BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Kerajaan yakin capai pertumbuhan ekonomi lebih kukuh tahun ini – Anwar

244

PUTRAJAYA, 16 Februari 2024 – Ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan sebanyak 3% pada suku keempat 2023 (S4 2023) walaupun diselubungi persekitaran luaran yang mencabar.

Ia disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan yang meningkat sebanyak 5.2% pada S4 2023 (S3 2023: 4.8%). Peningkatan tersebut membantu mengimbangi penurunan perdagangan luar sebanyak 3.2% berikutan kejatuhan eksport susulan permintaan global yang melemah.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia kembali normal dengan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada tahun 2023 berikutan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2022: 8.7%). Pertumbuhan keseluruhan tahun 2023 adalah sedikit rendah berbanding unjuran Belanjawan 2024 iaitu sekitar 4%.

Pertumbuhan pada S4 2023 disokong oleh peningkatan asas ekonomi iaitu antara lain:

  • Pasaran buruh mencatat momentum pertumbuhan positif dengan kadar pengangguran berkurangan kepada paras prapandemik 3.3% pada S4 2023 (S3 2023: 3.4%).
  • Inflasi menyederhana kepada 1.6% (S3 2023: 2%) menunjukkan keberkesanan strategi Kerajaan menyasarkan semula subsidi yang tidak menyebabkan kejutan kepada keseluruhan ekonomi. Bagi bulan Disember 2023, kadar inflasi mereda kepada 1.5%. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding ekonomi negara maju dan serantau yang lain seperti Zon Euro (2.9%), Republik Korea (3.2%), Amerika Syarikat (3.4%), Filipina (3.9%) dan Indonesia (2.6%).
  • Pelaburan langsung asing bersih (FDI) direkodkan sebanyak RM17.1 bilion pada S4 2023 (S3 2023: RM7.2 bilion).

“Pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan menggambarkan bahawa agenda pembaharuan oleh Kerajaan MADANI mula membuahkan hasil yang positif. Selain daripada penstrukturan semula fiskal secara berterusan yang memanfaatkan Kerajaan dan rakyat, usaha meningkatkan tadbir urus dan mempermudah urusan perniagaan telah merangsang aktiviti ekonomi, seterusnya memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Susulan pemetaan strategi pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia melalui kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan akan mempercepat pelaksanaannya pada tahun ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi baharu dan merealisasi pembaharuan dan keadilan sosial.

“Kerajaan MADANI yakin mampu mencapai pertumbuhan yang lebih kukuh antara 4% hingga 5% pada 2024 disokong oleh asas yang kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi MADANI dan Belanjawan MADANI Kedua.

Kerajaan bertekad untuk terus mengecilkan defisit fiskal kepada 4.3% tahun ini, sejajar dengan komitmen dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 5% pada 2023 daripada 5.6% pada 2022.” kata Anwar.

Ekonomi MADANI menekankan kepentingan mengislahkan ekonomi Malaysia bukan sahaja untuk menangani cabaran sistemik yang sejak sekian lama berakar tetapi juga memberikan tumpuan kepada bidang pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan.

Belanjawan 2024 menekankan komitmen Kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan penyasaran semula subsidi. Penjimatan daripada langkah tersebut dapat disalurkan sebagai bantuan kepada golongan rentan dan memerlukan serta meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Sementara itu, strategi dan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas akan memacu pelaburan berkualiti dalam industri bernilai tambah tinggi terutamanya dalam industri berteknologi tinggi, peralihan tenaga dan digital serta seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKewangan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Apakah hubungan literasi kewangan dengan tingkah laku perbelanjaan rakyat Malaysia?

Oleh: Dr. Nurul Ashikin Alias Malaysia telah melalui pelbagai perubahan bersifat fenomena...

Biz @ My LNABM @ MY LNA

M & A SECURITIES dan NEWPARADIGM Tandatangan Tajajamin Bagi Terbitan Hak Dengan Waran Untuk Perolehan Siab Holdings Berhad Terhadap Taghill

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2024 – Siab Holdings Berhad (“Siab” atau “Syarikat”), pemain mapan dalam...

AMBM @ MY LNA

Pusat Asean-Jepun Melancarkan Semula Laman Web Rasmi: Pangkalan Data Baharu Dan Kandungan Temu Bual Ditambah

TOKYO, 7 Mei 2024 (Bernama) — Pusat ASEAN-Jepun (AJC) memperbaharui laman web rasminya...

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat pendidikan secukupnya?

Oleh: Dr Abd Razak Zakaria Laporan daripada Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran...