CYBERJAYA, 27 Januari 2024 – Orang ramai diingatkan untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam satu siaran media hari ini, MCMC berkata Modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.
“Pemanggil akan mengancam mangsa dengan menyatakan terdapat aduan terhadap talian digunakan mangsa dan mendakwa mangsa telah melakukan kesalahan. Sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam.
Bermula 1 hingga 25 Januari 2024, MCMC telah menerima sejumlah 259 aduan dan daripada jumlah tersebut, 238 panggilan pertanyaan telah diterima bagi mengesahkan isu berkenaan.” kata MCMC.
Sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan MCMC lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang atau platform media sosial milik MCMC.
“Pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat perbankan peribadi individu. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mendapatkan pengesahan sewajarnya. Jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali dan jangan memindahkan wang kepada akaun
yang diragui.
Selain itu, orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call/reject list) atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki.” nasihat MCMC.
Leave a comment