AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Apakah sebenarnya nilai harga diri kita?

174
Ledakan kemajuan teknologi telah mengubah hidup dan budaya manusia. Gambar oleh John Schnobrich - Unsplash

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Ledakan kemajuan teknologi maklumat yang dikecapi dunia sejak 30 tahun yang lalu telah banyak mengubah hidup manusia. Boleh dikatakan kesemua industri telah mengalami perubahan demi perubahan yang saban hari menuju ke arah satu revolusi yang dinamakan revolusi perindustrian.

Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Dalam tempoh yang sama juga, fenomena ini telah mengubah hidup dan budaya manusia. Gaya kerja yang cekap dan efisien, kaedah penyampaian yang semakin pantas serta komunikasi tanpa sempadan telah meningkat mutu dan kualiti hidup penduduk dunia yang menikmati kemajuan ini. Walaupun begitu, seperkara yang perlu disedari adalah kemajuan teknologi komunikasi ini juga telah meruntuhkan nilai hidup segelintir manusia yang menjadikannya sebagai satu platform untuk meraih keuntungan dengan menjual maruah mereka.

Lambakan perniagaan yang menggadai dan mempertaruh maruah

Hujung Januari yang lepas, seorang bapa beranak tiga yang lebih dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ bersama enam wanita yang lain telah ditangkap dan dituduh atas kesalahan memiliki dan mengedarkan video lucah. Menurut laporan Berita Harian pada 31 Januari 2024, siaatan mendapati mereka keenam-enam wanita berkenaan telah melakukan hubungan seks terlarang secara sukarela bagi meraih habuan dunia semata-mata. Kemudian, rakaman tersebut dijual untuk langganan menerusi aplikasi X.  Apa yang lebih menyedihkan tertuduh adalah warganegara yang beragama Islam yang dengan jelas mengharamkan segala bentuk persundalan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Isra (17:33):

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Kes di atas berkemungkinan salah satu kes yang dapat dikesan pihak berkuasa sementara itu berkemungkinan masih wujud lagi pelbagai kegiatan haram sebegini yang menggunakan modus operandi yang berbeza bagi mengaburi kesalahan mereka di mata masyarakat sedangkan sezarah dari kesalahan itu pun tidak pernah dapat disembunyikan dari pengetahuan Allah SWT. Ia adalah silibus asas yang dipelajari oleh setiap pelajar beragama Islam di negara ini. Namun, bagaimana silibus asas akidah ini dihayati oleh umat Islam?

Di manakah maruah kita?

Tindakan memperdagangkan maruah diri menerusi aplikasi dalam talian adalah satu perkara yang dilihat sebagai norma terutamanya di kalangan masyarakat Barat dan beberapa negara di Asia. Mereka yang tidak memiliki fahaman agama yang jelas serta hidup tanpa matlamat sudah pasti menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk mengumpulkan segala kekayaan dengan penuh kerakusan tanpa memperdulikan larangan dan tegahan agama dan budaya. Bagi mereka, duit adalah motif utama yang menghalalkan segala-galanya sekalipun ia berpenghujung dengan penyesalan dan meruntuhkan harga diri mereka.

Perbuatan ini dilihat lebih jelek berbanding haiwan yang sekalipun mereka adalah makhluk yang tidak dikurniakan akal. Kejadian seperti ini jelas digambarkan oleh Allah SWT yang merujuk kepada manusia yang tidak menggunakan akal dan pancaindera yang lain dalam mencari ketuhanan dan agama dengan firman-Nya dalam Surah al-’Araaf ayat 179:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Justeru, mengapa budaya sesat dari Barat yang lebih menjadi pilihan kepada mereka sedangkan budaya ketimuran dan ajaran Islam yang lebih murni serta memelihara maruah adalah pilihan yang lebih tepat bagi mencari kebahagiaan dan ketenangan?

Kehendak dunia atau runtunan nafsu?

Ada pihak yang mendakwa bahawa tindakan ‘menjual diri’ ini atas alasan keterdesakan hidup untuk mencari pendapatan. Namun, jika dilihat kepada latar belakang mereka yang terlibat dalam aktiviti ini bukanlah dari golongan yang miskin atau merempat sebaliknya mereka berkelulusan institusi pengajian tinggi dan bekerjaya. Adakah kerana terdesak? Atau terdesak untuk mencari kekayaan duniawi yang mudah secara segera sekalipun menjual kehormatan yang paling berharga bagi manusia yang bermaruah.

Masih wujud banyak sumber yang halal

Kita sudah berada di tahun yang kedua selepas pasca pandemik yang berakhir tahun 2022 yang lepas. Peluang pekerjaan dari pelbagai sektor dan industri telah banyak dibuka yang memperlihatkan pengambilan tenaga asing yang berbondong-bondong datang ke negara ini. Sekalipun jangkaan ekonomi negara akan sedikit menguncup pada tahun ini, ia tidak menjadi penyebab utama kepada kemelesetan atau gangguan pendapatan di kalangan rakyat Malaysia yang bekerja.

Jika ingin dihitung, pengambilan guru secara one-off dan sektor dalam ekonomi gig dan yang berkaitan sudah cukup bagi menampung keperluan tenaga pekerja muda dan baharu di negara ini. Hal ini belum lagi mengambil kira pengambilan kerja secara kontrak, ad hoc, penggantian sementara serta jawatan kosong yang sentiasa di buka setiap tahun. Selain itu, peluang untuk latihan bagi upskilling juga ada untuk menambah nilai para graduan yang baru ingi mencebur dunia pekerjaan.

Mudah kata, jika pekerja asing yang datang tanpa sebarang sijil dan kemahiran pun mampu untuk menggali rezeki di negara ini, ini kan pula graduan yang memiliki segulung ijazah. Jika masih memilih yang haram, itu bukan keterdesakan, sebaliknya ia merupakan pilihan bagi insan yang telah digelapkan hati dengan tipu daya syaitan dan duniawi. Mudah-mudahan kita dijauhkan dari tipu dayanya.

Hidup hanyalah sementara

Saidina Umar al-Khattab adalah khalifah Islam kedua yang disegani oleh rakan dan musuh. Kehebatan sahsiah dan ketinggian peribadinya tidak perlu lagi diperkenalkan. Antara perkara yang menjadikan beliau sentiasa berwaspada dalam setiap tindak tanduk beliau ialah sifat muraqabah yang tinggi di mana beliau menyakini bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi setiap perbuatan hambanya zahir dan batin.

Tidak cukup dengan itu, beliau mengukir di cincin beliau dengan ungkapan ‘cukuplah kematian sebagai satu peringatan’ sebagai satu ingatan bahawa kehidupan ini hanyalah sementara dan akan diperhitung oleh Allah SWT di hari kiamat yang kelak. Manusia di kala hidup sememangnya melihat kematian dan kiamat itu amat jauh, tetapi pabila kematian datang menjelma barulah mereka tersedar, sesuai dengan ungkapan pepatah Arab ‘manusia itu sentiasa tidur, tetapi apabila datang kematian barulah dia terjaga’.

Fungsi masyarakat dan kerajaan dalam membentuk manusia

Setiap lapisan masyarakat amat menghargai tindakan dan inisiatif kerajaan dalam memelihara rakyat dan kesejahteraan di negara ini. Walau bagaimanapun, menjadi tanggungjawab kerajaan yang dipimpin oleh mereka yang beragama Islam serta masyarakat untuk sentiasa mengingatkan bahawa keperluan mencari kesenangan dan keselesaan di dunia ini hanyalah sementara manakala kehidupan selepasnya pula adalah yang kekal. Berapa banyak kisah dalam Al-Quran yang menunjukkan kekayaan Firaun, Namrud dan Qarun tidak berjaya menyelamatkan mereka dari laknat dan kecelakaan dari Allah SWT. Sedangkan dalam masa yang sama, pengorbanan ‘Ashab al-Ukhdud’ dirakamkan Allah SWT dalam Al-Quran sebagai tanda kejayaan bagi mereka yang mematuhi undang-undang-Nya.

ِAkhirnya marilah sama-sama kita mengambil manfaat dari sebuah hadis riwayat al-Imam al-Thobrani dari Sahl bin Sa’ad bahawa satu ketika Saidina Jibril AS mengatakan kepada Nabi Muhammad SAW:

Wahai (Nabi) Muhammad, hiduplah sebagaimana yang engkau sukai namun akhirnya kamu akan mati, beramallah mengikut kehendakmu kerana sesungguhnya kamu akan diberi balasan atas setiap tindakanmu, sayangilah sesiapa pun nescaya kamu pasti akan meninggalkannya, ketahuilah kamu bahawa kemuliaan seorang mukmin terletak pada solat malam yang dikerjakan dan kemegahannya pula ialah pada kayanya diri mereka dari mengharap pada manusia yang lain. (Al-Thobrani, No. 4278, Al-Mukjam al-Awsat).

……

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.