Oleh Sheikh Umar Bagharib bin Ali
Pandangan Tan Sri Lim Kit Siang (LKS) tidak salah. Bahkan pandangan LKS bagi saya adalah pandangan yang ‘berperlembagaan’.
Orang Melayu dan Islam tidak perlu risau. Kerana perlembagaan juga telah menetapkan garis-garis jelas berkaitan soal ‘Melayu’, ‘Islam’ serta hak keadilan yang mesti diberikan kepada semua kaum di negara kita.
Untuk orang Melayu, isu paling utama bagi saya ialah mencari jalan bagaimana melahirkan para pemimpin Melayu yang jujur, adil, berintegriti serta mampu melonjakkan ekonomi negara. Malaysia harus bangkit lebih tinggi dan menjadi negara yang disegani. Bukan bertelagah tentang kenyataan LKS!
Untuk orang Islam, kepimpinan terkait rapat soal kompetensi dan intergriti. Sarjana Islam Ibnu Taimiyyah menyebutnya sebagai ‘Al-Quwwah’ dan ‘Al-Amanah’.
Al-Quwwah bermaksud kepakaran dan kemampuan dalam mengendalikan bidang kuasa yg diberikan. Al-Amanah pula menurut Al-Mawardi ialah taqwa kepada Allah dan tidak menjual agama atau ayat-ayat Allah dengan sewenang-wenangnya.
Jadi, jangan sampai pemimpin Melayu dan Islam berdegar-degar dengan slogan sedangkan negaranya mundur dan papa kedana. Ekonomi murudum, rakyatnya tidak dilayan dengan adil. Ini hanyalah memalukan dan mencemarkan nama baik Melayu dan Islam.
Oleh itu, tiada isu berbangkit yang perlu ditimbulkan. Pandangan LKS hanyalah suatu penegasan tentang apa yang sudahpun termaktub dalam perlembagaan sejak sekian lama.
Kepada mana-mana pemimpin Melayu yang tersinggung, lebih baiklah fokus kepada melahirkan pemimpin yang kompeten, berintegriti dan benar-benar mampu untuk mentadbir negara dengan baik serta adil untuk semua.
Kepada mana-mana pemimpin Islam, ingatlah pesan Imam Al-Ghazali yang menyebut betapa sebuah kerajaan yang adil walaupun diperintah oleh pemimpin bukan Islam akan mampu bertahan, berbanding kerajaan zalim walau dipimpin oleh orang-orang Islam.
_______________________________________________________________________________________________________________________
Sheikh Umar Bagharib bin Ali merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti DAP dan juga Naib Pengerusi DAP Johor
Leave a comment