AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

155
Jagalah adab agar suasana gembira dan ceria kekal menghiasi Aidilfitri (Nahrizul Adib Kadri - Unsplash)

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin

Syawal merupakan bulan kemenangan bagi umat Islam yang berjihad melawan hawa nafsu ketika sebulan berpuasa. Keseronokan dan kegemaran terhadap nikmat makan, minum, dan pasangan wajib ditinggalkan sepenuhnya pada waktu siang demi memenuhi tuntutan rukun Islam yang ketiga: berpuasa di bulan Ramadan, yang bermula terbit matahari hingga tenggelam di ufuk barat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin

Umat Islam dikurniakan dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha yang disambut sejak zaman Rasulullah SAW hingga hari ini demi kelestarian Sunnah Nabi sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara yang pertama kita mulakan pada hariraya kita ini ialah kita sembahyang, kemudian kita kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya ia telah menepati sunnah kami. (Sahih Bukhari: No 5545)

Alangkah bertuahnya umat Islam kerana diganjari pahala beribadah apabila menyambut hari raya. Ia salah satu keseronokan yang diberi pahala di sisi Allah SWT apabila betul adabnya dan bersesuaian dengan sunnah Rasullullah SAW. Antara adab-adab berhari raya yang selari dengan anjuran Nabi Muhammad SAW, pesuruh Allah SWT adalah sebagaimana berikut:

Pertama, bertakbir sebaik sahaja nampak anak bulan Syawal iaitu malam raya dan siangnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu bertakbir (mengagungkan) Allah SWT kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

Kedua, menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah SWT sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.” (Riwayat Ibn Majah)

Ketiga, mandi sunat hari raya, memakai bau-bauan dan pakaian yang paling elok. Imam Nawawi mencatatkan dalam kitab Majmu’nya bahawa Imam Al-Syafie dan ahlinya telah bersependapat dalam mendalilkan sunat mandi hari raya. Walau bagaimanapun, terdapat perincian dari sudut waktu mandi, sama ada selepas fajar menyingsing atau malamnya. Kedua-duanya adalah diterima. Imam Bukhari turut mencatatkan perbuatan Rasulullah SAW berpakaian elok dan cantik pada hari raya. (Sahih Bukhari 948)

Kesemua adab ini mendapat pahala jika diniatkan kerana Allah SWT dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya jika si pemakai berniat untuk bermegah-megah, riak dan takabbur serta sombong kerana memiliki pakaian baharu, malah memandang rendah dengan orang yang kurang mampu, ia merupakan suatu kerugian di sisi agama Islam. Niat tersebut telah menjeratnya ke lembah dosa dan kehinaan di sisi Allah SWT dan mengundang kebencian dan permusuhan sesama Islam di hari lebaran. Kesucian lebaran akan tercemar dan madrasah Ramadan telah gagal diikuti dengan sempurna.

Keempat, makan sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya di masjid secara berjemaah. Ia menandakan tempoh sebulan berpuasa telah tamat dan haram berpuasa pada hari raya. Hadis daripada Anas RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW tidak bersegera keluar pada hari raya Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar. Kemudian Anas RA menambah: Ubaidullah turut menyampaikan kepada aku bahawa Rasulullah SAW memakan tamar dalam jumlah yang kecil sahaja. (Sahih Bukhari: No 953)

Kelima, solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah. Ata’ telah menceritakan daripada Jabir bin Abdullah, beliau berkata yang bermaksud: “Sesungguhnya baginda Rasulullah SAW telah keluar pada hari Aidilfitri dan memulakan dengan solat kemudian diikuti dengan khutbah. (Sahih Bukhari: 958)

Sunnah ini telah menjadi ikutan para sahabat Khulafa’ al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA dan terus diwarisi sehingga hari ini. Sahih Bukhari mencatatkan dalam hadis bernombor 956 di mana terdapat kisah sahabat yang menyampaikan khutbah sebelum solat sunat Aidilfitri kerana jemaah terus keluar seusai solat dan tidak menunggu jika khutbah disampaikan selepas solat. Kemudian Imam Bukhari meletakkan tajuk yang khusus bermula dengan hadis 962 iaitu bab Khutbah selepas solat. Bab ini menghimpunkan catatan yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW berkhutbah selepas solat didirikan bukan sebaliknya. Malah terdapat catatan dalam Sahih Bukhari yang bermaksud: Abdullah bin Umar menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah solat pada Aidiladha dan Al-Fitri kemudian berkhutbah selepas solat. (Sahih Bukhari: No. 957)

Keenam, berjalan kaki ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri bagi yang sihat serta menggunakan arah yang berbeza ketika pergi ke masjid dan pulang ke rumah. Hadis daripada Jabir RA yang bermaksud: Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya. (Sahih Bukhari: No 943)

Berjalan kaki ke masjid sebenarnya turut membuka peluang untuk berjumpa dengan jiran tetangga , bersalaman dan bertegur sapa. Justeru jalan berlainan ketika pergi dan balik dari masjid akan memberi peluang berjumpa dengan lebih ramai orang yang berbeza.

Ketujuh, makmum hadir solat sunat Aidilfitri lebih awal daripada imam. Manakala imam melewatkan sedikit kehadiran supaya mempunyai masa yang cukup untuk persiapan mengimamkan solat dan menyampaikan khutbah kepada jemaah yang hadir. Apabila imam sampai ke masjid dan memberikan isyarat untuk memulakan solat, makmum akan ketinggalan untuk solat sunat Aidilfitri jika hadir lewat, dan tidak boleh menyalahkan imam atau pengurusan masjid kerana tidak menunggu makmum.

Kelapan, saling mengucapkan tahniah selamat dan doa serta kata-kata positif antara satu sama lain. Ia berdasarkan hadis wasilah yang berkaitan dengan hadis nombor 5546 yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya yang bermaksud: “Aku menemui Rasulullah pada pagi hari raya seraya berkata: semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu, lalu Baginda menjawab: Ya, semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu.”

Selain daripada lapan senarai di atas, banyak lagi adab-adab umum dalam pergaulan seharian yang perlu dititik beratkan oleh seluruh masyarakat sepanjang sambutan Aidilfitri. Budaya mengeratkan silaturahim dengan saling kunjung mengunjung, bertukar-tukar juadah, rumah terbuka, pemberian duit raya, bersalam-salaman sambil mengucapkan selamat, dan memohon ampun dan maaf sudah sebati dengan masyarakat Islam di Malaysia.

Justeru, jagalah adab dan perangai agar suasana gembira dan ceria kekal menghiasi suasana Aidilfitri. Hari Raya ialah hari kemenangan yang perlu disambut dengan penuh riang ria dan ceria. Lupakan sengketa dan bina memori indah bersama demi masa hadapan yang lebih sihat dan afiat.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di aizan@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Puasa Syawal: Gabung atau berasingan?

Oleh: Dr Ridzwan Ahmad Setelah berakhirnya bulan Ramadan dengan ketibaan Aidilfitri maka...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

AI Untuk Rakyat tepati konsep maqasid al-syari’ah

Oleh: Dr Ariyanti Mustapha Perkembangan teknologi yang berasaskan kecerdasan buatan atau AI...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...