AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Jarak bukan penghambat kemesraan Aidilfitri

177
Usaha yang kecil boleh memberi impak yang besar dalam mengekalkan semangat kekeluargaan ketika berjauhan semasa hari raya (Nahrizul Adib Kadri - Unsplash)

Oleh: Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Nurfarahira Ahmad Yaccob

Hari Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia adalah masa untuk keluarga dan masyarakat Muslim berkumpul, meraikan, dan bersyukur setelah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.

Jauh di mata, dekat di hati, merupakan salah satu ungkapan yang sering meniti di bibir masyarakat apabila tidak dapat berjumpa dengan orang yang tersayang sewaktu menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tradisi budaya dan nilai yang sering diamalkan dan masih dikekalkan bagi masyarakat kita adalah pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan ini bersama ahli keluarga.

Menelusuri tradisi budaya ini, kita mengetahui bahawa tidak semua orang diberi kesempatan untuk merasai sambutan hari raya yang meriah disebabkan kekangan waktu untuk bekerja pada hari perayaan. Tugas untuk berkhidmat dan mencari rezeki perlu diutamakan untuk menjamin kelangsungan hidup dan ekonomi keluarga yang stabil pada masa kini. Sungguh pun begitu, sudah pasti kesedihan dan rasa rindu yang menebal akan mula terbit apabila mendengar takbir raya di pagi hari 1 Syawal.

Terdapat pelbagai cara untuk menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun tidak dapat berjumpa dengan orang yang tersayang. Kemajuan teknologi pada era ini mampu mengeratkan tali persaudaraan. Bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman, mereka boleh membuat panggilan telefon seperti panggilan video untuk melihat suasana di kampung dan bertanya khabar.

Tambahan pula, kita boleh menghantar mesej dengan ucapan yang ikhlas dari hati supaya mereka dapat membaca luahan tersebut dengan lebih jelas. Dengan berbuat demikian, kita akan dapat melepaskan rasa rindu serta mengambil hati ibu bapa yang berada di kampung sebagai tanda ingatan dan kasih sayang yang tiada penghujungnya. Walaupun tugas, jarak dan masa yang memisahkan, namun usaha untuk menghubungi mereka akan mengubati emosi yang dirasai.

Di samping itu, kita juga boleh memberi hadiah untuk kekal berhubung dengan keluarga tersayang. Sebagai contoh, kita boleh membuat pesanan di aplikasi jualan atas talian dan menghantar kuih raya, baju, beg atau barang hiasan rumah seperti langsir, kepada ibu bapa yang berada di kampung supaya dapat membantu meringankan beban mereka untuk membuat persediaan menyambut hari raya.

Tidak dinafikan, terdapat segelintir anak yang sudah bekerja hanya membiarkan ibu bapa mereka sahaja yang mencari barang persediaan raya tanpa memberi apa-apa barangan persediaan. Perkara ini akan mengakibatkan ibu bapa terbeban kerana perlu menggunakan perbelanjaan yang tinggi. Maka dengan itu, alternatif yang boleh digunakan untuk membantu ibu bapa di kampung adalah dengan memberi kiriman wang, supaya mereka membeli barangan mengikut keperluan dan kehendak mereka. Adakalanya ibu bapa juga mempunyai citarasa yang tersendiri dalam membuat persiapan hari raya.

Maka, dengan berbuat demikian pastinya ibu bapa kita akan berasa gembira dan bersyukur atas rezeki yang ada. Hal ini menunjukkan bahawa tiada alasan untuk kita sebagai anak untuk tidak menghulur bantuan kepada ibu bapa walaupun tidak berjumpa di depan mata.

Sebagai ahli keluarga pula, kita sewajarnya menerima dengan berlapang dada bahawa terdapat ahli yang lain perlu melaksanakan tanggungjawabnya di tempat kerja. Saranan yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan sokongan moral supaya mereka tidak berasa sedih dan bermotivasi untuk bekerja demi mencari rezeki. Penghantaran mesej yang ringkas seperti “Selamat Hari Raya, Abang Long! Kami semua sayang dan rindu pada abang” sudah cukup untuk menyentuh hati mereka.

yang boleh kita katakan tradisi memberi kad raya ini semakin berkurang apabila wujudnya aplikasi-aplikasi di internet yang semakin maju, maka kita boleh membangkitkan semula tradisi tersebut

Bahkan kita juga boleh mengirimkan kad raya supaya mereka berasa dihargai serta bersemangat untuk bekerja. Tidak dinafikan tradisi pemberian kad raya ini sudah semakin berkurangan dengan wujudnya pelbagai aplikasi internet yang mudah dan percuma. Bukan sahaja kita akan menghidupkan semula tradisi ini, malah pemberian kad raya ini membuatkan si penerima berasakan yang keluarga di kampung sentiasa memberi sokongan dan mengingati pengorbanan mereka.

Selain itu, kita boleh memainkan peranan untuk menawarkan bantuan yang tertentu. Sebagai contoh, seorang abang bertanya kepada adiknya yang perlu bekerja pada hari raya, adakah dia mempunyai wang yang cukup, atau bertanya mengenai keperluan hariannya seperti makanan. Jika kita berkemampuan, maka hulurkanlah bantuan kepada mereka supaya hubungan kekeluargaan tidak putus dan boleh juga memupuk diri untuk belajar merendahkan ego antara adik-beradik.

Kesimpulannya, usaha yang kecil boleh memberi impak yang besar. Walaupun hanya dengan panggilan telefon yang ringkas, mesej yang menyentuh hati, atau hanya menghantar meme Raya yang lucu, boleh menceriakan hari seseorang serta membantu mereka menstabilkan emosi dan fokus untuk bekerja pada hari raya. Kita juga berperanan untuk menjadi individu yang memahami supaya tidak berlakunya perselisihan faham, perbalahan atau perkara-perkara tidak diingini yang boleh memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan.

Ayuh kita wujudkan keseronokan berhari raya untuk semua ahli keluarga, biar di mana mereka berada. Jangan biarkan jarak menjauhkan kita dari semangat sebenar perayaan ini. Fokus kepada mewujudkan interaksi yang menggembirakan dan positif walaupun terdapat perpisahan fizikal.

Dr. Azmawaty ialah Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Anggota Lembaga Kaunselor Malaysia; manakala Nurfarahira ialah Kaunselor Pelatih dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Puasa Syawal: Gabung atau berasingan?

Oleh: Dr Ridzwan Ahmad Setelah berakhirnya bulan Ramadan dengan ketibaan Aidilfitri maka...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

AI Untuk Rakyat tepati konsep maqasid al-syari’ah

Oleh: Dr Ariyanti Mustapha Perkembangan teknologi yang berasaskan kecerdasan buatan atau AI...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...