AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Fahami pemaknaan sebenar beribadat untuk kekal komited pasca Ramadan

147
Memahami makna pensyariatan ibadat akan membantu kita konsisten dalam beribadat selepas berakhirnya Ramadan (Aldin Nasrun - Unsplash)

Oleh: Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri, Dr. Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar

Ramadan telah berlalu meninggalkan kita, dan sebagaimana yang difahami, matlamat pensyariatan puasa di bulan Ramadan adalah untuk menjadikan seseorang manusia itu bertakwa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Telah difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan) sebagaimana telah difardukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertakwa.”

Menurut Imam Nawawi RA, takwa merujuk kepada mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangannya. Dengan erti kata lain menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT. Sepanjang Ramadan kita telah berusaha membina daya tahap keimanan dan mempertingkat ketakwaan melalui ibadah puasa dan amalan-amalan sunat yang lain.

Tidak dinafikan terdapat kelebihan dan ibadat yang hanya terdapat pada bulan Ramadan seperti solat tarawih, memburu lailatul qadar, dan gandaan ganjaran khusus bagi amalan sunat dan fardu pada bulan Ramadan. Namun, terdapat sebahagian besar amalan dan ibadat yang perlu dikonsistenkan untuk diteruskan selepas Ramadan dalam meraih keredaan Allah SWT.

Jadi bagaimana harus kita kekal konsisten dalam melaksanakan amal ibadat tersebut supaya kita tidak menjadi ramadaniyyin (beramal kerana ramadan), sebaliknya menjadi rabbaniyyin (beramal kerana Allah SWT)? Di sini disenaraikan tiga tips dalam mengekalkan momentum peribadatan semasa Ramadan:

Memahami pemaknaan pensyariatan ibadat

Pentingnya kita mengetahui pemaknaan pensyariatan ibadat yang dilakukan adalah bertujuan untuk pengabdian diri kepada Allah SWT. Setiap ibadat atau amalan yang dilakukan adalah bekalan bagi kita untuk dibawa ke alam akhirat. Memahami pemaknaan pensyariatan ibadat melibatkan penghayatan dan pemahaman mendalam tentang tujuan dan hikmah di sebalik perintah serta larangan yang ditetapkan oleh syariat Islam dalam aspek ibadah. Pensyariatan ibadat dalam Islam bukan semata-mata tuntutan ritual yang bermusim, tetapi juga sebuah saranan bagi membersihkan jiwa, menguatkan hubungan antara hamba dengan Penciptanya dan membina masyarakat yang saling memahami dan berkasih sayang.

Setiap ibadat yang disyariatkan seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain, mengandungi dimensi-dimensi yang lebih dalam daripada sekadar pelaksanaan secara bermusim. Sebagai contoh, ibadat solat mengajarkan disiplin, ketepatan waktu, kerendahan hati, dan ketergantungan kita kepada Allah SWT. Ia adalah momen pertemuan antara hamba dengan Penciptanya, di mana seorang Muslim menyucikan dirinya secara berkala sepanjang hari.

Manakala puasa mengasah erti kesabaran dan empati, dengan cara menahan diri dari makan, minum, dan nafsu dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Puasa membantu umat Islam mengembangkan kesedaran sosial dan kesyukuran atas nikmat yang sering dianggap remeh.

Ibadat zakat dan sedekah pula mewujudkan rasa tanggungjawab sosial dan membantu mengurangi jurang antara yang kaya dan yang miskin, membersihkan harta dan jiwa pemberi serta sebagai alat untuk membersihkan masyarakat dari sifat bongkak dan kebakhilan.

Dengan memahami makna pensyariatan ini, seorang Muslim diharapkan tidak hanya menjalankan ibadat mengikut musim, sebaliknya sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menyempurnakan karakternya sesuai dengan tuntutan Islam di sepanjang masa.

Mensyukuri ganjaran khusus pada setiap amalan

Kemurahan Allah SWT tidak hanya terhad pada bulan Ramadan, bahkan melimpah ruah pada setiap masa dan ketika. Semua amalan yang ditawarkan olehNya mempunyai kelebihan yang tidak ternilai, khususnya bagi mereka yang memahami nilai dan erti peribadatan yang dilakukan. Sebagai contoh dengan melazimi pembacaan al-Quran, berpuasa sunat, dan bersedekah.

Sesungguhnya mereka yang berterusan berdamping dengan al-Quran mempunyai kelebihan yang khusus. Mereka ini turut digelar sebagai ashab al-quran (sahabat al-Quran) antara yang dijamin untuk mendapat syafaat al-Quran di akhirat kelak. Sebagaimana yang direkodkan di dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (maksudnya): “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat kepada teman-temannya.”

Begitu juga Baginda SAW memanggil mereka yang mengajar dan mempelajari al-Quran sebagai sebaik-baik manusia, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”

Selain puasa Ramadan, umat Islam turut dianjurkan untuk berpuasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa hari putih (13, 14, dan 15 setiap bulan Hijriah), puasa Nabi Daud (puasa selang sehari), puasa enam di bulan Syawal, puasa hari Arafah, puasa 9 dan 10 Muharam, dan lain-lain. Setiap puasa sunat yang dinyatakan ini mempunyai kelebihan dan ganjarannya yang tersendiri. Puasa enam hari di bulan Syawal contohnya, mempunyai kelebihan umpama berpuasa sepanjang tahun sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti enam hari pada bulan Syawal, maka fadilatnya seperti berpuasa sepanjang tahun.”

Amalan bersedekah pula bukan hanya terbatas pada harta, tetapi juga meliputi pemberian waktu, tenaga, bahkan hanya sekuntum senyuman. Sedekah mampu membersihkan harta, menambah keberkatan dalam kehidupan, dan memperkuat hubungan sosial antara manusia. Allah SWT turut menjamin bahawa sedekah itu tidak akan mengurangi harta, sebagaimana maksud yang disabdakan oleh baginda SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.”

Tambahan pula, sedekah juga merupakan antara salah satu penawar bagi penyakit dan mampu menolak bencana, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani yang bermaksud: “Bentengi hartamu dengan zakat, ubati penyakitmu dengan sedekah, dan hadapi ujianmu dengan doa.”

Secara amnya melalui sedekah, seseorang Muslim bukan hanya membantu mereka yang memerlukan tetapi impaknya juga kembali kepada diri sendiri, mendapatkan perlindungan dan keberkatan dari Allah SWT, menolak bencana, sebagai ubat kepada penyakit, dan lain-lain.

Berisitiqamah dengan apa jua amalan

Saban tahun menyaksikan setiap daripada kita seolah-olah berpesta dalam melaksanakan ibadat di sepanjang Ramadan. Maka, jika usaha ini dapat diistiqamahkan adalah suatu yang sangat baik. Namun kadangkala keterbatasan atas faktor yang pelbagai menyebabkan kita seringkali lalai dalam menjayakan pelaksanaannya. Di sinilah praktikalnya jika kita mampu mengamalkan kata-kata ini: “Jika tidak mampu dilakukan semua, jangan ditinggal semua”.

Sebagai contoh andai kata kita tidak mampu konsisten untuk solat malam sebagaimana yang dilakukan pada bulan Ramadan, maka janganlah ditinggalkan semua, paling tidak pun laksanakan dua rakat sebelum masuknya waktu Subuh. Begitu juga, andai kata kita tidak mampu untuk berpuasa sebagaimana puasa Nabi Daud (puasa selang sehari), setidaknya kita berpuasa pada setiap Isnin atau Khamis atau pada hari-hari tertentu yang lain.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Hendaklah kamu melakukan amalan-amalan sunat setakat mana yang kamu mampu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa jemu sehingga kamu merasa jemu dan sesungguhnya amalan-amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan sekali pun sedikit.” (HR Muslim)

Hadis di atas jelas menekankan tentang kepentingan istiqamah dalam beramal, dan ditunjukkan bagaimana amalan yang paling disukai Allah SWT itu ialah yang konsisten dilakukan walaupun dalam kuantiti yang sedikit.

Oleh yang demikian, berakhirnya bulan Ramadan bukan bermakna berakhirnya kesungguhan kita dalam beribadat, bahkan ia menjadi batu loncatan kepada kita untuk lebih memperbaiki diri dan mempraktikkan apa yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan. Mudah-mudahan tips di atas mampu menjadi motivasi untuk kita terus beramal dalam memperbaiki diri dan menjadi hamba Allah SWT yang rabbaniyyin.

Semoga Allah SWT menerima segala amal kebaikan kita dan menjadikan kita hamba yang berterusan dalam mengislahkan diri.

Muhammad Izzat Aiman merupakan Mahasiswa di Universiti Islam Imam Muhammad Bin Saud, Riyadh, Arab Saudi; manakala Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di izzatas7801@gmail.com dan syedjeffri89@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...