SIBU, 23 Mac 2024 – Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang telah merasmikan Program GERAK RAHMAH: ‘Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Sungkei Perdana 2024’ yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara, Program Gerak Rahmah adalah merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa, dan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta kesukarelawanan dalam komuniti khususnya dalam mendukung aspirasi Kerajaan untuk membangunkan Komuniti Rahmah. Program dilaksanakan di tiga (3) peringkat, iaitu peringkat kebangsaan di Sibu Sarawak, peringkat negeri di 16 buah negeri, dan peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Aaron menyatakan bahawa kejayaan program sebelum ini telah memberikan dorongan positif terhadap nilai-nilai kebersamaan, muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama. Pada tahun 2023, hampir 4,002 KRT telah menyertai program tersebut dengan pengedaran sebanyak 400,000 bekas bubur lambuk.
Manakala pada tahun ini disasarkan lebih 600,000 bekas bubur lambuk akan diedarkan di seluruh negara oleh anggota KRT. Selain agihan bubur lambuk, terdapat juga program lain seperti sumbangan Bakul Rahmah, Ziarah Rahmah, dan iftar Ramadan.
“KRT adalah jentera perpaduan di peringkat komuniti yang berperanan penting dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan, dan keharmonian. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 8,438 KRT yang ditubuhkan di seluruh negara, dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat setiap tahun,” ujar Aaron.
Beliau berharap agar program seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran dan menggerakkan peranan KRT sebagai agen penyatuan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif.
Aaron turut menyatakan juadah bubur lambuk harus diangkat sebagai simbol perpaduan dan nilai kebersamaan yang dapat dilihat dengan signifikan melalui penggabungan pelbagai ramuan seperti beras, bawang, rempah, daging dan sebagainya yang akhirnya memberikan citarasa yang sedap. Selain itu, amalan penyediaan bubur lambuk di Malaysia secara “rewang” atau gotong royong dalam komuniti juga merupakan simbol perpaduan yang unik. Konsep penyatuan seperti ini harus juga diterjemahkan dalam kehidupan seharian dalam semua peringkat lapisan masyarakat sekaligus mengangkat agenda “Perpaduan Dalam Kepelbagian”.
Leave a comment