PETALING JAYA, 30 Disember 2023 – Di dalam keadaan landskap global yang mencabar dengan konflik Palestin-Israel dan konflik yang berterusan di Ukraine, krisis iklim dunia yang semakin meruncing serta impak transformatif revolusi digital AI, edisi 2023/2024 Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) diumumkan sebagai teras wawasan mengenai sosio-ekonomi pasaran Islam yang masih dinamik.
Halal Development Corporation Berhad (HDC) berbangga mengumumkan bahawa Malaysia, telah menunjukkan daya tahan dan kecemerlangan yang mampan, sekali lagi memperoleh kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) untuk tahun ke-10 berturut-turut. Kedudukan Petunjuk GIEI 2023 meletakkan Malaysia di barisan hadapan, diikuti rapat oleh Arab Saudi, Indonesia dan UAE.
Sejak penubuhan Laporan SGIE, Malaysia secara konsisten menduduki tempat teratas, mempamerkan komitmen berterusan negara terhadap ekonomi Islam. Malaysia mendapat tempat pertama dalam sector Kewangan Islam, Makanan Halal, dan Media & Rekreasi Halal, disokong pula dengan kedudukan tempat kedua dalam Modest Fesyen, tempat ketiga dalam Farmaseutikal dan kelima dalam Pelancongan.
“Pencapaian ini menunjukkan kemajuan yang mampan dalam Ekosistem Halal Malaysia sejak penubuhan HDC pada 2006,” kata Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun.
“Malaysia berikrar untuk mempertahankan kedudukan unggul ini dengan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP2030), adaptasi teknologi dan Pendigitalan Ekosistem Halal. HIMP2030 memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan komprehensif industri halal Malaysia, memupuk keterangkuman dan pertumbuhan yang teguh,” tambahnya.
Laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) disediakan oleh Dinar Standards, sebuah firma penyelidikan dan penasihat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mengkhusus dalam inovasi kerajaan, ekonomi halal global dan ruang impak sosial. Laporan tahunan ini, disokong oleh Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai (DET), menekankan pembangunan dan promosi pensijilan dan piawaian Halal Malaysia.
Kedudukan global ini adalah berdasarkan penyelidikan yang meluas, meliputi isu kontemporari dan kritikal seperti pembangunan kewangan, tadbir urus, kesedaran, sosial dan inovasi dalam ekosistem. Sejak laporan itu dimulakan pada 2013, ekonomi utama dan negara majoriti Islam secara konsisten merujuk kepada laporan tahunan ini.
Melangkah ke hadapan, Malaysia akan terus memimpin industri ini secara berterusan, didorong oleh pertumbuhan tahun ke tahun dalam Makanan Halal dan disokong oleh peningkatan permintaan di seluruh dunia untuk produk yang mematuhi piawaian halal. Malaysia, dengan 84 Badan Pensijilan yang diiktiraf setakat ini, berada pada kedudukan yang baik untuk mematuhi dan mendokong, terutamanya dalam sektor Bahan Halal seperti gelatin halal.
Menerajui penglibatan antarabangsa global, Malaysia, melalui pengenalan inisiatif Diplomasi Halal baru-baru ini, secara aktif mendekati rakan kolaborasi dan pihak berkepentingan yang berpotensi dari luar negara. HDC, sebagai penggerak utama inisiatif ini, sedang dalam misi untuk mengintegrasikan pihak yang berminat ke dalam Ekosistem Halal. Khairul Azwan Harun percaya bahawa langkah strategik ini bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan dalam Ekonomi Halal namun mengukuhkan status Negara sebagai Hab Halal kepada syarikat multinasional yang ingin memanfaatkan peluang yang luas dan dinamik yang ditawarkan oleh pasaran halal Malaysia.
Tambah beliau, “Dengan Malaysia menerajui sektor Kewangan Islam secara konsisten, HDC percaya Negara boleh menawarkan pembiayaan dan peluang pelaburan yang terbaik kepada komuniti perniagaan global. Kestabilan, inovasi dan amalan etika yang wujud dalam sektor Kewangan Islam Malaysia meletakkan Negara sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk perniagaan yang mencari penyelesaian kewangan sejajar dengan prinsip Islam.”
Khairul Azwan Harun turut menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ekonomi Halal kekal sebagai fokus utama untuk kemajuan ekonomi negara. Komitmen terhadap Ekonomi Halal melangkaui metrik ekonomi, memberi manfaat kepada ekonomi negara dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Leave a comment