BM @ MY LNAEkonomi @ My LNANiaga @ My LNAPertanian @ My LNA

Usahawan MyAP berjaya tembusi pasaran antarabangsa

227
Gambar Hiasan

SHAH ALAM, 13 Februari 2024 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu hari ini mengadakan lawatan kerja ke Projek Industri Asas Tani (IAT) Keropok House & Industry Sdn Bhd. Lawatan kerja tersebut adalah bertujuan bagi meninjau perusahaan pemprosesan produk berasaskan ikan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa ke Australia, Singapura dan Brunei.

Bertapak sejak 23 tahun lalu, syarikat yang menjalankan perusahaan keropok lekor di Parlimen Kota Raja itu merupakan usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Selangor. Keropok House & Industry Sdn Bhd menerima bantuan dari jabatan pada 2016 dan 2022 melalui bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPEKS) sebanyak RM43,500 bagi mempertingkatkan hasil produk yang dipasarkan.

Syarikat milik Bumiputera itu juga telah memperolehi pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), kualiti dan mutu produk keluaran syarikat turut diperlengkap dengan penerimaan pensijilan Good Manufacturing Practise (GMP) dan pensijilan Halal.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan bin Hussain berkata nilai pengeluaran myAP seluruh Malaysia pada tahun 2022 adalah sebanyak RM 18,540,000 dengan melibatkan 72 usahawan manakala pada tahun 2023 nilai pengeluaran mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak RM 22,875,000 dengan 78 usahawan.

“Jabatan Perikanan Malaysia bertanggungjawab dalam membangunkan dan memajukan usahawan dan komuniti perikanan. Penubuhan program myAP di Jabatan Perikanan Malaysia telah terbukti membantu golongan sasar untuk menaik taraf kehidupan mereka di samping turut membantu merancakkan ekonomi Malaysia”, ujarnya.

Jelas beliau lagi, selain membantu komuniti perikanan untuk meneroka pelbagai peluang perniagaan berdasarkan sumber perikanan, jabatan juga turut membantu dari aspek pemasaran produk usahawan melalui karnival usahawan perikanan, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) dan pelbagai platform promosi lain.

“Ini merupakan usaha komited jabatan bagi membantu mereka menjual dan memasarkan produk mereka kepada lebih banyak pelanggan, termasuk restoran, pasar tempatan juga pembeli luar negeri. Usahawan myAP turut mendapat sokongan teknikal dari Jabatan Perikanan Malaysia dalam pengurusan dan operasi perniagaan mereka. Sokongan ini termasuklah pemantauan kualiti produk, penguatkuasaan undang-undang perikanan dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan perniagaan”,katanya.

Beliau turut berkata, usahawan myAP juga disaran untuk berpegang kepada pelaksanaan dan pembudayaan Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang telah diberi penekanan oleh menteri sebelum ini. Perkara ini penting bagi melonjakkan produktiviti usahawan, kelangsungan sektor agromakanan negara dan seterusnya bagi memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...