LABUAN, 13 Januari 2024 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa pada hari ini telah melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Laporan Rancangan Struktur Labuan 2040.
Menurut Dr Zaliha dalam satu hantaran di halaman X rasmi beliau, program tersebut juga disulamkan dengan pelancaran Kempen Kibar Bendera sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024.
“Laporan Rancangan Struktur Labuan 2040 ini akan menjadi dokumen penting yang akan menggariskan pelbagai cadangan dasar pembangunan berkaitan perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di Wilayah Persekutuan Labuan. Secara ringkasnya, laporan ini akan menentukan hala tuju pembangunan Labuan menjelang tahun 2040.
Bagi melengkapkan laporan ini sebelum digazetkan, pandangan dan penglibatan rakyat amat penting agar Rancangan Struktur ini menjadi lebih komprehensif dan mampan.” katanya.
Sehubungan itu, Perbadanan Labuan dengan kerjasama PLANMalaysia akan mengadakan sekurang-kurangnya 9 program ‘outreach’ yang melibatkan pemegang-pemegang taruh bagi menerangkan Rancangan Struktur ini dan mengumpul sebanyak mungkin pandangan dan hasrat rakyat.
“Saya percaya dengan pendekatan ‘bottom-up’ ini akan membolehkan Labuan dibangunkan mengikut apa yang diinginkan dan diperlukan oleh rakyat di sini.
Dalam ucapan saya sebentar tadi, saya umumkan beberapa keputusan dasar yang telah dibuat sewaktu mesyuarat semalam antaranya keutamaan untuk Labuan adalah untuk menyelesaikan infrastruktur asas bagi memastikan keselesaan rakyat Labuan terjamin. Sehubungan itu, saya telah mengumumkan sebanyak 3 projek penggantian paip sepanjang 70 kilometer akan siap seawal Jun 2024 dan selewat-lewatnya pada suku pertama 2025. Kesemua perancangan di Labuan tidak akan boleh kita kecapi sekiranya perkara asas seperti air, elektrik dan ‘connectivity’ belum diselesaikan terlebih dahulu.” tambah Dr. Zaliha.
Lanjutan dari pengumuman Perdana Menteri pada penghujung tahun lepas yang meminta agar Kementerian dan Agensi Kerajaan untuk mengadakan program di Labuan pada tahun 2024, pihak JWP telah mengkoordinasikan sebanyak 92 program yang melibatkan kementerian dan agensi kerajaan sepanjang tahun ini.
Katanya, sudah pasti, kehadiran peserta ke 92 program tersebut sepanjang tahun 2024 akan memberi impak yang cukup positif kepada Labuan, bukan sahaja dengan meningkatkan sosio ekonomi Labuan, malah turut memberi impak kepada ekonomi masyarakat setempat.
“Bagi merancakkan lagi pelancongan serta mengambil kira perjumpaan-perjumpaan saya semalam bersama MOTAC Labuan, Tourism Malaysia Labuan dan beberapa pemegang taruh yang lain termasuk komuniti perniagaan di Labuan, saya telah mengarahkan penubuhan satu Special Taskforce yang akan diketuai oleh Perbadanan Labuan bagi mengenal pasti produk-produk pelancongan dan sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong ke Labuan.
Bagi menjayakan kesemua aspirasi ini, penglibatan semua pihak amat penting, termasuklah penglibat penjawat awam, swasta, NGO, pemain industri dan seluruh rakyat di Labuan.” ujarnya.
Leave a comment