AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Malaysia apa yang akan kita wariskan?

224
Malaysia yang bagaimana yang mahu kita wariskan kepada anak cucu kita kelak (Casper Westera - Unsplash)

Oleh: Dr Alwani Ghazali

Ramadan adalah bulan mulia, bulan barakah dan bulan terbaik mengutip pahala berganda. Dari sisi yang lain juga Ramadan tidak menjanjikan pulangan ganjaran lumayan jika tiada ujian di dalamnya.

Dr Alwani Ghazali

Pada Ramadan tahun ini umat Islam sedunia menyaksikan penderitaan saudara mereka di Palestin, Syria dan Lubnan. Bahkan nasib saudara Muslim di Myanmar dan Kemboja juga masih di tahap yang menyedihkan. Di samping ujian ketidakcukupan dan kesedihan, dalam konteks Malaysia, masyarakat Muslim juga tidak kurang diuji dengan emosi pelbagai yang lain. Dapat dikatakan bahawa emosi yang mendominasi ruang awam ketika ini adalah emosi marah yang masih belum reda.

Ia bermula sejak isu ditulisnya kalimah Allah di atas stoking yang dijual di KKMart, dan baru-baru ini, timbul pula kontroversi sejurus tularnya video YBM Fadhlina Sidek yang berkongsi pada kelompok kecil guru agama berkenaan praktis beliau dengan anak-anak dalam penggunaan perkataan kafir. Tujuan larangan tersebut ialah dalam konteks kebijakan pergaulan dalam hubungan masyarakat pelbagai anutan agama dan budaya Malaysia.

Jika isu stoking tersebut berada dalam kategori hubungan Muslim dengan bukan Muslim (inter-agama), isu istilah kafir ini pula adalah isu dalaman sesama Muslim (intra-agama). Kedua-dua isu ini menimbulkan bukan sahaja kontroversi dan polemik, bahkan beberapa tindakan melampau yang mengganggu keamanan dan keselamatan.

Jati diri identiti Muslim

Barangkali timbul persoalan pada benak sesetengah insan, cukup Muslimkah kita ini apabila mampu menunjukkan kemarahan dalam setiap isu yang berkaitan dengan agama sendiri?

Dalam isu kalimah Allah pada stoking, kemarahan yang terkawal dan terhormat adalah wajar apabila nama Allah dipersendakan. Bagaimanapun, pada peringkat awal timbulnya masalah tersebut, tiada siapa yang pasti di mana puncanya dan siapa dalangnya. Di sinilah timbulnya pelbagai reaksi dari segi sasaran kemarahan dan tindakan hasil kemarahan tadi sama ada bentuk yang wajar atau melampau yang langsung tidak mencerminkan ajaran Islam. Pendeknya, walaupun tidak redha dengan penghinaan yang berlaku terhadap nama Allah yang Maha Agung, apakah motif tindakan kita sekiranya tidak melambangkan redha Allah?

Belum pun reda isu stoking, video istilah ‘kafir’ membentuk satu lagi polemik warganet yang tidak berkesudahan. Polemik di antara individu-individu Muslim dan kelompok-kelompok Muslim yang masing-masing mahu menjadi juara. Polemik yang membanding-bandingkan siapakah yang lebih suci di kalangan diri kita. Lalu sebahagian kita menabur tohmahan tajam pada empunya suara dalam video tanpa segan silu, tanpa tanggungjawab untuk memahami letak duduk perkara sebenar. Api taksub politik kepartian terus bertiup dengan jaguh masing-masing melempar peluru sindir, ejekan sinis, serta gaya bebas yang lain.

Tanpa sedar, drama itu semua disaksikan oleh masyarakat bukan Muslim yang tentunya menontonnya dengan hairan, tidak selesa, dan seribu satu perasaan yang tidak terungkap. Maka di manakah nilai Islami pada peribadi kita? Di manakah contoh akhlak Muslim yang kita banggakan itu?

Di mana peranan agamawan?

Di celah-celah hangatnya polemik pentaksub politik, ada pula golongan agamawan yang juga menyumbang saham. Barangkali, pada sangkaan mereka, mungkar mesti cepat dibasmi, jahil mesti cepat dibimbing – kerana itulah tugas mereka. Kesedaran akan peranan ini bagus. Namun, agamawan yang lebih tinggi kuasanya di kalangan mereka harus lebih holistik ilmunya – ilmu berkenaan kandungan isu, ilmu berkenaan konteks isu tersebut, serta ilmu cara penyampaian yang bijaksana.

Alangkah tandusnya masyarakat kita daripada agamawan yang warak, santun, waspada (bersikap anaah), hati-hati dalam menilai segenap segi permasalahan, lalu mengungkapkan suatu pemerhatian yang matang dan menyatukan.

Yang pastinya, kita tidak perlu pada agamawan yang cepat berang, impulsif, lalu menuang minyak ke dalam api yang sedang marak, tanpa sedikit pun rasa bersalah. Barangkali perlu dikaji semula kedudukan agamawan yang seperti ini perwatakannya dalam masyarakat pelbagai agama dan etnik ini. Boleh jadi memberi kerehatan sebentar padanya dapat memberi ruang introspeksi diri yang lebih dalam.

Jika kita imbau suatu ketika dulu, persahabatan di antara Melayu Muslim dengan masyarakat bukan Muslim pelbagai etnik bukanlah suatu yang asing. Masyarakat Malaysia pelbagai identiti budaya ini pernah hidup rukun damai dengan sikap saling menghormati, saling berempati dan mengasihi. Pada waktu itu hodohnya kempen politik tidak mampu menggugat keharmonian masyarakat ini walaupun tragedi pernah saja berlaku.

Pada waktu silam itu, masyarakat Melayu Muslim tidak sibuk menjadi juara mencari aib orang lain atau memberi label sesiapa. Pada waktu itu, secara fitrahnya, ajaran Islam yang kononnya menghukum dan memecah-belahkan tidak mendapat tempat di hati ramai – walaupun tidak dinafikan, ianya berlaku di negeri-negeri tertentu secara terpencil.

Pada masa kini, dengan ‘bantuan’ media sosial dan alat audio visual yang lebih mudah digunapakai, provokasi lebih cepat terjadi sesama sendiri. Urusan melibatkan sesama Muslim yang berlainan latar belakang (intra-agama) lebih rumit dirungkaikan berbanding hubungan antara agama (inter-agama).

Pada masa kini, Islamofobia bukan saja dimainkan oleh golongan yang terus terputus daripada mempercayai Tuhan dan bukan Muslim, malah watak dan perangai hodoh Muslim lebih mudah dirakamkan bagi menguatkan lagi naratif Islamofobia ini.

Persoalannya, apa yang kita mahukan sebenarnya? Adakah tindakan dan watak kita sesuai menjadi pedoman buat generasi anak-anak dan cucu-cicit kita?

Syor dan saranan

Jati diri Muslim perlu dibentuk dengan ilmu yang menyeluruh tentang Islam. Kita harus belajar semula apa yang utama dan apa yang sebenarnya mendatangkan murka Allah SWT. Kita perlu bezakan apa yang ekstrim dan apa yang pertengahan. Kita perlu membugar kembali sirah Nabi SAW secara analitikal dan bijaksana.

Yang sebenarnya, Muslim itu menyatukan, bukan memecah-belahkan. Muslim itu adalah yang lisan dan tangannya selamat daripada menyakiti orang lain. Muslim itu menghormati keluarganya, tetangganya serta turut serta dalam usaha kerukunan masyarakatnya.

Dan satu persoalan yang lebih praktis selaku anggota masyarakat negara ini: Malaysia dengan rakyat majoriti Muslim yang bagaimana yang mahu kita wariskan kepada anak cucu kita kelak?

Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di aghazali@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...