AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Zionisme: Dari nasionalisme sekular kepada ultranasionalisme agama

484
Zionisme yang ditubuhkan bagi mengatasi semangat kebencian kaum akhirnya menjadi satu gerakan rasis. Gambar oleh Taylor Brandon - Unsplash

Oleh: Dr. Mohd. Khairul Naim Che Nordin

Dalam satu buku kecil berjudul Der Judenstaat (Negara Yahudi) terbitan 1896, Theodor Herzl menjawab persoalan utama waktu itu mengenai keperluan orang Yahudi kepada sebuah negara sendiri. Jawapannya hanyalah satu, iaitu kerana gelombang antisemitisme yang berlaku di Eropah. Herzl menubuhkan satu pertubuhan nasionalisme sekular yang dinamakan sebagai Zionisme bagi mencapai matlamat penubuhan negara bangsa Yahudi. Penamaan tersebut bersempena nama bukit Zion di Baitul Maqdis yang didakwa pernah menjadi lokasi pusat pentadbiran Raja Dawid. Walau bagaimanapun, Palestin bukanlah satu-satunya kawasan yang dipilih sebagai lokasi negara Yahudi.

Dr. Mohd. Khairul Naim Che Nordin

Dalam satu kertas cadangan yang dinamakan sebagai The Uganda Scheme, pihak kolonial British mencadangkan satu wilayah berkeluasan 15,500 km persegi di Kenya kepada pertubuhan Zionisme bagi merealisasikan hasrat penubuhan negara tersebut. Kongres Zionis Sedunia di Basel pada tahun 1903 bersetuju dengan usulan ini namun selepas itu dibatalkan kerana persekitarannya yang dihuni binatang buas dan tidak sesuai didiami. The Jewish Colonisation Association pula mencadangkan suatu wilayah di Argentina sebagai tapak negara, namun ia ditolak oleh Herzl kerana lokasinya yang terlalu jauh dan membabitkan kos kewangan yang besar.

Di sebalik hasrat penubuhan negara sendiri, Zionisme di awal abad ke-20 hanyalah pertubuhan minoriti yang keanggotannya didominasi oleh Yahudi Russia yang menerima kesan antisemitisme paling tinggi berbanding di tempat yang lain. Menurut sarjana Yahudi, Yakov M. Rabkin, pandangan tentang keperluan sebuah negara bangsa Yahudi ini pada awalnya kurang dominan dalam kalangan masyarakat Yahudi sendiri yang lebih memilih untuk berintegrasi dan berasimilisasi dengan masyarakat tempatan di Eropah dan Amerika Syarikat.

Gerakan intelektual Yahudi seperti Haskalah turut berpendirian, berasmilisasi dengan budaya Barat adalah langkah terbaik oleh komuniti Yahudi bagi memastikan mereka diterima tinggal di sana. Komuniti Yahudi Palestin iaitu Yishuv yang hanya mewakili tiga peratus dari jumlah populasi penduduk Palestin di akhir abad ke-19 dilihat tidak pun memiliki hasrat atau cita-cita menubuhkan negara moden Yahudi di Palestin waktu itu. Apatah lagi, perancangan penubuhan negara Yahudi ini pada awalnya tidak berteraskan faktor keagamaan tetapi sepenuhnya berpaksikan ideologi nasionalisme sekular.

Walau bagaimanapun bagi Herzl, anti semitisme yang berlaku tidak memungkinkan asimilisasi berlaku di Eropah. Lalu, Palestin akhirnya dilihat sebagai satu-satunya lokasi paling sesuai menempatkan semua bangsa Yahudi yang hidup secara diaspora waktu itu. Namun, penubuhan Eretz Yisrael di kawasan yang telah sedia dihuni memerlukan suatu asas kuat. Bagi mengolah pandangan umum, naratif agama disulami idea nasionalisme yang memuncak secara global waktu itu dibentuk bagi menjustifikasikan keperluan sebuah negara Yahudi.

Zionisme membawa naratif Torah, iaitu tentang perjanjian Tuhan dengan Abraham yang merupakan patriarch bangsa Yahudi. Perjanjian tersebut memperuntukkan Abraham dan keluarganya sebuah wilayah besar Kanaan yang meliputi persisiran utara Mediterranean, bahagian barat sungai Jordan, Lubnan, selatan Syria dan wilayah Palestin kini. Naratif ‘exodus’ yang membabitkan peranan Moshe membawa keluar 12 puak Israel dari perhambaan di Mesir ke tanah yang dijanjikan turut disebarkan kepada orang Yahudi khususnya selepas parti Fasis di Itali dan parti Nazi di Jerman memperoleh kekuasaan.

Idea penubuhan negara bangsa (nasionalisme) di tanah yang dijanjikan (agama) ini digiatkan lebih aktif oleh Tziyonut Datit (Religious Zionism) dalam kalangan Yahudi ortodoks. Ideolog utamanya ialah Rabbi Abraham Isaac Kook yang berperanan besar membangunkan dasar teologi dan agama di atas asas negara bangsa. Bagi Rabbi Kook, Zionisme bukan semata-mata gerakan politik oleh orang Yahudi sekular, tetapi suatu alat oleh Tuhan yang membolehkan orang Yahudi kembali ke tanah yang dijanjikan oleh-Nya. Tuhan mahu orang Yahudi pulang ke ‘tanah berdaulat mereka’ supaya undang-undang Torah boleh diamalkan oleh setiap penganut. Oleh itu, usaha mendapatkan tanah suci yang dijanjikan ini adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Yahudi manakala membantu Zionisme bermakna mentaati kehendak Tuhan.

Pandangan ini ditentang khususnya oleh gerakan anti-Zionis dalam kalangan orang Yahudi sendiri. Mereka boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu ahli gerakan politik sayap kiri dan kumpulan agama seperti Yahudi Haredi. Bagi kumpulan ini, penubuhan negara berdaulat sebelum kemunculan Messiah adalah dilarang. Negara moden Israel yang ditubuhkan ini pula berciri sekular di mana sifat nasionalnya ditentukan pada aspek bahasa, budaya dan tanah air tanpa mengambil kira ciri yang ditentukan dalam Torah. Pemimpin spiritual Yahudi Ortodoks Jerman, Rabbi Samson Raphael Hirsch pernah mengeluarkan kenyataan bahawa adalah satu dosa bagi sesiapa yang mempromosikan imigrasi orang Yahudi ke Palestin. Rabbi Moshe Lieb-Hisrch dalam kenyataan penentangannya kepada Zionisme pula mengatakan, “Kami (Neturei Karta) tidak akan menerima negara Zionis walaupun orang Arab menerimanya.”

Pandangan ini bagaimana pun tenggelam dengan semangat militanisme Zionis bersadurkan agama. Bagi mencapai penubuhan negara Yahudi, warga tempatan perlu diusir dari ‘tanah yang dijanjikan’. Selepas kemasukan besar-besaran orang Yahudi ke Palestin hasil bantuan British, organisasi militari Haganah ditubuhkan pada tahun 1920 bagi melancarkan serangan dan pengusiran penduduk Palestin. Antara tahun 1947 hingga 1949 dianggarkan 750,000 warga Palestin diusir dan menjadi pelarian. Jumlah tersebut cukup besar memandangkan populasi penduduk waktu itu adalah seramai 1.9 juta orang.

Selain itu, pihak Zionis mengambil 78% tanah, memusnahkan 530 kampung dan membunuh 15,000 warga Palestin dalam siri pembunuhan besar-besaran. Pada tahun 1948, Haganah dibubarkan dan anggota mereka kemudiannya diiktiraf sebagai tentera kerajaan. Sehingga kini nama rasmi Israel Defense Forces masih mengekalkan nama Haganah iaitu Tzva Haganah le-Yisraʾel. Manakala ideologi Zionisme menjadi identiti nasional kerajaan haram Israel pada tahun 1948. Panji Zionis yang dijadikan sebagai bendera rasmi negara merupakan manifestasi gerakan ini sebagai simbol kewujudan negara Israel.

Zionisme sebagai gerakan nasionalisme agama merupakan kuasa yang lebih kuat dan radikal berbanding gerakan yang ditegakkan dengan asas nasionalisme sekular semata-mata. Berbanding gerakan Yahudi lain sepanjang sejarah 2000 tahun, Zionisme merupakan gerakan paling berjaya dalam menubuhkan negara Israel yang dipimpin oleh orang Yahudi. Walau bagaimanapun, penubuhannya adalah melalui usaha imperialisasi dan Zionisme sendiri merupakan gerakan penjajahan. Namun, jika kuasa kolonial klasik Eropah mengeksploitasi khazanah alam yang dijajah, Zionisme sebaliknya pergi lebih jauh dengan melakukan pembunuhan besar serta mengusir penduduk asal. Semua itu diharuskan dengan dalil agama dan ia dieksploitasi sehingga kini.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam ucapannya kepada tentera Israel pada 29 Oktober 2023 memetik teks Neviim bagi melancarkan serangan ke Gaza. Katanya, “Kamu mesti ingat

apa yang Amalek lakukan kepada kamu, seperti yang termaktub dalam kitab suci kita..” Beliau kemudiannya membacakan ayat dalam Samuel 15:3, “Jadi, pergilah dan seranglah orang Amalek dan hancurkanlah segala milik mereka. Janganlah tinggalkan sesuatu apa pun; (bunuhlah semua orang laki-laki, wanita, anak-anak dan bayi).”

Ini disusuli dengan tersebarnya video perayaan tentera Israel beberapa hari selepas itu yang melaungkan “to wipe off the seed of Amalek” selepas melakukan serangan bertubi-tubi di Gaza. Afrika Selatan dalam laporan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah menggunakan video ini bagi membuktikan pembunuhan besar-besaran berlaku.

Ironinya, Zionisme yang ditubuhkan bagi mengatasi semangat kebencian kaum akhirnya menjadi satu gerakan rasis. Tambah mengesankan ia disaduri dengan lensa agama, sehingga ia bukan lagi sekadar sebuah ideologi biasa tetapi gerakan fasis ultranasionalisme agama yang membenarkan jenayah perang.

……

Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di khairulnaim@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJomCheckUTAMA

Benar: Aplikasi Myresq Adalah Inisiatif Bantuan Awal Kepada Mangsa Serangan Jantung

Oleh : JomCheck Talian JomCheck baru-baru ini telah disoal tentang kesahihan sebuah...

Bencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Laut Banda

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Laut Banda pada jam...