AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNA

Wajarkah tiadanya skim pencen untuk lantikan baharu kerajaan?

286
Perubahan dasar skim pencen ini harus dikaji semula dan dibincangkan dengan kesemua pemegang taruh yang terlibat. Gambar oleh Emil Kalibradov - Unsplash

Oleh: Dr. Safiah Omar

Kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini dari Timbalan Perdana Menteri Malaysia merupakan satu tamparan besar kepada pekerjaan di sektor kerajaan. Walaupun ianya bukanlah satu perkara yang baru kita dengari, namun keputusan yang diumumkan ini boleh memberi impak yang tinggi kepada satu sektor pekerjaan paling besar di Malaysia. Terlebih dahulu, pada tahun 2020, kerajaan telah pun menjalankan dasar memberhentikan elaun kritikal yang sebelumnya diberikan kepada kakitangan kerajaan sektor penting seperti perubatan dan perundangan.

Dr. Safiah Omar

Akan tetapi, keputusan itu membebankan lantikan baru sektor-sektor tersebut kerana tanpa kelebihan dari segi manfaat seperti elaun kritikal dan sebagainya, sektor swasta dilihat lebih menarik kerana bayaran dan elaun mereka adalah lebih tinggi. Ini menyebabkan ramai pegawai perubatan serta peguam sektor awam ini memilih untuk bertukar kepada sektor swasta dan ada juga yang membuka syarikat firma dan klinik mereka sendiri.

Terkini, keputusan kerajaan untuk tidak menawarkan lagi skim berpencen kepada seluruh kakitangan awam lantikan baru merupakan satu keputusan yang amat membimbangkan. Beberapa faktor yang perlu dilihat adalah dari segi gaji yang lebih rendah dari sektor swasta, manfaat yang berkurang, serta keterjaminan kehidupan untuk masa akan datang. Ada pendapat yang mengatakan bahawa wang yang terkumpul di dalam Akaun Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menampung kehidupan pekerja setelah sampai umur persaraan mereka iaitu sekitar 56 tahun hingga 60 tahun.

Namun demikian, dalam keadaan ekonomi sekarang yang sedang kita hadapi dengan pekerja sektor swasta, masih terdapat masalah kekurangan wang saraan melalui akaun KWSP mereka yang tidak mencapai jumlah sasaran minimum iaitu RM 240,000. Ada juga masalah pesara yang tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan wang KWSP mereka di mana kesemua wang tersebut habis dalam jangka masa hanya 2 hingga 3 tahun.

Seterusnya, jawatan-jawatan di sektor kerajaan dilihat sebagai pekerjaan yang memberikan jaminan serta keistimewaan dengan skim berpencen. Di sebabkan itu, kakitangan awam memilih untuk bekerja di sektor kerajaan walaupun mereka tahu gaji yang diberikan adalah kurang dari sektor swasta. Ini kerana, mereka tahu bahawa pekerjaan di sektor kerajaan ini boleh memberikan manfaat kepada mereka di masa hadapan iaitu setelah mereka mencapai usia persaraan. Manfaat pencen ini juga memberikan motivasi dan semangat kakitangan awam untuk bekerja dengan baik dan ada juga yang sanggup bekerja lebih masa walaupun tidak diberikan bayaran untuk kerja lebih masa.

Kita juga harus lihat industri atau sektor pekerjaan awam yang kritikal seperti tentera, polis, bomba, dan yang lain sepertinya di mana gaji pegawai rendah tidak membolehkan caruman KWSP mereka cukup untuk menampung mereka di usia persaraan. Tentera juga ada yang perlu bersara secara wajib pada usia muda sekitar umur 40-an yang mana mereka masih mempunya anak-anak yang perlu ditanggung untuk pembelajaran mereka. Tanpa skim pencen, bagaimana golongan ini boleh menampung kehidupan mereka sedangkan pada ketika ini ramai pesara muda tentera yang terpaksa bekerja sebagai pemandu lori, pemandu teksi, serta kerja-kerja lain bagi menampung kelangsungan kehidupan mereka.

Perubahan dasar skim pencen ini harus dikaji semula dan dibincangkan dengan badan-badan tertentu seperti Cuepacs dan sebagainya dan perlu diadakan sesi libat urus bersama kakitangan awam secara terbuka supaya dapatan dari perbincangan tersebut boleh memberikan solusi yang lebih baik. Tentu sekali skim pencen boleh dihentikan, namun waktunya belum sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang, serta kekurangan kemahiran pekerja dalam menguruskan wang KWSP secara baik.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di safiah@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJomCheckUTAMA

Benar: Aplikasi Myresq Adalah Inisiatif Bantuan Awal Kepada Mangsa Serangan Jantung

Oleh : JomCheck Talian JomCheck baru-baru ini telah disoal tentang kesahihan sebuah...

Bencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Laut Banda

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Laut Banda pada jam...