AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPerumahan @ My LNAUTAMA

Mengurus pembaikan bangunan selepas banjir perlukan ilmu

219
Pembaikan bangunan selepas banjir perlukan khidmat juru ukur bangunan yang profesional. Gambar oleh Misbahul Aulia - Unsplash

Oleh: Dr. Zahiruddin Fitri Abu Hassan

Saban tahun, kejadian banjir menjadi tajuk berita yang biasa kita dengar pada musim tengkujuh. Selain dari risiko terhadap nyawa manusia dan kerosakan harta benda, banjir juga mendatangkan masalah kepada pemilik rumah dan premis yang terpaksa mencuci bangunan mereka selepas setiap episod banjir berlaku. Bergantung kepada jenis struktur dan juga kadar kerosakan, terdapat cara yang betul untuk mencuci bangunan yang terjejas akibat terendam dalam tempoh banjir bagi memastikan ketahanan struktur dan fabrik bangunan dalam jangka masa panjang. Cara pencucian dan pembaikan yang betul juga dapat mengelakkan masalah kepada kemasan yang diperbaharui selepas pencucian dan pembaikan yang dijalankan.

Dr. Zahiruddin Fitri Abu Hassan

Kebanyakan struktur bangunan di Malaysia dibina menggunakan sistem struktur konkrit bertetulang dengan fabrik bangunan yang diperbuat daripada bata dan plaster yang dicat. Dalam keadaan banjir, struktur sebegini berpotensi untuk menyerap air banjir kerana sifat bahan yang secara mikrostrukturnya mempunyai rongga yang telap air.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya, dinding bata simen berplaster, mampu menyerap 120 mm padu air dalam masa 48 jam dan menjadi tepu dengan air kira-kira 10 jam, manakala dinding bata tanah liat berplaster memerlukan 15 jam untuk menjadi tepu. Tambahan pula, kelembapan juga mampu bergerak naik melalui pergerakan kapilari, sehingga setinggi 1 meter melepasi paras tertinggi air.

Air yang terserap ini mampu bergerak jauh dalam rongga bata, dan memerlukan tempoh yang lama, kira-kira 2 minggu untuk kering selepas banjir surut.

Terdapat risiko kesihatan akibat pertumbuhan lumut dan kulat sekiranya bangunan tidak kering sepenuhnya selepas banjir. Lumut hidup dalam persekitaran yang sangat lembab, bersifat licin yang meningkatkan risiko jatuh akibat tergelincir. Kulat pula mempunyai risiko kesihatan yang tinggi, yang mana terdapat beberapa spesis seperti aspergillus dan penicillum yang sporanya berbahaya kepada paru-paru manusia, terutamanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Perhatian terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu diambilkira semasa proses pembaikan oleh kerana terdapat risiko penyakit bawaan vektor dan juga tidak dilupakan haiwan dan binatang berbisa yang mungkin terperangkap atau merayau ke dalam rumah semasa banjir berlaku. Mereka yang terlibat dalam proses pembersihan juga, seperti para sukarelawan perlu menyedari risiko ini dan mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Adalah penting untuk pemilik bangunan memastikan bahawa kadar kelembapan pada dinding bangunan telah turun ke tahap yang cukup rendah sebelum kerja pembaikan seperti mengecat semula permukaan dinding dijalankan. Ini bagi mengelakkan permukaan yang dicat menjadi rosak dan berkemungkinan mengelupas dengan cepat. Sebagai panduan, dinding bata berplaster memerlukan sekurang kurangnya dua ke tiga minggu dalam cuaca kering untuk membenarkan kelembapan yang terperangkap dalam rongga mikro bata dan plaster tersejat ke persekitaran ke paras yang cukup rendah iaitu di antara sembilan ke sebelas peratus sebelum membolehkan kerja pengecatan semula dilakukan tanpa risiko kerosakan yang dinyatakan tadi.

Komponen bangunan yang diperbuat daripada kayu mempunyai risiko kerosakan daripada pengembangan yang berlaku akibat penyerapan air kedalam sel kayu. Dalam keadaan banjir dan komponen ini terendam lama, pintu atau tingkap kayu boleh berubah bentuk dan juga saiz, sehingga tidak dapat dibuka atau pun ditutup dengan sempurna kerana pengembangan dan menjadi tersepit. Dalam keadaan ini, sering kali kerosakan yang terjadi menyebabkan struktur kayu tersebut terpaksa ditanggalkan untuk pembaikan atau ditukar baharu. Apabila pembaikan dibuat, dinasihatkan supaya kayu yang digunakan di naiktaraf kepada jenis kayu keras yang tahan air, terutamanya apabila terdapat risiko ulangan kejadian banjir di premis tersebut. Sebagai langkah tambahan, kayu perlu dicat bagi memberi lapisan perlindungan yang meningkatkan keupayaan telap airnya.

Pemilik bangunan disarankan mendapatkan khidmat Juru Ukur Bangunan professional yang terlatih dengan pengetahuan sains dan teknikal kerosakan bangunan bagi membantu mereka merencana proses pembersihan dan pembaikan yang tepat bagi bangunan. Profesional Ukur Bangunan juga dilengkapi dengan peralatan khas yang membolehkan diagnosis kerosakan dibuat secara saintifik, di samping pengetahuan mendalam tentang teknologi pembinaan dan pembaikan bangunan, supaya kos yang dikeluarkan bagi pembaikan tidak dibazirkan akibat kerosakan yang berulang.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ukur Bangunan, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di zahiruddin@um.edu.my. Beliau merupakan pakar patologi bangunan dan Juru Ukur Bangunan Profesional yang berdaftar dengan Pertubuhan Juru Ukur DiRaja Malaysia (RISM).

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mereka perlukan sokongan, bukan kejian

Oleh: Dr. Mohd Salim Mohamed Baru-baru ini satu drama mengenai khunsa telah...

AMBM @ MY LNAJenayahPengguna @ My LNA

KPDN serbu stor haram tempat simpan LPG

PUTRAJAYA, 9 Mei 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Salahkah tayang bahagia di media sosial?

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor Pada suatu ketika dahulu, ramai...

Biz @ My LNABM @ MY LNA

AGM Globetronics Ke-27 berjaya dengan Semua Resolusi Utama Diluluskan

PULAU PINANG, 8 Mei 2024 – Globetronics Technology Bhd  (“GTB” atau “Kumpulan”), pemain yang terkenal...