PUTRAJAYA, 5 APRIL 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Agenda Payung RAHMAH MADANI melalui pelaksanaan Program Jualan RAHMAH (PJR) Aidilfitri sempena sambutan lebaran kali ini bermula pada 4 hingga 9 April 2024.
Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan media hari ini, PJR Aildilfitri akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.
“Selain penjualan barang-barang keperluan kering sebagaimana kebiasaan, PJR Aidilfitri akan melibatkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain khusus bagi persiapan menyambut Aildilfitri seperti ayam, daging lembu, beras, rempah-ratus dan sebagainya.
Pelaksanaan PJR Aidilfitri ini akan melibatkan sebanyak 302 lokasi berjadual di seluruh negara. Maklumat pelaksanaan PJR Aidilfitri boleh diakses melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.” kata Armizan.
Tambah Armizan, sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini, KPDN telah melaksanakan PJR Ramadan di 452 lokasi di seluruh negara bermula pada 12 Mac hingga 3 April 2024 (1 Ramadan hingga 23 Ramadan 1445H), melepasi sasaran awal sebanyak 450 siri yang disasarkan.
“Inisiatif yang dicaknakan oleh KPDN ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Kerajaan Madani dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat bagi membeli keperluan asas pada harga yang lebih murah khususnya dalam membuat persiapan berbuka puasa di bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.” ujar Armizan.
Leave a comment