AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Penduduk Malaysia cakna Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran: Trend penurunan 3% sisa makanan di seluruh negeri yang menerima pakai Akta 672

149

SEPANG, 17 Mac 2024 – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengadakan Sesi Libat Urus Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Bulan Ramadan Tahun 2024.

Program itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu bertempat di Bazar Ramadan Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Ia dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang dengan penglibatan Pemuda Gema Malaysia dan Sukarelawan Hero Kebersihan.

Penganjuran Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran oleh KPKT melalui SWCorp pada bulan Ramadan 2024 itu bukan sahaja menyumbang kepada pencapaian sasaran Sustainable Development Goal (SDG) 12.3 iaitu pengurangan separuh daripada sisa makanan global perkapita pada tahun 2030 malah ia merupakan kesinambungan kepada inisiatif yang telah diperkenalkan sejak tahun 2015 dengan objektif untuk mengurangkan pembaziran makanan dan jumlah sisa makanan yang dilupuskan ke tapak pelupusan.

“Objektif kempen ini disasarkan berikutan hasil dapatan kajian komposisi sisa pepejal mengikut komponen yang dijalankan oleh SWCorp merekodkan sisa makanan merupakan sisa yang paling banyak dilupuskan di tapak pelupusan iaitu sebanyak 35.45 peratus bersamaan 86,766.29 tan daripada jumlah keseluruhan 244,756.82 tan sisa pepejal yang dilupuskan sepanjang bulan Ramadan tahun 2023 di 28 kemudahan pengurusan sisa pepejal yang diselia oleh SWCorp.

Kajian komposisi ini juga merekodkan komponen sisa makanan yang paling banyak dilupuskan pada bulan Ramadan adalah sisa makanan kategori inedible food waste iaitu sisa makanan yang tidak dapat dielakkan daripada dilupuskan menyumbang sebanyak 70 peratus (60,736.40 tan) seperti kulit telur, tulang dan kulit buah-buahan berbanding sisa makanan kategori edible food waste (sisa makanan yang boleh diolah) sebanyak 30 peratus bersamaan 26,029.89 tan iaitu lebihan makanan seperti nasi, pasta, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran.” kata SWCorp.

Sementara itu, Aiman Athirah memaklumkan secara purata, setiap hari sebanyak 8,159 tan sisa pepejal telah dilupuskan di 28 tapak pelupusan di bawah seliaan SWCorp pada bulan Ramadan tahun 2023. Daripada jumlah sisa pepejal ini, 35.45% atau anggaran 2,892 tan merupakan sisa makanan.

imbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu

Beliau turut mengumumkan bahawa pada tahun 2023, jumlah sisa makanan dilupuskan pada bulan Ramadan didapati berkurang sebanyak 3.07% berbanding dengan tahun 2022.

“Manakala ramalan bulan Ramadan 2024 pula, dijangkakan akan berlaku penurunan sebanyak 3 peratus lagi jumlah sisa yang dilupuskan berbanding sisa bulan Ramadan 2023 berdasarkan pemerhatian terhadap trend pelupusan sisa pada bulan Ramadan tahun lepas,” tambah beliau lagi.

Selain kejayaan yang direkodkan hasil daripada pelaksanaan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran ini, faktor lain yang dilihat membantu dalam penurunan kadar janaan sisa Ramadan 2023 antaranya adalah masyarakat kini lebih memilih untuk berbelanja secara berhemah dan bersederhana mengikut keperluan dan kemampuan sepertimana yang disarankan.

Sempena bulan Ramadan ini, SWCorp akan melaksanakan sesi libat urus bersama penjaja dan pengunjung dengan mensasarkan 71 buah bazar Ramadan di 7 negeri yang menerima pakai Akta 672 dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Antara pengisian sesi libat urus ini adalah penyampaian ceramah, pameran, mempromosi bahan pendidikan dan perkongsian tip-tip mengelakkan pembaziran bersama peniaga dan pengunjung.

Pelaksanaan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Tahun 2024 juga akan melibatkan aktiviti pengumpulan lebihan makanan yang tidak terjual dan diedarkan kepada golongan yang memerlukan melalui program MySaveFood@Ramadan 2024 dengan kerjasama Pemuda Gema Malaysia.

Sebanyak 36 buah bazar Ramadan terpilih di 7 negeri yang menerima pakai Akta 672 akan terlibat dalam aktiviti itu. Program itu merupakan inisiatif utama bersama pihak MARDI bagi mengurangkan pembaziran makanan di tapak Bazar Ramadan di mana lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar diselamatkan dan diberikan kepada pihak yang memerlukan seperti asnaf, gelandangan dan lain-lain lagi.

Untuk makluman, pada tahun 2023, melalui projek tersebut sebanyak 10,376.71kg lebihan makanan telah diselamatkan dengan nilaian RM208,020.71 daripada 55 bazar seluruh Malaysia.

Program libat urus pada petang ini melibatkan edaran plak kempen, apron bercetak “Hargai Makanan Elak Pembaziran” kepada 150 peniaga bazar serta edaran sebanyak 300 unit beg guna semula dan dan mangkuk tingkat kepada pengunjung Bazar Ramadan Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Puasa Syawal: Gabung atau berasingan?

Oleh: Dr Ridzwan Ahmad Setelah berakhirnya bulan Ramadan dengan ketibaan Aidilfitri maka...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

AI Untuk Rakyat tepati konsep maqasid al-syari’ah

Oleh: Dr Ariyanti Mustapha Perkembangan teknologi yang berasaskan kecerdasan buatan atau AI...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...