BM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mencorak destinasi, mewujud azam di tahun baharu

495
Minda yang sihat ini perlu dijaga untuk mencapai azam yang diinginkan. Gambar oleh Mohamed Nohassi - Unsplash

Oleh: Siti Nurmaliya Zakaria, Dr. Azmawaty Mohamad Nor

Menjelang setiap 1 Januari, ruangan media sosial pasti akan dipenuhi dengan posting setiap dari kita yang sibuk merumuskan azam tahun baru masing-masing. Meskipun begitu, ada juga yang masih lagi sedang merenung, tertanya-tanya, mencari-cari apa azam tahun baru yang ingin diwujudkan sepanjang 365 hari atau 8760 jam atau 525600 minit yang akan datang. Persoalannya, adakah kita benar-benar faham apa makna di sebalik kata ‘azam’ tersebut?

Azam atau juga boleh disebut sebagai resolusi yang merupakan gagasan perubahan yang positif untuk mencapai tujuan tertentu dalam hidup sepanjang tempoh setahun yang akan datang. Lazimnya, azam tahun baru akan dinyatakan pada awal tahun baru sebagai bentuk komitmen dalam meningkatkan diri atau mencapai pencapaian tertentu. Penetapan azam adalah merupakan cara untuk seseorang individu tersebut memotivasikan diri, merumuskan tujuan yang diidamkan dan memusatkan fokus pada peningkatan kendiri atau pencapaian sepanjang tempoh setahun. Azam tahun baru yang ingin diwujudkan boleh mencakupi pelbagai bidang seperti, pendidikan, kesihatan, kerjaya, hubungan interpersonal dan juga peningkatan kendiri ke arah yang lebih positif.

Pada awal tahun baharu ini, ayuh kita sama-sama tetapkan azam dan matlamat dengan tekad yang tinggi untuk kita terus berjuang meraih impian kita. Namun begitu, perlu juga diingatkan bahawa setiap azam yang ingin ditetapkan mestilah dibedah siasat dengan teliti terlebih dahulu. Adakah azam itu dapat dicapai dalam masa 365 hari? Sejauhmana nilai dan manfaat azam tersebut bagi diri kita? Adakah terdapat kemudaratan untuk diri kita dalam proses mencapai azam tersebut? Dan yang tak kurang pentingnya, bagaimana strategi yang perlu kita gerakkan agar azam tersebut tercapai dengan jayanya?

Dalam konteks ini, kaedah SAMIC3 tampaknya menjadi panduan yang sesuai untuk digunapakai dalam menetapkan matlamat yang bersesuaian dengan kemampuan diri. SAMIC3 merangkumi prinsip-prinsip penting, iaitu sederhana (simple), dapat dicapai (attainable), dapat diukur dengan jelas (measurable), turut terlibat sama (involved), dapat dikawal (control), dapat memberi komitmen (commit) dan berterusan (continuous). Dengan mengaplikasikan kaedah ini, azam yang ditetapkan lebih realistik, terukur dan dapat dicapai dalam tempoh setahun tersebut.

Namun demikian, menjadi tanda tanya juga dimana perlukah untuk kita menetapkan azam baru setiap tahun? Adakalanya, kita tidak perlu mencipta azam yang baru tetapi sebaliknya kita perbaharui dan tambah baik semula azam yang lama supaya peningkatannya menjadi pilihan yang lebih bijak dalam hidup. Jika tahun sebelumnya tujuan masih belum tercapai, maka azam tahun ini akan menjadi momentum untuk kita menyusun semula strategi dan berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat tersebut.

Namun, dalam pada kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang telah ditetapkan, jangan pula kita lupa tentang kesejahteraan minda. Kesejahteraan minda merupakan aspek utama yang memainkan peranan penting dalam kecemerlangan kita mencapai azam tersebut dimana kesihatan minda yang baik membolehkan kita berfungsi dengan optimal dalam menempuhi cabaran dan dinamika lingkungan yang beraneka ragam.

Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa minda yang sihat ini perlu dijaga untuk mencapai azam yang diinginkan? Minda atau pemikiran memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi emosi dan tingkah laku kita. Menyedari hakikat ini, penting untuk kita mengekalkan pemikiran yang positif atau rasional terutamanya dalam persekitaran yang toksik supaya kita sentiasa terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang berbahaya dan di luar kewarasan dalam proses untuk mencapai azam yang ingin digenggam.

Terdapat beberapa tips yang boleh membantu untuk membentuk minda yang sihat antaranya pilihlah kawan yang bersikap positif di mana kita boleh berkongsi nilai yang sama, saling memotivasikan diri dan membimbing ke arah untuk mencapai azam tahun baru. Walaupun begitu, jangan pula kita tinggalkan kawan yang tidak memberi kesan positif kepada diri, tetapi sebaliknya bantulah mereka dengan mengajak mereka bersama-sama ke arah peningkatan diri yang lebih baik.

Selain itu, muhasabah atau refleksikan diri. Ambil masa sejenak untuk kita merefleksikan diri, menilai tindakan kita dan berusaha untuk terus memperbaiki diri. Dengan cara ini, kita secara tidak langsung melatih diri untuk tidak mudah melatah sebaliknya akan lebih berfikiran rasional dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang mendatang sepanjang proses mencapai azam tersebut. Tips seterusnya adalah self-love dimana kita bina aura positif dalam diri dengan menghindari perkara yang boleh merugikan diri kita, mengenalpasti kelebihan diri yang ada, melihat diri dari sudut pandang yang positif dan mengembangkan bakat serta potensi diri agar kita lebih menghargai diri kita.

Ini bukan sahaja memberikan dorongan moral, tetapi juga membantu kita berkembang sebagai individu yang lebih seimbang dan positif dalam menghadapi segala variasi kehidupan dan dapat mencapai matlamat kehidupan yang ditetapkan dengan jayanya.

Dalam mengejar matlamat yang diidamkan, tentu kita tidak terlepas dari cabaran yang menguji ketahanan kita. Namun, jangan pernah sesekali kita tunduk pada rintangan, sebaliknya kita tempuhi cabaran tersebut dengan persediaan diri yang matang sekaligus meningkatkan daya ketahanan diri ke tahap yang lebih optimum. Daya ketahanan diri adalah satu proses yang membolehkan seseorang untuk berhadapan dengan kesukaran, trauma atau tekanan. Ia membantu kita untuk ‘bangkit semula’ setelah mengalami fasa yang sukar dalam kehidupan.

Daya tahan atau ketahanan diri adalah penting semasa kita menghadapi dan mengharungi sesuatu cabaran yang menguji kemampuan kerana ketahanan diri yang kuat dapat membantu dalam membina benteng pertahanan diri daripada pelbagai elemen yang boleh menjejaskan kesimbangan hidup. Justeru, bagaimana untuk kita membina daya tahan diri yang mantap? Ini dapat dicapai melalui perhatian yang menyeluruh terhadap penjagaan diri yang melibatkan aspek jasmani, emosi dan rohani, bina hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan orang sekeliling serta fokus kepada kelebihan diri dan bukannya kelemahan diri.

Tegasnya, di setiap cabaran yang kita hadapi terletak peluang untuk kita memperkuat diri dan berkembang sebagai individu yang lebih hebat. Dengan strategi yang mantap dan daya ketahanan diri yang baik, kita dapat menghadapi setiap liku-liku hidup dengan keyakinan dan keberanian diri. Jadi, mari kita teruskan melangkah ke hadapan, menjadikan setiap cabaran sebagai batu loncatan ke arah kejayaan dan kesejahteraan yang lebih besar dalam menggapai azam tahun ini.

Selamat mengharungi tahun baharu dengan azam yang diperbaharui dan semangat yang membara!

Siti Nurmaliya Zakaria merupakan calon Sarjana Pendidikan, manakala Dr. Azmawaty Mohamad Nor adalah Ketua, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAPendapat @ My LNASukan @ My LNAUTAMA

Mungkin masanya sudah tiba

Oleh: Dr Mohd Firdaus Abdullah Kejayaan Malaysia merangkul kejuaraan dunia berganda dalam...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAUTAMA

Video Dakwa 182 Cawangan Coffee Bean Tiada Sijil Halal Tidak Benar

Oleh JomCheck View this post on Instagram A post shared by JomCheck...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Awas scammer badal, visa dan pakej haji!

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli, Laporan sejumlah warga Malaysia yang...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana melanda Semenanjung Minahassa, Sulawesi

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi pada...