AMBM @ MY LNAUTAMA

Wan Junaidi rasmi angkat sumpah sebagai TYT

284

Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Lance Dunstan, Bolhan Basah & Saiful Rahman Sabri (BKVS)

KUCHING, 29 Jan – Mantan Yang di-Pertua Dewan Negara Tun Dr. Wan Junaidi Tengku Jaafar, 78, hari ini secara rasmi mengangkat sumpah pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baru.

Istiadat angkat sumpah yang berlangsung pada jam 4.04 petang di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, dimulakan dengan memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi memulakan istiadat oleh Pendaftar Istiadat, Junih Salleh Ahmad.

Sejurus itu, istiadat diteruskan dengan bacaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Wan Junaidi kemudian mengangkat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan, sebelum menandatangani Surat Angkat Sumpah serta Surat Pengisytiharan, disaksikan oleh Abang Johari dan Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli.

Ini merupakan lantikan pertama beliau ke jawatan tersebut, setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menerima Surat Cara Pelantikan pada 26 Jan yang lalu di Istana Negara.

Pelantikan Wan Junaidi adalah untuk tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.

Terdahulu, beliau menerima Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Batalion ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di pekarangan DUN.

Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, isteri Premier Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof serta isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta isteri Puan Sri Dato Fatimah Mohd Iskandar, Timbalan-timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian dan isteri masing-masing serta tetamu kenamaan yang lain.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJomCheckUTAMA

Benar: Aplikasi Myresq Adalah Inisiatif Bantuan Awal Kepada Mangsa Serangan Jantung

Oleh : JomCheck Talian JomCheck baru-baru ini telah disoal tentang kesahihan sebuah...

Bencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Laut Banda

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Laut Banda pada jam...