BM @ MY LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Benarkah ‘healing’ atau sebenarnya hilang?

249
Melihat keindahan alam juga boleh menjadi terapi ketenangan diri (Nahrizul Adib Kadri - Unsplash)

Oleh: Amir Syazwan Abdul Samad, Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin

Perkataan ‘healing’ kini tidak lagi menjadi asing dalam masyarakat terutamanya golongan remaja. ‘Healing’ itu sendiri merupakan satu perkataan yang membawa maksud “the process of making or becoming sound or healthy again” dan yang dapat diberi makna sebagai menyembuhkan, atau perihal yang membawa kepada penyembuhan atau pemulihan.

Manusia merupakan makhluk sosial yang setiap harinya pasti akan melakukan interaksi dengan orang lain. Semakin kerap melakukan interaksi dengan orang lain, semakin banyak informasi yang akan diterima. Bahkan, kerapkali informasi tersebut menimbulkan emosi positif mahu pun negatif. Emosi ini juga dapat mempengaruhi dari sudut fizikal dan juga psikologi seseorang. Ketika seseorang merasakan emosi positif mahu pun negatif, maka akan membawa perubahan secara fizikal mahu pun secara psikologi. Hal ini berikutan kemajuan multimedia hanya di hujung jari, sudah tentu menjadi sebagai suatu trend kepada pengguna, terutamanya kepada para remaja. Ramai di kalangan mereka suka menampilkan gambar atau video di suatu tempat seperti kelab, konsert dan sebagainya beserta caption ‘healing’.

Adakah situasi tersebut benar-benar boleh diertikan sebagai ‘healing’, atau pun sebenarnya mereka sudah ‘hilang’?

‘Healing’ sebagaimana yang didefinisikan tadi, ialah penyembuhan diri sama ada fizikal mahu pun mental. Jika dilihat dari aspek fizikal, erti penyembuhan itu dapatlah dikatakan sebagai satu proses di mana seseorang berehat untuk memulihkan diri dari suatu kecederaan. Sebagai contoh, kecederaan pada tisu lembut seperti kontusi (lebam), terseliuh dan sebagainya. Oleh kerana kecederaan yang berkaitan, cara pemulihannya ialah dengan berehat, pembedahan dan seumpamanya. Oleh kerana itu, kesakitan pada bahagian fizikal mampu untuk diubati dengan segera dan cuma memerlukan sedikit waktu untuk melalui proses pembaikan semula.

Dari sudut mental pula, terdapat pelbagai cara yang boleh dijadikan sebagai proses ‘healing’ tersebut. Antaranya ialah dengan cara bersosial dengan cara yang sihat, melakukan aktiviti, dan sebagainya. Namun terdapat sekelompok masyarakat yang melakukan aktiviti ‘healing’ tersebut yang bercanggah dengan syariat Islam seperti tidak berakhlak baik, mengambil minuman keras, mengambil dadah, bersosial yang melampaui batas sehingga berlakunya penzinaan dan sebagainya.

Islam sangat menekankan unsur usaha dalam menyembuhkan sesuatu penyakit, dan tentunya termasuklah dengan ber ‘healing’, tetapi perlulah dengan cara dan kaedah yang betul dan mengikut syariat yang telah ditentukan. Seseorang itu tidak boleh untuk melakukan ‘healing’ dengan perkara yang tidak membawa manfaat dan yang bertentangan dengan syariat Allah SWT. Semua perkara keji ini jika tetap dilakukan akan akhirnya membawa usaha ‘healing’ itu tadi menjadi ‘hilang’, yang mana penulis maksudkan akan merosak dan memudaratkan diri sendiri serta masyarakat. Lebih buruk, perlakuan ini sebenarnya menjadikan mereka semakin tidak keruan dan dan dijauhkan dari ketenangan yang dicari.

Islam sebenarnya telah pun mengajarkan kepada kita pelbagai kaedah untuk ‘healing’ dan menenangkan fikiran. Antaranya ialah dengan mendirikan solat dengan khusyuk, dan dengan penuh kesedaran dilakukan hanya semata-mata untuk Allah SWT. Dengan cara ini juga, intipati

hubungan antara hamba dan Penciptanya dapat dicapai melalui tiga elemen penting iaitu spiritual, mental dan fizikal, dan akhirnya melahirkan kedamaian dan ketenangan sebenar di dalam diri.

Allah SWT telah befirman di dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud, “Laksanakan solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar”. Seterusnya, dengan seruan untuk sentiasa mengingati Allah SWT melalui amalan berzikir sebagai makanan untuk jiwa (spiritual). Firman Allah SWT seterusnya dalam surah al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud, “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah, Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram”. Ayat tersebut jelas menunjukkan janji Allah bila mana seseorang yang kembali kepadaNya akan dikurniakan rasa ketenangan dan kedamaian.

Selain daripada itu, kita juga boleh memilih untuk melakukan ‘healing’ dengan menterapikan diri dengan alam. Terapi alam dapat menjadikan seseorang individu menghargai setiap makhluk ciptaan Allah yang masing-masing mempunyai fungsi dan keunikannya yang tersendiri. Alam ciptaan Allah yang dihiasi dengan gunung ganang, pokok-pokok yang menghijau, lautan luas dengan kepelbagian jenis ikan dan tumbuhan, sememangnya mampu untuk menginsafkan diri. Ini adalah kerana ia menyedarkan kita bahawa diri ini hanyalah salah satu ciptaan dari beribu, berjuta, bahkan infiniti, makhlukNya. Hal ini sepatutnya dapat menimbulkan rasa bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Rasa syukur tersebut perlu diterapkan dengan memperlihatkan atau menzahirkan nikmat atau rasa berterima kasih kepada Pemberi nikmat melalui lisan dan hati.

Dalam usaha kita untuk mencapai kesihatan yang baik, haruslah sentiasa berdoa dan meminta pertolongan daripadaNya serta mejadikan laluan agama sebagai solusi dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam kehidupan. Islam menggalakkan pendekatan holistik dalam penyembuhan yang merangkumi aspek rohani dan jasmani termasuklah menjaga diet yang sihat, melakukan senaman secara berkala, mendapatkan rehat yang cukup, dan menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Oleh itu, dalam usaha kita untuk mencapai tahap kesihatan yang baik, jangan sampai kita ‘healing’ yang akhirnya menjadikan kita ‘hilang’.

Penulis adalah dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di basirah@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...