Alam Sekitar @ MY LNAAMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendidikan @ My LNASains, Teknologi & Komunikasi @ My LNAUTAMA

Meneroka biodiversiti bandar dengan sains masyarakat

225
Lebah kampung (Apis cerana)

Pertambahan jumlah penduduk merupakan antara penyebab utama kehilangan biodiversiti di seluruh dunia. Hal ini dibuktikan dengan peningkatan kehilangan habitat, perubahan guna tanah, eksploitasi sumber alam serta pencemaran yang berlaku, seiring dengan peningkatan jumlah penduduk. Semakin ramai penduduk, semakin tinggi permintaan sumber, dan semakin banyak habitat semula jadi digunakan untuk pertanian, perlombongan, perindustrian dan perbandaran.

Affan Nasaruddin

Penduduk Malaysia telah meningkat sebanyak 4 juta orang sejak tahun 2010, dan dijangka mencecah angka 38 juta menjelang tahun 2030, dan seterusnya 41.5 juta menjelang 2040. Peratusan penduduk di kawasan bandar di Malaysia pula dijangka akan meningkat kepada 84 peratus pada tahun 2040, dan ini secara tidak langsung akan menyebabkan kepadatan dan memberi kesan kepada kualiti kehidupan penduduk dan alam sekitar di kawasan setempat.

Negara kita sememangnya sinonim dengan kepelbagaian biodiversiti. Berdasarkan maklumat dari pangkalan data Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS), terdapat lebih kurang 15,000 spesies tumbuhan vaskular, 307 spesies mamalia, 567 spesies reptilia, 785 spesies burung, dan 449 spesies ikan air tawar di Malaysia.

Menariknya, sebahagian daripada spesies yang tersenarai ini sebenarnya boleh didapati di kawasan bandar. “Sebenarnya untuk mereka yang tinggal di bandar, tidak perlu untuk pergi jauh dari kediaman mereka untuk menikmati keindahan alam semula jadi, dan mula mendekati spesies flora dan fauna tempatan,” kata Affan Nasaruddin, Pegawai Penyelidik Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya.

Atas kesedaran ini, dan melalui pendekatan sains masyarakat, sebuah program tahunan peringkat global telah diadakan sejak tahun 2018, yang dinamai ‘City Nature Challenge’ di pelbagai lokasi bandar di dunia. Dengan menggunakan aplikasi iNaturalist yang boleh dimuat turun secara percuma, pengguna boleh merekod dan mengenali spesies flora dan fauna yang ada di persekitaran kediaman bandar mereka. Setiap tahun, akan diadakan pertandingan di kalangan pengguna aplikasi tersebut untuk menentukan bandar yang berjaya membuat pemerhatian terbanyak, pencarian spesies terbanyak, dan penglibatan peserta yang paling ramai.

Untuk tahun 2024, ‘City Nature Challenge’ peringkat Lembah Klang telah dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) dan SekitarKita, melibatkan lebih 50 orang peserta yang berdaftar.

“Melalui cabaran pada tahun ini, kita telah berjaya merekod sebanyak lebih 2,000 pemerhatian dan 832 jumlah spesies di sekitar Lembah Klang. Para peserta perlu merekodkan sebanyak mungkin pemerhatian haiwan dan tumbuhan menggunakan aplikasi iNaturalist dalam masa empat hari. Untuk edisi 2024 ini, hampir 700 bandar dari 51 negara dari seluruh dunia telah menyertai cabaran ini,” kata Affan.

Nurfarawahidah Badruesham

Antara organisasi yang turut terlibat dalam penganjuran ‘City Nature Challenge: Lembah Klang’ ini adalah Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM). Nurfarawahidah Badruesham selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Promosi dan ICT, PPM berkata cabaran ini merupakan sebuah peluang kepada masyarakat untuk menerokai sebuah program sains masyarakat dalam bentuk yang praktikal.

“Perpustakaan berperanan sebagai penghubung dan penyokong kepada masyarakat bagi mendalami kepelbagaian biodiversiti di persekitaran mereka. Keterlibatan perpustakaan dalam cabaran ini membuka mata dan minda masyarakat bahawa penyebaran ilmu pengetahuan bukan sahaja melalui buku-buku di perpustakaan, malah lebih daripada itu,” katanya.

Sepanjang cabaran dijalankan, pertandingan rekod pemerhatian yang paling banyak peringkat ‘City Nature Challenge: Lembah Klang’ juga turut dianjurkan bagi menggalakkan penyertaan dan memberi insentif kepada peserta. Seramai 3 orang pemenang telah dipilih berdasarkan rekod pemerhatian yang paling banyak.

Shahril Efzueni Rozali

Shahril Efzueni Rozali, salah seorang pemenang City Nature Challenge: Lembah Klang berkata cabaran ini menarik kerana ianya menyediakan platform kepada seluruh masyarakat dunia untuk berkongsi keunikan dan keindahan biodiversiti yang terdapat di bandar masing-masing.

“Saya telah menyertai cabaran ini sejak 2018 dan sangat teruja dengan aplikasi iNaturalist kerana saya sememangnya seorang yang suka meneroka keindahan alam semula jadi. Dengan menyertai cabaran ini, saya dapat mengumpul maklumat dan mengenal pasti taburan dan populasi spesies hidupan liar yang terdapat di sekitar Lembah Klang. Secara tidak langsung aktiviti ini dapat menambah pengetahuan saya tentang spesies flora dan fauna yang ada di sekitar bandar,” tambah Shahril.

Mengulas lanjut, Affan menyatakan bahawa cabaran ini juga sebenarnya dapat membantu penyelidik, pihak berkuasa dan penggubal polisi untuk lebih memahami kepelbagaian biodiversiti di kawasan bandar. “Setiap rekod dokumentasi yang telah dilakukan oleh peserta adalah amat berguna. Rekod ini kemudiannya dijadikan data bagi penyelidikan, serta turut digunakan dalam usaha memulihara biodiversiti di bandar yang semakin hilang. Penglibatan masyarakat dalam sains perlu diperluaskan di Malaysia bagi menggalakkan pemahaman dan seterusnya meningkatkan kemahuan untuk melakukan perubahan demi melestari alam sekitar dan biodiversiti yang ada,” katanya mengakhiri temubual.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Affan Nasaruddin, Pegawai Penyelidik, Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) di affannasaruddin@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJomCheckUTAMA

Benar: Aplikasi Myresq Adalah Inisiatif Bantuan Awal Kepada Mangsa Serangan Jantung

Oleh : JomCheck Talian JomCheck baru-baru ini telah disoal tentang kesahihan sebuah...

Bencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Laut Banda

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Laut Banda pada jam...