AMBM @ MY LNAPengguna @ My LNAUTAMA

KPDN rangka strategi kukuhkan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara

366

PADANG BESAR, 20 Januari 2024 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali telah mengadakan lawatan kerja ke negeri Perlis melibatkan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian dan Padang Besar serta Stesen Minyak Tanpa Subsidi di Wang Kelian, Perlis hari ini.

Menurut Armizan. tujuan lawatan kerja itu diadakan adalah bagi melihat operasi penguatkuasaan di pintu-pintu masuk dan sempadan yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi.

“Ini termasuk mendengar dan melihat isu-isu berbangkit berkaitan penyeludupan dan penyelewangan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi yang terkait dengan tanggungjawab Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN sedang dalam proses untuk merangka strategi dan pendekatan untuk memperkukuhkan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk dan sempadan negara melalui kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat dalam operasi di pintu-pintu masuk. Ini melibatkan penguatkuasaan yang terkait dengan peruntukan perundangan di bawah kawal selia KPDN iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).” kata Armizan.

Katanya lagi, strategi dan pendekatan jangka panjang bagi memperkukuhkan penguatkuasaan ketiga-tiga akta berkenaan akan dibincangkan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penyediaan Dasar Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia sekali gus persiapan bagi penubuhan Single Border Agency (SBA).

“Ini termasuk mengenal pasti persediaan untuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel dan petrol RON95 yang akan diputuskan oleh Kerajaan kelak.” ujar Armizan.

KPDN meletakkan agenda memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk sempadan sebagai antara fokus utama bagi tahun 2024. Untuk tujuan itu, sebagai langkah serta-merta untuk memperkukuh penguatkuasaan bagi menangani isu
penyeludupan dan ketirisan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi, KPDN telah mengenal pasti dan akan melaksanakan enam inisiatif seperti berikut:

1. Selain meneruskan pelaksanaan OPS TIRIS yang telah dimulakan pada tahun 2023 yang melibatkan penguatkuasaan berkaitan penyeludupan diesel bersubsidi, skop pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 akan diperluaskan kepada barang-barang kawalan lain seperti gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1kg, tepung gandum, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG). Bagi tujuan ini, penguatkuasaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 yang melarang mana-mana orang untuk mengeksport apa-apa barang kawalan tersenarai di bawah Jadual Pertama dikuatkuasakan akan dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua pintu masuk sempadan negara;

2. Memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan negara bagi meningkatkan kawalan sempadan negara daripada aktiviti penyeludupan barang kawalan dan kawalan bersubsidi;

3. Menempatkan pegawai penguat kuasa KPDN di tujuh lokasi pintu masuk yang telah dikenalpasti di negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Penempatan berkala secara serta-merta ini akan dilaksanakan sehingga penubuhan Single Border Agency (SBA);

4. Menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) Kes Penyerahan Agensi daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain untuk memastikan kelancaran proses penyiasatan dan pendakwaan kes melibatkan ketiga-tiga akta di bawah kawal selia KPDN;

5. Melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis perniagaan melibatkan pemborong dan peruncit di sempadan.

6. Melaksanakan pengauditan terhadap pemborong-pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, bunkering dan syarikat-syarikat pengeksport bagi mendapatkan butiran sumber bekalan, pengedaran dan penjualan.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNASekuriti Makanan @ My LNASukarelawan @ My LNAUTAMA

Mahasiswa UM menyelamat sayur dan buah-buahan

Menurut laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAUTAMA

Formula Surcaj Lewat Bayar Bil Elektrik TNB Yang Tular Adalah Salah

Oleh : JomCheck Tular di media sosial tuduhan bahawa Tenaga Nasional Berhad...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat di Seram, Indonesia

Satu kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 telah berlaku di Seram, Indonesia...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Etika didik hibur menggunakan media sosial di sekolah

Oleh: Dr. Abd. Aziz Rekan, Hafeezur-Rahman Awel Didik hibur adalah pedagogi yang...