Alam Sekitar @ MY LNAAMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Majlis Raikan Syawal UM sifar plastik, didik tetamu lestari alam

181

Universiti Malaya (UM) pada tahun ini menganjurkan Majlis Raikan Syawal dengan kelestarian, apabila memutuskan untuk tidak menggunakan barangan plastik sekali guna untuk kegunaan tetamu. Tetamu yang hadir digalakkan untuk membawa bekas makanan masing-masing. Hal ini menyaksikan tiada sebarang penggunaan plastik digunakan sepanjang majlis berlangsung.

Kebiasaannya di mana-mana majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya, jamuan sudah pastinya dipenuhi pinggan, cawan, sudu dan garfu plastik yang disediakan untuk para tetamu menjamah hidangan. Selain memberi kemudahan kepada pihak tetamu dan tuan rumah, penggunaan barangan plastik sekali guna sebenarnya memberi kemudahan kepada pihak penyedia makanan dari aspek logistik dan kos penyediaan.

Berdasarkan laporan UN Environment Programme, sejak tahun 1950, kira-kira 9.2 bilion tan plastik telah dihasilkan, menghasilkan kira-kira 6.9 bilion tan sisa plastik primer. Lebih tiga perempat daripada sisa plastik ini dibuang dan berakhir di tapak-tapak pelupusan sampah dan persekitaran semula jadi di seluruh dunia, termasuklah sungai dan lautan. Pada masa ini, dianggarkan lebih 20 juta tan sisa plastik dilepaskan ke dalam ekosistem akuatik setiap tahun – dari tasik ke sungai hinggalah ke laut – dari kesemua sumber aktiviti manusia di daratan.

Profesor Madya Dr. Zeeda Fatimah Mohamad

Profesor Madya Dr. Zeeda Fatimah Mohamad, Pengarah Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) berkata, majlis Raikan Syawal Lestari yang dianjurkan oleh Universiti Malaya diharap mampu dijadikan model rujukan penganjuran majlis yang lestari kepada program universiti yang lain, seperti minggu orientasi pelajar, dan juga majlis-majlis keraian rasmi di pelbagai peringkat dan jabatan.

“Apabila konsep lestari menjadi norma di majlis keramaian, ia dapat membantu mengurangkan penggunaan plastik sekali guna sekaligus membantu menjadikan UM sebagai kampus lestari dan neutral karbon menjelang 2030. Secara tidak langsung, ianya selaras dengan agenda global dalam menangani dan mengurangkan pencemaran plastik,” katanya.

Lebih 6,000 orang tetamu hadir menghadiri majlis tersebut, terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat jabatan. Selain juadah hari raya seperti lemang, ketupat, dan rendang, tetamu turut disajikan dengan sate, kambing bakar, dan kuih-muih tradisional Melayu.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah ketiga-tiga Pro-Canselor UM, Toh Puan Dato’ Seri Hajah Dr. Aishah Ong, Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ramli Ngah Talib, dan Tan Sri Datuk Zainun Ali; ahli-ahli Lembaga Pengarah UM, diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar; duta-duta dan pesuruhjaya tinggi asing; dan rakan-rakan industri, korporat, serta media massa.

Sepanjang majlis berlangsung dengan penuh meriah, semua petugas dan tetamu tidak menggunakan peralatan plastik sekali guna. Cawan dan pinggan daripada kertas menjadi alternatif lestari kepada mereka yang hadir tanpa membawa bekas makanan sendiri, manakala sudu dan garfu daripada kayu digunakan sepenuhnya sepanjang majlis berlangsung.

Menariknya, botol-botol air mineral yang biasanya dihidangkan di majlis sebegini juga tidak disediakan. Affan Nasaruddin, Pegawai Penyelidik UMSDC, memaklumkan bahawa tetamu digalakkan membawa bekas dan peralatan makanan sendiri semasa majlis. Malah, panduan kelestarian juga dihebahkan awal kepada tetamu seumpama galakan berkongsi kenderaan dan amalan mengelakkan pembaziran makanan.

Affan Nasaruddin

“Keunikan pelestarian majlis ini juga dipaparkan melalui pendekatan elemen pendidikan dan kesedaran kepada tetamu oleh kumpulan Sukarelawan Lestari Universiti Malaya. Tetamu diajar untuk melakukan pengasingan sisa mengikut kategori. Lebih 200 kilogram sisa makanan berjaya dikumpulkan di majlis ini. Sisa makanan ini bakal dijadikan kompos di tapak Zero Waste Campaign UM. Ini juga merupakan salah satu inisiatif ekonomi kitaran yang telah sekian lama diamalkan di UM” katanya.

“Saya kagum dan bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh warga kampus dalam menjayakan program ini secara lestari sepenuhnya. Aspirasi neutral karbon yang menjadi halatuju UM dan negara pastinya tercapai dengan pemahaman dan motivasi dalaman yang ada di dalam diri setiap individu. Hanya pengamalan yang berterusan dan konsisten, seperti di dalam majlis keramaian seperti ini, yang akan memastikan kita mencapai objektif tersebut menjelang 2030,” kata Professor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor UM ketika ditemui di penghujung majlis.

Mengulas lanjut, Prof. Madya Dr. Zeeda Fatimah Mohamad menyatakan bahawa ini merupakan satu proses pendidikan dan pembudayaan lestari yang perlu diterapkan serta diamalkan oleh komuniti kampus dengan pendekatan yang lebih mesra komuniti untuk bersama-sama menyokong aspirasi kelestarian institusi pendidikan tinggi. “Mana-mana inisiatif, walaupun sepositif mana pun, tidak mungkin akan berjaya tanpa sokongan akar umbi sebegini. Saya yakin dengan menunjukkan contoh yang mudah namun berterusan, gaya hidup lestari ini dapat dibudayakan dalam setiap aspek kehidupan kita kelak,” katanya mengakhiri temubual.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Affan Nasaruddin, Pegawai Penyelidik, Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) di affannasaruddin@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJomCheckUTAMA

Benar: Aplikasi Myresq Adalah Inisiatif Bantuan Awal Kepada Mangsa Serangan Jantung

Oleh : JomCheck Talian JomCheck baru-baru ini telah disoal tentang kesahihan sebuah...

Bencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Laut Banda

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Laut Banda pada jam...