BM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAIsu Semasa @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Merungkai benang kusut isu Palestin perlukan tindakan konsisten

526
Kita wajib melakukan apa jua sedaya mungkin bagi membela nasib mereka di Palestin. Gambar oleh Ehimetalor Akhere Unuabona - Unsplash

Oleh: Rusli Abdul Roni

Perbualan santai bersama rakan tentang isu Palestin telah membawa saya ke suatu refleksi diri bahawa sememangnya, isu Palestin telah menjadi satu perkara yang telah berakar di hati ramai di seluruh pelosok dunia. Walaupun tidak dapat dinafikan masih terdapat yang belum memahaminya secara utuh dan bertindak mengikut yang sepatutnya.

Konflik berlarutan di Palestin telah memberi kesan besar dan mendalam kepada rakyat Palestin khasnya. Sebagai manusia, terutama yang bergelar muslim kita semua mempunyai tanggungjawab agama (iman), moral dan kemanusiaan untuk memahami dan menyuarakan keprihatinan kita terhadap isu ini. Bagi muslim isu dan konflik Palestin ini bukan sahaja tumpuan keprihatinan, tetapi juga sebagai ladang amal jariyah menggapai habuan syurga dan reda Allah SWT.

Oleh kerana itu, bagi pemerhati, merungkai isu dan konflik ini perlu memahami perkara-perkara berikut: pertamanya adalah penting untuk memahami bahawa konflik Palestin bukan hanya masalah agama semata. Justeru, isu ini merentasi sempadan agama, bangsa dan negara. Ia turut melibatkan elemen politik, sosial, ekonomi,toritorial geografi yang rumit. Ini bermakna bahawa sebagai individu atau masyarakat umat yang peduli dan prihatin, kita perlu mencari pengetahuan utuh tentang sejarah konflik ini dan asal-usulnya. Ini adalah langkah pertama yang penting untuk memahami secara mendalam isu tersebut. Sehingga kita boleh memberi solusi tepat dan bersasar, tepat pada masa dan tempatnya, sesuai dengan kondisinya, kena dengan caranya, secara adil dan saksama, serta bermarwah.

Selanjutnya, kita perlu menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin kepada dunia. Ramai daripada mereka menghadapi penderitaan yang luar biasa akibat konflik yang tidak berkesudahan ini. Kita boleh berkontribusi dengan menyalurkan sumbangan dana kemanusiaan melalui agensi-agensi kemanusiaan, organisasi, NGO yang dipercayai, amanah dan aktif di wilayah Palestin dan wakil-wakilnya yang tersebar di suluruh dunia. Termasuk menyediakan pasukan keselamatan, bantuan perubatan dan sokongan moral juga penting untuk meringankan beban penderitaan saudara kita di palestin. Khasnya kanak-kanak Palestin, generasi yang akan meneruskan kelangsungan Negara Palestin dan penjaga al-aqsa al-syarif serta bumi ambiya’ tercinta yang malang ini.

Selain itu kita juga mempunyai peranan penting dalam menyedarkan masyarakat dunia tentang isu Palestin. Melalui media sosial dan penyiaran kesedaran, kita boleh memainkan peranan dalam memangkin kesedaran global tentang isu dan konflik Palestin ini. Kita percaya dalam era digital ini, suara individu memiliki impak yang besar dalam menentukan keputusan-keputusan global.

Di sisi lain, melobi pihak berkuasa adalah tindakan yang penting juga. Para elitis politik dan pemimpin dunia mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan jitu yang boleh membawa kepada penyelesaian konflik. Dengan tekanan dari masyarakat, mereka dapat merasakan keperluan untuk terlibat dalam perbincangan damai dan mencari penyelesaian yang berkekalan dan berterusan, bukan bermusim. Sehinggalah bumi yang diberkati ini (Al-Isra’:1) benar-benar mendamaikan dan menyatu padukan penduduk dunia tanpa mengira bangsa, negara dan agama serta fahaman politik.

Sebagai manusia yang prihatin, kita perlu menyedari bahawa isu Palestin adalah isu hak asasi manusia. Rakyat Palestin, sama seperti kita, mempunyai hak asasi untuk hidup dalam keamanan, keselamatan, bermartabat, dan mendapat keadilan. Oleh itu, kita perlu terus menekankan hak ini dan menuntut perlindungan dan penyelesaian yang berkekalan terus menerus untuk mereka.

Perlu diambil kira juga, bahawa dalam usaha untuk membantu mencari penyelesaian yang adil, kita harus menolak segala bentuk keganasan. Keganasan hanya akan menimbulkan lebih banyak penderitaan. Penolakan terhadap keganasan dan penghinaan adalah tindakan moral yang penting dalam mencapai perdamaian yang diidamkan oleh semua pihak yang terlibat.

Kemudian, khasnya sebagai Muslim doa adalah alat yang paling kuat dalam usaha kita. Kita harus sentiasa berdoa untuk rakyat Palestin, keselamatan mereka dan penyelesaian yang adil. Ini adalah tugas moral dan spritual kita sebagai manusia khasnya muslim yang peduli terhadap perdamaian dan keadilan di seluruh dunia.

Kesimpulannya, isu Palestin adalah isu kemanusiaan yang memerlukan tindakan konsisten dan jujur daripada semua individu di seluruh dunia. Dengan pengetahuan sejarah, pembangunan solidariti solid, kesedaran mendalam, lobi yang jitu, penolakan keganasan, dan doa, kita semua boleh membantu membawa sinar cahaya penyelesaian yang adil dan perdamaian di wilayah malang yang berkecamuk ini. Itu adalah tugas kita sebagai warga dunia yang prihatin.

……

Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Humaniti, Kolej Pengajian Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di rusli@uniten.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply