BM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAIsu Semasa @ My LNAPendapat @ My LNA

Kepentingan peranan Malaysia kekal konsisten isu Palestin di OIC

523
Peranan konsisten Malaysia di OIC penting dalam mencari penyelesaian isu konflik Palestin. Gambar oleh Ash Hayes - Unsplash

Oleh: Rusli Abdul Roni

Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan yang berlangsung baru-baru ini di Riyadh, Arab Saudi telah selamat melabuhkan tirainya. Persidangan khas ini merupakan respon dan reaksi dunia Islam terhadap situasi yang semakin meruncing di bumi Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza. Persidangan yang dihadiri oleh negara anggota OIC dan juga negara anggota Liga Arab ini telah melahirkan beberapa resolusi penting berkaitan isu genosid rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Untuk sekian lama, OIC telah menjadi platform penting bagi negara-negara anggotanya untuk berkerjasama dan berbincang, terutamanya dalam menyelesaikan konflik yang melibatkan umat Islam di seluruh pelosok dunia. Ini termasuklah isu Palestin yang mendarah daging dalam diri warga dunia, khasnya umat Islam, sejak tahun 1948.

Dalam kerangka ini, Malaysia merupakan antara anggotanya yang kekal konsisten memainkan peranan dalam usaha mencapai perdamaian dan keamanan di tengah-tengah ketegangan dan kerumitan isu Palestin. Kali ini, Malaysia hadir membawa hasrat umat Islam negara ini yang ingin melihat tindakan yang jelas dalam membela hak warga Palestin. Ini jelas melalui kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir: “Perlu ada penegasan, ada langkah-langkah ke hadapan daripada negara-negara anggota untuk menyegerakan proses gencatan senjata, untuk segera dihentikan serangan dan pembunuhan kejam oleh rejim (Israel) yang tidak berperikemanusiaan ini.”

Di sini jelas menunjukkan Malaysia yang konsisten mempamerkan keterlibatannya dalam usaha mencari kedamaian dan meastikan keselamatan global, terutamanya dalam dunia Islam. Ini dilakukan melalui pelbagai kaedah diplomasi, penyampaian bantuan kemanusiaan, inisiatif mediasi dan dialog, dan lobi antarabangsa, yang dilatari dengan cabaran geopolitik dan ideologi yang rencam dan pelbagai.

Semangat ini jelas disampaikan melalui ucapan YAB Perdana Menteri yang mengajak semua pihak untuk bertindak melalui mana-mana saluran yang bersesuaian secara strategik. “Saya menggesa semua anggota OIC agar menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog di semua peringkat sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahu pun antarabangsa. Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik yang bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” tegasnya di sidang tersebut.

Penegasan ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah merupakan sambungan legasi dasar luar negara oleh Perdana-perdana Menteri Malaysia terdahulu dalam isu Palestin. Pengaruh diplomasi Putrajaya digunakan sepenuhnya dalam setiap kesempatan yang ada dalam mengetengahkan isu apartheid, geopolitik, dan penindasan agama yang melanda rakyat Palestin, biar pun berdepan risiko tekanan dari negara-negara lain yang tidak sehaluan.

Melalui peranan aktif inilah, maka sumbangan terbesar Malaysia di dalam isu Palestin dapat dilihat. Perjuangan memastikan hak kemanusiaan, keadilan, kedaulatan dan kemerdekaan Palestin secara langsung juga akan menghasilkan sebuah negara dengan nilai-nilai madani yang dicari.

Semoga resolusi yang dicapai semasa sidang tergempar ini dilihat sebagai sebuah suara kesatuan yang ingin melihat keadaan kacau bilau di Semenanjung Gaza dihentikan serta-merta. Mungkin ada persepsi yang mengatakan resolusi ini hanyalah satu daripada banyak resolusi OIC yang hanya berbentuk retorik tanpa tindakan yang berani, namun inilah antara langkah yang harus kekal diteruskan. Sesi forum yang diadakan sepatutnya memberi isyarat jelas kepada PBB untuk memberi tekanan diplomatik, ekonomi, dan tindakan undang-undang antarabangsa ke atas rejim Zionis Israel. Ini bukanlah sebuah desakan mentah, malah pernah dilakukan sebelum ini terhadap Iraq yang menceroboh negara Kuwait. Juga tindakan ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat terhadap Taliban di Afghanistan yang dikatakan bertanggungjawab ke atas serangan World Trade Centre pada 2001.

Semoga dengan usaha kerajaan Malaysia yang konsisten terhadap perjuangan pembebasan Palestin di arena antarabangsa ini akan mengembalikan kemerdekaan untuk tanah yang diberkati Allah ini, sebagaimana firmanNya di dalam ayat pertama Surah Al-Isra’. Sebuah kemerdekaan yang sebenarnya sudah pun dicapai pada 15 November 1988, sebagaimana diisytiharkan oleh Almarhum Yasser Arafat, pemimpin pembebasan Palestin dan pemenang Anugerah Nobel Keamanan.

……

Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pengajian Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di rusli@uniten.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...