AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Jadikan sifat malu sebagai benteng kerosakan akhlak

143
Pelacuran moden ini menggambarkan terhakisnya sifat malu seorang wanita daripada melakukan larangan Allah SWT (Freestocks - Unsplash)

Oleh: Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin

Kehidupan era moden sememangnya banyak memberi kemudahan dalam menguruskan kehidupan manusia. Namun, arus kemodenan ini disalah guna sehingga boleh membawa manusia leka ke arah mengejar dan mengutamakan keseronokan serta kesenangan kehidupan sehingga terdapat golongan yang mementingkan tuntutan material dan sanggup mengabaikan maruah dan melanggar perintah Allah SWT. Allah SWT telah memuliakan manusia dengan keindahan rupa dan akal sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran, bahasa serta dikurniakan pemikiran yang baik dalam mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi.

Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin

Kemuliaan manusia yang disebutkan ini adalah akal fikiran supaya manusia bukan sahaja mampu berfikir tentang sesuatu perkara malah dapat membezakan antara yang hak dan batil. Keistimewaan yang dikurniakan ini sewajarnya digunakan ke arah kebaikan iaitu dengan mematuhi perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT. Namun akhir zaman ini, kebanyakan manusia lebih mengikut hawa nafsu sehingga melanggar perintah Tuhan semata-mata ingin mengejar keseronokan dan kemewahan hidup kerana kurangnya penghayatan terhadap ilmu agama sehingga membawa kepada kelemahan iman, disamping pengaruh daripada keadaan dan orang sekeliling.

Kenyataan ini berkait rapat dengan isu pelacuran moden yang tular di media sosial baru-baru ini yang kebanyakan mereka terdiri daripada golongan wanita muda. Mereka menjadikan media sosial sebagai platform untuk memasarkan video lucah yang dirakam sendiri kemudian diedarkan kepada peminat yang sanggup membayar dengan harga yang telah ditetapkan. Melihat kepada keadaan ini, secara tidak langsung menggambarkan keruntuhan akhlak dan hilangnya sifat malu dan harga diri yang sangat membimbangkan.

Keteguhan asas agama dalam diri memainkan peranan penting dalam membina benteng diri dari sudut kejiwaan sekali gus menatijahkan sahsiah dan peribadi unggul. Islam sebagai agama yang sentiasa menjaga umatnya melalui ajaran-ajaran tertentu bukan sahaja meliputi penjagaan dari aspek luaran atau fizikal malah menekankan pembentukan rohani yang kukuh dalam membentuk satu sosok tubuh yang sentiasa terpandu dan mampu membentengi diri daripada segala salah laku yang tidak baik.

Antara perkara penting yang Islam sangat tekankan ialah soal malu serta maruah. Ada pun perbuatan pelacuran moden ini menggambarkan terhakisnya sifat malu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada iman dan benteng seorang wanita daripada melakukan larangan Allah SWT. Ini kerana pokok pangkal kebaikan dan benteng diri daripada melakukan maksiat keburukan adalah sifat malu kerana malu adalah sebahagian daripada iman, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Iman memiliki lebih dari enam puluh cabang, dan malu adalah sebahagian daripada iman.” (Riwayat Bukhari).

Melalui hadis tersebut, dapat dikaitkan bahawa malu mempunyai kelebihan sebagai perisai dan penjaga bagi jiwa, pemikiran juga tingkah laku manusia.

Antara faktor yang menyebabkan golongan tersebut bertindak sedemikian adalah kerana dirinya telah terluncur atau terlepas daripada kawalan sifat malu tersebut dan kehilangan rasa malu yang menyebabkan hilangnya segala kebaikan dan akhlak terpuji. Hal ini juga menampakkan rendahnya

wanita meletakkan kehormatan dirinya sendiri. Islam sememangnya memberi penghormatan kepada wanita kerana harga dirinya itu adalah tidak ternilai. Maka dalam hal ini, setiap wanita seharusnya menjaga kemuliaan dan kehormatan diri dengan tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang menjatuhkan maruah sabda Baginda SAW: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”(Hadith Riwayat Muslim)

Malu seorang wanita ini bukanlah tidak berkomunikasi langsung atau berjalan tunduk sepanjang masa. Malu ialah satu naluri yang Allah S.W.T kurniakan kepada wanita supaya mereka lebih sensitif untuk melindungi anugerah kecantikan yang telah Allah S.W.T kurniakan. Walaupun malu ini lebih sinonim diberikan kepada wanita, hakikatnya malu bukanlah hanya sekadar berlegar dalam kehidupan wanita semata-mata kerana istilah ini memaknai kepada seluruh umat manusia.

Perlulah setiap orang termasuk wanita mahupun lelaki untuk menjadikan sifat malu ini sebagai landasan etika dalam usaha membentuk keperibadian yang berakhlak mulia kerana dengan memiliki sifat ini, seseorang itu akan memperoleh banyak kebaikan khususnya untuk meningkatkan darjat dan kehormatan di sisi Allah.

Imam al-Māwardī telah membahagikan malu kepada tiga pecahan iaitu malu kepada Allah S.W.T, sesama manusia dan diri sendiri. Apabila seseorang itu berasa malu kepada diri sendiri pastinya akan memelihara dirinya sendiri dengan tidak menzalimi diri melakukan perbuatan yang membawa kepada kehinaan dan keburukan diri.

Begitu juga apabila seseorang itu memiliki rasa malu sesama manusia, maka mereka pastinya menahan diri untuk tidak melakukan kemungkaran bersama atau dihadapan manusia lain secara terang-terangan untuk menghindarkan diri daripada dipandang buruk pada pandangan manusia. Dan yang paling penting adalah jika seseorang itu berasa malu kepada Allah maka pastinya larangan-Nya tidak akan mudah diingkari.

Orang yang memiliki sifat malu akan sentiasa menjaga hawa nafsu kerana setiap kali dia ingin melangkah melakukan hal yang membawa kepada keburukan pastinya akan tertahan atau terhalang oleh desakan malunya. Seseorang itu menyedari bahawa segala tingkah lakunya dilihat Allah, baik secara zahir mahu pun yang tersembuyi, sehingga sifat malunya sentiasa dapat mencegah dirinya daripada perbuatan dosa dan maksiat.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di basirah@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

Biz @ My LNABM @ MY LNANiaga @ My LNAUTAMA

Penjual Kerepek Capai 80% Peningkatan Jualan dengan Shopee Live

KUALA LUMPUR, 19 April 2024 – Mengenal pasti potensi berkembang strim langsung,...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Palestin dan hakikat kemenangan Aidilfitri

Dr. Mohd Istajib Mokhtar Dalam pada kita bergembira menyambut hari raya di...

BM @ MY LNAPendapat @ My LNAPolitik @ My LNAUTAMA

BERSIH Selar Pengumuman Peruntukan Terpilih Kerajaan di Kuala Kubu Bharu

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...