AMBM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Didiklah mereka dengan ujian dari sana

436
Janganlah dibiasakan anak anak dengan kemewahan sehingga mereka tidak berupaya untuk berfikir. Gambar oleh Emad El Byed - Unsplash

Oleh: Dr. Nurul Husna Mansor, Dr. Azmawaty Mohamad Nor

Hingga saat ini, bumi Gaza sudah ibarat padang jarak padang tekukur. Cebisan daging dan darah dapat dilihat di mana-mana. Semua bangunan yang menjadi tempat penduduk mendapat perlindungan dan manfaat seperti kediaman, tempat ibadah, hospital, sekolah dan sebagainya sudah hancur lumat akibat dibedil dan dibom.

Tidak lagi dapat disaksikan kanak kanak berlari lari keriangan, tidak lagi kelihatan kaum ibu saling bertegur sapa sambil membersihkan debu-debu di sekitar halaman rumah, tidak ada lagi sekumpulan bapa-bapa yang bekerja keras membanting tulang mencari nafkah buat isi rumah. Yang ada hanyalah tangisan dan raungan lantaran kehilangan insan tersayang. Segala yang dimiliki musnah dan lenyap sekelip mata. Yang berbaki hanyalah sisa runtuhan, kenangan dan trauma yang sangat mendalam kepada insan yang ditinggalkan.

Dari sudut pandang psikologi, trauma yang dialami boleh memberikan kesan mendalam terhadap diri seseorang yang melalui pengalaman serupa. Selain dari memberikan kesan emosi negatif dan ketakutan yang mendalam, corak pemikiran yang sarat dengan pemikiran negatif secara automatik dan tingkahlaku yang boleh mendorong kepada tindak balas ketakutan yang dipicu oleh sistem “penerbangan, pertarungan, atau pembekuan” otak. Tindakbalas yang dihadapi adalah seringkali menjauhi tempat-tempat tertentu atau individu yang mungkin mengingatkan terhadap trauma serta mengalami kesukaran untuk tidur. Tanpa sedar, gejala ini secara berterusan boleh mempengaruhi fungsi seharian mereka dalam kehidupan mungkin didiagnosis dengan gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD).

Meskipun secara kasarnya kita melihat kemusnahan yang besar telah berlaku, namun kekuatan iman warga gaza sesekali tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan. Mereka sesekali tidak akan mengaku kalah kerana di dada mereka telah tertanam kecintaan pada Allah berserta keyakinan yang tinggi dengan janji Allah kepada hambaNya yang bermati matian berjuang mempertahankan hak, maruah dan agama. Sepalit ketakutan bukan sahaja langsung tidak tampak pada diri dan jiwa mereka bahkan serangan demi serangan makin membakar semangat mereka untuk melaungkan takbir dan kalimah la ilaa ha illa Allah hatta di hadapan musuh.

Mungkin kita beranggapan penduduk di Palestin telah hilang secara total segala nikmat kehidupan di dunia ini sepertimana yang sedang kita rasai, hakikatnya mereka telah lama membuang jauh dunia dari hati, yang terpahat hanyalah cita-cita yang jauh lebih tinggi iaitu kebahagiaan abadi di akhirat sana. Perjuangan mereka kini adalah bagi meletakkan agama ke tempat tertinggi.

Di sebalik pergolakan, peperangan dan konflik yang sedang berlaku di sana, sebenarnya terkandung banyak pengajaran atau ibrah yang boleh kita ambil untuk menjadikan kehidupan kita sebagai Muslim lebih bermakna. Peperangan yang berlarutan di sana bukan diizinkan Allah berlaku secara sia-sia tetapi terkandung 1,001 hikmah dan ibrah yang perlu direnung oleh kita umat Islam seluruhnya.

Menelusuri sejenak kehidupan yang kita nikmati di Malaysia pada saat ini bukan sahaja perlu disyukuri bahkan ia juga adalah satu bentuk ujian buat kita bagi menguji sejauhmana kita dapat mengurusnya dengan cara yang diredai Allah. Banyak aspek kehidupan yang boleh kita renungkan bersama jika dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh penduduk Muslim di bumi Palestin.

Apa yang boleh kita katakan pada saat ini, tatkala bumi Palestin diuji dengan peperangan, manakala kita pula sedang berhadapan dengan ujian yang jauh lebih berat di sebalik topeng kesenangan dan keselesaan. Sebagai contoh sebahagian masyarakat kita masih lagi melakukan pembaziran makanan, merosakkan harta benda awam, mencuri, membazir masa dengan aktiviti tidak berfaedah serta hiburan secara melampau dan sebagainya.

Masalah sosial seperti perlakuan seks bebas, sumbang mahram, pemerkosaan dan rogol juga sudah tidak terbendung sehingga menatijahkan pelbagai jenayah berat seperti pembuangan bayi dan pengguguran janin. Manakala kes pembunuhan sudah menjadi tatapan biasa di dada akhbar seolah-olah nyawa manusia sudah lagi tidak bernilai. Justeru, apakah lagi yang kita boleh harapkan dari kesenangan dan keamanan yang yang kononnya sedang kita nikmati ini?

Adakah masyarakat kini sedang tertipu dengan laungan kesenangan yang dipunyai. Hakikatnya, ujian kesenangan adalah jauh lebih berat kerana ia membuatkan manusia hanyut dan melupakan pemberi Nikmat, sedangkan ujian kesempitan dan kesusahan yang dialami oleh warga Palestin makin mendekatkan mereka dengan Allah dan menguatkan kebergantungan kepada Nya. Dari sudut psikologi, ini yang dinamakan resilien di mana mereka terus bangkit dan kuat dalam melawan kehilangan, kesedihan melampau dan terus positif.

Resilien ialah keupayaan seseorang untuk menahan atau pulih dengan cepat dari keadaan yang sukar. Ini dibuktikan melalui kebolehan seseorang itu dapat menghadapi cabaran atau krisis lebih tabah dan berdaya juang yang tinggi dalam meneruskan kehidupan seharian. Kajian literatur dalam bidang psikologi dan kaunseling turut menunjukkan bahawa pendekatan kaunseling psikospiritual terbukti mampu merawat klien dan menghasilkan satu hubungan teraputik dengan pencipta dan diri.

Walau bagaimanapun, dewasa ini, ramai ibu bapa yang membiasakan anak-anak dengan kemewahan sehingga menjadi kekok dan terkesan apabila menghadapi kesulitan. Anak-anak perlu dididik agar menghargai segala nikmat yang dimiliki, janganlah dibiasakan anak anak dengan kemewahan sehingga mereka tidak berupaya untuk berfikir dan mencari jalan keluar apabila dilanda masalah.

Lebih utama, anak anak perlu dipersiapkan dengan didikan agama supaya kelak mereka akan tumbuh menjadi manusia yang mencintai agama, hidup bertuhan dan berpegang teguh dengannya dan menjunjung tinggi agama. Hasilnya, generasi muda akan hidup berpandukan agama, berpakaian mengikut perintah Agama dan mengamalkan gaya hidup yang lebih mulia dan terhormat.

Ayuh kita terus menyokong dan mendoakan saudara kita di Palestin dan negara yang sedang dihimpit kesempitan dengan seluruh upaya kita. Sekurang-kurangnya doa dan sokongan yang berterusan ini walaupun kecil akan menjadi saksi kita dihadapan Allah dan memberatkan timbangan amal di akhirat kelak.

……

Dr. Nurul Husna Mansor adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam; manakala Dr. Azmawaty Mohamad Nor adalah Kaunselor Berdaftar dan Ketua, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

AI Untuk Rakyat tepati konsep maqasid al-syari’ah

Oleh: Dr Ariyanti Mustapha Perkembangan teknologi yang berasaskan kecerdasan buatan atau AI...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Beragamalah dengan ilmu

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli Pada masa kini, umat Islam...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada...