AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Sedekahlah kepada mereka yang berhak

280
Kita dituntut untuk bersedekah kepada golongan yang benar-benar layak dan berhak (Nahrizul Adib Kadri - Unsplash)

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Bulan Ramadan menjanjikan pahala yang berlipatganda kepada umat Islam tanpa mengira sama ada ia adalah amalan yang wajib atau sunat. Umumnya terdapat pelbagai amalan sunat yang digalakkan ketika bulan Ramadan seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, bersedekah dan pelbagai amalan kebajikan lain.

Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Tidak kurang juga, dalam bulan Ramadan juga wujud golongan peminta derma, pengemis dan scammer derma yang berkembang biak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini berlaku kerana sifat pemurah masyarakat Islam untuk meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda, dan tiada sistem yang dapat menyusun atur segmen sedekah dan derma secara sistematik berbanding segmen zakat. Biasanya jumlah sedekah lebih besar daripada jumlah zakat fitrah yang dikeluarkan. Ini disebabkan sedekah atau derma tiada batasan jumlah, bersifat sukarela dan tiada batasan penerima secara khusus. Sedangkan zakat fitrah mempunyai kadar tertentu, bersifat wajib dan juga golongan penerima khusus.

Situasi ini mendorong banyak pihak untuk mengambil kesempatan dengan menjadikan peminta sedekah sebagai profesion yang menguntungkan, mampu memperolehi wang dalam tempoh yang singkat dan mudah, malah mampu memiliki kereta dan rumah hasil dari aktiviti mengemis. Sikap pemurah masyarakat ini telah menggalakkan budaya peminta sedekah sedangkan sebahagian besar masyarakat Islam yang lain telah bekerja keras membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki yang halal.

Golongan ini terdiri dari kalangan warganegara Malaysia dan warga negara luar seperti Thailand, Pakistan, Myanmar dan pelbagai negara. Mereka melakukan pelbagai modus operandi bagi menjayakan misi meminta sedekah, umpamanya berpakaian lusuh, tidak sempurna anggota badan atau kudung tampil buta dan cacat, menyertakan laporan kesihatan, membawa anak kecil, menggunakan surat memohon bantuan pembinaan masjid dan madrasah dan sebagainya. Kadangkala terdapat sindiket yang menaungi aktiviti meminta sedekah. Selain dari golongan peminta sedekah secara fizikal, terdapat juga pihak yang menggunakan platform media sosial dan iklan-iklan berbayar untuk mengumpul sumbangan dan derma dari pengguna di dunia digital. Mereka memanfaatkan teknologi untuk mengaut keuntungan berlipatganda di bulan Ramadan.

Memang benar kita digalakkan untuk bersedekah di bulan Ramadan terutamanya dan juga bersedekah di luar bulan Ramadan. Banyak ruang dan peluang yang ditawarkan oleh pelbagai pihak, umpamanya tajaan majlis berbuka, majlis moreh, program sahur, bantuan raya dan sebagainya. Dengan itu, buatlah pilihan yang tepat dalam menyalurkan sedekah agar manfaat dapat diterima oleh mereka yang benar-benar layak, dan bukan kaki penipu.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 274, Allah SWT telah berfirman: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 261, Allah SWT berfirman: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh

menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Nabi SAW juga bersabda: Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud. (HR al-Tirmizi)

Jelasnya bersedekah dan membelanjakan harta pada jalan Allah merupakan satu tuntutan dan dijanjikan dengan pahala dan kebaikan. Namun, pihak yang meminta sedekah atau menipu derma orang ramai perlu ingat kepada pesanan Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil…

Nabi SAW telah memperingatkan umatnya: Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram sesungguhnya api neraka lebih utama baginya. (HR Muttafaq ‘alaih). Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak. (HR Muslim)

Sebaliknya Nabi SAW menggalakkan umat untuk mencari rezki dengan tangan sendiri. Rasulullah SAW telah ditanya: “Ya Rasulullah, apakah pekerjaan yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda, “Seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya dan tiap-tiap jual beli yang baik (iaitu perniagaan yang halal, jujur dan bersih),” (HR Ahmad)

Sehubungan dengan itu, jangan cemari kemuliaan bulan Ramadan dengan perbuatan penipuan dan penyamaran untuk meminta sedekah dan derma yang tidak selayaknya. Kemurahan hati masyarakat Islam jangan dimanfaatkan untuk mengaut keuntungan peribadi dan diselewengkan. Kepada masyarakat Islam, pilihlah penerima sedekah dan derma yang betul-betul layak agar ia menjadi pahala yang sentiasa mengalir. Jangan suburkan gejala meminta sedekah dan jangan biarkan profesion ini berkembang biak dalam masyarakat kerana Nabi SAW lebih berbangga dengan umatnya yang membanting tulang empat kerat dalam mencari rezeki yang halal.

Tegasnya, di samping galakan memperbanyakkan bersedekah di bulan Ramadan, kita dituntut untuk bersedekah kepada golongan yang layak dan berhak serta benar-benar memerlukan bantuan agar objektif sedekah dapat dicapai dan pahala mampu diraih berlipat kali ganda.

Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...