ikhlas dan tekun dalam memastikan sesuatu pekerjaan dilakukan secara terbaik.

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW iaitu:

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khattab RA, ia berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal itu bergantung pada niatnya dan setiap orang hanya mendapatkan apa yang diniatkannya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Barang siapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ditujunya.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Antara intipati hadis ini ialah betapa peri pentingnya untuk menjaga niat agar tidak terpesong daripada landasan yang benar. Hanya diri sendiri yang mengetahui ketulusan niat yang terpendam disebalik sesuatu perbuatan dilakukan. Malah, melalui niat sahaja Allah SWT boleh menilai sejauh manakah kepolosan hati seseorang individu. Masakan tidak, Allah SWT tidak pernah menilai hambanya berdasarkan paras rupa, status, harta atau pangkat untuk mendapatkan syurga Allah, tetapi penilaianNya semata-mata melalui ketulusan hati yang paling ikhlas dalam menggapai keredhaanNya. Oleh itu, tidak keterlaluan untuk ditekankan bahawa, keadilan agama Islam itu jelas iaitu, sesiapa sahaja berhak untuk mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT walaupun memiliki kedudukan sosial terendah selagimana hatinya terpaut dengan ajaran Islam yang benar seperti termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW merupakan qudwah hasanah yang terbaik bagi sesiapa yang ingin mendapatkan kebahagiaan kehidupan di dunia dan di akhirat. Setiap apa sahaja yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW pasti ada hikmah kebaikan buat mereka yang berfikir. Lebih-lebih lagi Allah SWT telah memukjizatkan Rasulullah SAW sebagai maksum iaitu, bersih daripada sebarang dosa.

Antara sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan oleh baginda iaitu, sentiasa mengingati kematian dan memohon keampunan daripada Allah SWT walaupun baginda sendiri sudah dijamin kedudukan syurga tertinggi oleh Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307).

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sangat melazimi amalan istighfar sebagai tanda kecintaan dan kesyukuran kepada Allah SWT.

Hikmah yang boleh diambil daripada sunnah mengingati kematian ialah berupaya menjadi benteng pertahanan seseorang individu daripada melakukan perbuatan- perbuatan tercela yang ditegah oleh syariat Islam. Hal ini demikian kerana menyedari hakikat bahawa kematian boleh menjemput pada bila-bila masa sahaja. Bahkan, boleh terjadi dalam keadaan tidak bersedia. Bagi individu yang menyedari hakikat ini, akan sedaya upaya mempersiapkan diri dengan menggandakan amalan soleh dengan harapan akan pulang ke ‘negeri’ akhirat dalam keadaan kaya dengan amal soleh.

Jika kita soroti sejarah umat Islam terdahulu, kekuatan empayar Islam ketika zaman para sahabat, Uthmaniyyah, Umaiyyah, Abbasiyyah, dan Andalus kerana memiliki pemimpin yang soleh dan takutkan azab Allah SWT. Masakan tidak, kita menyaksikan kemunculan pejuang-pejuang Islam yang sanggup menggadaikan nyawa demi menegakkan syiar Islam seperti Salahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Muhammad Al- Fateh. Tidak dilupakan juga sifat keadilan dan integriti dalam menguruskan harta negara seperti yang ditonjolkan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang mampu membawa empayar Bani Umaiyyah di puncak kegemilangan.

Keperibadian Khalifah Umar Bin Abdul Aziz sendiri dipengaruhi oleh sifat serta akhlak yang baik daripada keturunannya sendiri terutamanya diwarisi daripada sifat ayahnya iaitu, Gabenor Abdul Aziz. Beliau telah dilantik menjadi khalifah setelah kemangkatan Khalifah Sulaiman ibn Abdul Aziz. Beliau mempunyai sifat yang zuhud serta sentiasa mengingatkan para pemimpin dan rakyat supaya sentiasa mengingati kematian dan bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Selain itu, beliau telah sedaya upaya menggalas tanggungjawab sebagai khalifah dengan adil dalam memastikan semua kebajikan rakyat dapat ditunaikan kerana bimbang akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat. Disebabkan oleh sifat zuhud yang dimiliki oleh Khalifah Umar, telah mendorong beliau untuk berhati-berhati dalam mentadbir pentadbiran Bani Umaiyyah terutamanya dalam mengendalikan harta kerajaan agar dapat diagihkan dengan saksama demi pembangunan ummah pada ketika itu. Pengamalan sifat integriti ini telah meletakkan Empayar Islam Bani Umaiyyah dalam satu kedudukan yang berprestij melebihi empayar barat yang lain.

Malangnya, zaman berganti zaman, umat Islam semakin ketandusan pemimpin yang benar-benar soleh untuk memakmurkan masyarakat di bumi Allah. Lebih mendukacitakan apabila keruntuhan tamadun Islam disebabkan oleh tangan pemimpin umat Islam sendiri yang terlalu leka dengan hiburan melampau dan sehingga membiarkan budaya hedonisme semakin membiak. Rentetan ini, telah membawa kepada amalan pecah amanah, tidak berintegriti dan culas dalam menguruskan pentadbiran negara dalam kalangan pemimpin-pemimpin di jabatan kerajaan sehingga menyebabkan kebangkitan rakyat. Oleh yang demikian, keadaan yang kucar-kacir ini telah menyebabkan pihak luar mulai campur tangan dan mengatur strategi berkomplot menjatuhkan empayar Islam lalu digantikan dengan pucuk kepimpinan sekular.

Peluang ini boleh diibaratkan seperti ‘pucuk dicita ulam mendatang’ dan ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ yang sudah lama mengintai peluang untuk menakluki tanah jajahan empayar Islam.

Sehingga hari ini, kita menyaksikan keizzahan kepimpinan Islam semakin mundur dan semakin tandus. Buktinya, umat Islam di Palestin di ratah hidup-hidup oleh tentera Zionis kerana tidak ada pembelaan daripada mana-mana kuasa besar dunia. Tidak dinafikan, masih ada pemimpin Islam dan masyarakat bukan Islam yang mengecam dan mendesak supaya gencatan senjata dilakukan. Namun, usaha ini kelihatannya seperti ‘mencurahkan air ke daun keladi’ kerana Israel masih lagi bersikap babil lebih- lebih lagi setelah mendapat sokongan kuat daripada negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Lebih parah lagi, apabila terdapat sebahagian negara Arab yang turut tunduk dengan tentera Zionis serta enggan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Malah, ketika rakyat Palestin sedang berjuang mempertahankan tanah air, ada sebahagian Negara Arab terlalu galak menganjurkan pesta-pesta hiburan seperti konsert dan perayaan Halloween. Senario ini terjadi kerana wujudnya penyakit ‘wahn’ iaitu, terlalu mencintai perkara-perkara keduniaan sehingga lalai dalam mengingati azab- azab Allah SWT.

Mutakhir, sunnah mengingati kematian boleh membentuk keperibadian Muslim yang proaktif dan itqan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Tidak benar sama sekali tanggapan segelintir individu yang mengatakan mengingati kematian lebih membataskan gerak-geri seseorang Muslim akibat menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan amalan kerohanian semata-mata. Walhal, sifat ibadah adalah syumul iaitu; mencangkupi seluruh aspek amalan selagimana membawa kemaslahatan kepada ummah. Jika sunnah ini dihayati dan difahami secara praktikal nescaya semua tanggunggjawab yang digalas akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan tidak akan ada isu tidak berintegriti dalam kalangan umat Islam. Waima, kemakmuran di dunia bahkan di akhirat juga boleh dicapai kerana memperoleh keberkatan daripada Allah SWT atas usaha memperelokkan kualiti sesuatu amalan yang dikerjakan. Benarlah, jika seseorang mukmin memandang sesuatu tanggungjawab dengan mata hati, nescaya mereka telah mempersiapkan diri untuk memperoleh kemaslahatan kehidupan di dunia dan sebagai bekalan abadi di hari perhitungan kelak.

1Pensyarah Pengurusan Islam dengan Perniagaan Halal,
Fakulti Teknologi, Reka Bentuk dan Pengurusan (Pengurusan Islam),
Kolej Universiti Yayasan Pahang.
Emel : jamilah@ucyp.edu.my

2Pensyarah dan Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Islam dengan Perniagaan Halal,
Fakulti Teknologi,
Reka Bentuk dan Pengurusan (Pengurusan Islam),
Kolej Universiti Yayasan Pahang.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Kenali, pelajari biodiversiti dengan setem

Oleh: Affan Nasaruddin Hobi mengumpul setem merupakan antara hobi yang semakin dilupai....

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAKomunikasi Digital @ My LNAUTAMA

Kes buli siber harus dipandang serius dan ditangani dengan segera – Gobind

PUTRAJAYA, 13 Julai 2024 – Menteri Digital, Gobind Singh Deo bersama-sama Menteri...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNASains, Teknologi & Komunikasi @ My LNAUTAMA

MCMC dan PDRM akan teliti SOP bagi mudahkan aduan buli siber

CYBERJAYA, 13 Julai 2024 – Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Komunikasi, Fahmi...