BM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Solidariti kemanusiaan merentasi sempadan agama dan bangsa

698
Keganasan dan tindakan genosid yang dilakukan oleh Israel adalah di luar batasan kemanusiaan. Gambar oleh Beyzaa Yurtkuran - Pexels.

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Serangan Israel ke atas Palestin merupakan tragedi kemanusiaan yang besar bagi abad ke-21M. Motif serangan ini adalah bagi memperluaskan kawasan jajahan di Palestin khususnya daerah Gaza dan memusnahkan penguasaan pihak Hamas di samping bertujuan untuk penguasaan kawasan rizab gas yang besar di lautan jalur Gaza.

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Seolah hilang kewarasan akal, mereka bebas membunuh orang awam, meruntuhkan kemudahan hospital dan rumah ibadat. Tindakan mereka direstui oleh banyak pihak dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dinyatakan kepada keganasan yang dilakukan oleh pihak Israel. Ramai pihak menutup mata di atas kekejaman tersebut. Sedangkan serangan Israel ini melibatkan pembunuhan beramai-ramai terbesar sejak kewujudannya pada tahun 1948.

Setiap hari, terdapat banyak gambar kemusnahan massal, orang awam dan kanak-kanak terbunuh dan cedera dipaparkan di media massa, t`etapi ia sedikit pun tidak menjentik hati nurani para penyokong keganasan. Di Malaysia sendiri, wujud golongan yang menyokong tindakan ganas rejim Israel, bahkan pihak yang diserang dan dirampas tanah mereka dianggap sebagai pengganas.

Di media sosial baharu, ramai orang yang membangkitkan isu Palestin sebagai isu umat Islam atau bangsa Arab semata-mata. Hakikatnya, apabila sesuatu peristiwa yang melibatkan genosid, ia bukanlah suatu isu yang melibatkan agama dan bangsa tertentu sahaja, sebaliknya ia merentasi semua agama dan bangsa. Tindakan genosid ini jelas bertentangan dengan akal manusia yang waras dan sangat bertentangan dengan perundangan kemanusiaan antarabangsa, iaitu Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa. Ia memperuntukkan jaminan perlindungan nyawa orang awam, objek awam seperti rumah ibadat, melarang pemusnahan infrastruktur seperti sumber dan bekalan air bersih.

Tetapi pihak Israel telah melakukan pelbagai tindakan kejam seperti penghapusan etnik dengan mengebom orang awam, memusnahkan rumah ibadat, menyekat air bersih, merosakkan tanaman dan merosakkan jaringan elektik, jalanraya dan internet. Berdasarkan laporan hari ke 31 serangan Israel terhadap Palestin di jalur Gaza (7 Oktober-6 November 2023), pihak Euro-Mediterranean Human Rights Monitor telah menunjukkan tren pemusnahan dan pembunuhan yang semakin meningkat. Dampak negatif terhadap penduduk Palestin dari keganasan ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek, di antaranya:

Pertama, ramai mangsa serangan adalah orang awam dan golongan yang tidak berdosa. Ia melibatkan kematian dalam jumlah melebihi 10581 orang di Gaza, dan kecederaan melebihi 25000 orang. Mangsa melibatkan orang awam seramai 9641 orang dan golongan wanita seramai 2761 orang. Gaza ibarat sebuah kuburan kanak-kanak kerana sejumlah 4412 orang daripada mangsa yang meninggal dunia adalah kanak-kanak.

Kedua, kemusnahan kemudahan hospital dan fasiliti kesihatan menyebabkan tiada tempat untuk merawat pesakit, tiada ubatan dan ubatan tidak mencukupi, dan menyebabkan pesakit bertaburan. Sebanyak 20 buah hospital, 50 klinik, 42 biji ambulan telah dimusnahkan dan 135 orang kakitangan perubatan terbunuh. Situasi ini menyebabkan hospital yang masih selamat terpaksa menerima jumlah pesakit yang berlipat kali ganda dalam keadaan yang serba kekurangan. Ditambah lagi jumlah pesakit sedia ada dan wanita yang bakal melahirkan anak..

Ketiga, ramai yang kehilangan tempat tinggal akibat bedilan pihak Israel secara besar-besaran. Sebanyak 51,100 unit kediaman musnah, dan 153,000 unit yang rosak sebahagiannya. Kediaman yang musnah dan rosak menyebabkan sejumlah 1.5 juta orang terpaksa meneruskan hidup dalam khemah-khemah dan di tepi jalan.

Keempat, ramai yang tidak mendapat bekalan air bersih untuk diminum, mandi, membersihkan tubuh badan dan buang air. Keadaan menyebabkan mereka tidak mendapat bekalan air minuman yang mencukupi, terdedah kepada dehidrasi di samping buangan najis dan kumbahan yang tidak bersih dan tidak teratur. Ia boleh menyebabkan jangkitan penyakit.

Kelima, ramai yang tidak dapat berkomunikasi dan mendapatkan khabar saudara mara akibat terputusnya bekalan elektrik dan musnahnya sistem komunikasi. Situasi ini menyukarkan mereka untuk mencapai maklumat terkini tentang situasi kaum keluarga di zon konflik.

Keenam, ramai golongan wanita tidak dapat bersanitasi dengan bersih dan selamat akibat kekurangan tuala wanita. Mereka tidak memakai tuala haid dan memakan ubat untuk menahan haid. Situasi ini boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap kesihatan wanita.

Ketujuh, ramai penduduk Palestin terpaksa menanggung pencemaran bunyi akibat serangan pihak Israel. Mereka dihidangkan dengan bunyi tembakan, pengeboman dan kapal perang di ruang udara di samping bunyi runtuhan dan kehancuran bangunan yang disasarkan.

Kelapan, ramai penduduk Palestin yang mengalami pencemaran udara. Situasi ini berlaku akibat habuk dan debu berterbangan disebabkan runtuhan kediaman dan infrastruktur di samping sampah sarap di sebalik runtuhan bangunan. Keadaan ini boleh menyebabkan penyakit yang berkaitan pernafasan meningkat dalam kalangan penduduk Palestin.

Kesembilan, kerosakan rumah ibadat akibat bedilan tentera Israel menyebabkan umat Islam di Palestin tiada tempat untuk beribadat secara kolektif. Sebanyak 61 buah masjid dan tiga buah gereja dimusnahkan. Masjid yang menjadi pusat spiritual dan aktiviti keagamaan telah dimusnahkan oleh tentera Israel.

Kesepuluh, penduduk Palestin terutamanya di Gaza diancam kebuluran kerana mengalami krisis bekalan makanan. Perosakan sumber air dan tanaman, penyekatan bantuan makanan di pintu-pintu sempadan menyebabkan penduduk Palestin berada dalam situasi kelaparan. Bekalan makanan yang telah habis dan musnah, dan perkakas memasak yang rosak menyebabkan krisis makanan semakin parah.

Kesebelas, serangan tentera Israel telah memusnahkan sebanyak 194 buah sekolah di Gaza sekaligus melumpuhkan sistem pendidikan bagi rakyat Palestin. Situasi ini akan menyebabkan berlakunya gejala keciciran yang besar dalam kalangan kanak-kanak Palestin dan mereka tidak mendapatkan pendidikan yang wajar.

Kedua belas, serangan tentera Israel telah menimbulkan trauma kepada pelbagai lapisan masyarakat. Bunyi pesawat dan tembakan menyebabkan ramai yang mengalami ketakutan dan tekanan psikologi. Ramai yang berasa tidak selamat dan hanya menunggu masa untuk syahid. Penderitaan yang dialami ini adakalanya boleh menyebabkan gejala imsomnia dan tidak cukup tidur.

Ketiga belas, ramai penduduk Palestin yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Pemusnahan sebanyak 740 kemudahan industri, perosakan sumber air dan tanaman seperti zaitun telah menyebabkan ramai yang tidak mempunyai sumber kewangan. Pendapatan yang terjejas menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli barang keperluan.

Keempat belas, penduduk Palestin dipaksa untuk menjadi pelarian. Pihak Israel mendesak dan memaksa agar penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka dan melarikan diri ke bahagian selatan atau Mesir. Tanah milik mereka akan dirampas untuk meluaskan negara haram Israel. Nasib mereka yang berpindah meninggalkan tanah air dan menjadi pelarian adalah tidak jelas.

Tegasnya, keganasan dan tindakan genosid yang dilakukan oleh Israel adalah di luar batasan kemanusiaan dan perundangan antarabangsa. Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan oleh mereka terhadap penduduk Palestin telah direstui oleh kuasa-kuasa besar yang biasanya menjuarai isu-isu hak asasi manusia. Tetapi dalam kes genosid oleh Israel, tiada kecaman atau kutukan dilakukan sebaliknya mereka menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Israel bagi meranapkan negara Palestin.

Justeru, perang Palestin-Israel bukan hanya isu agama dan bangsa semata-mata, tetapi merentasi isu kemanusiaan. Masyarakat dunia perlu menggembeleng tenaga untuk menghentikan konflik ini mengikut kapasiti masing-masing sama ada dengan tangan, iaitu kuasa politik dan demonstrasi, kuasa pembeli dengan memboikot, atau dengan lidah dan tulisan melalui kempen-kempen untuk menghentikan serangan ke atas Palestin, atau dengan hati melalui untaian doa agar penduduk Palestin selamat dan dilindungi Allah SWT.

Dalam konteks Malaysia, sewajarnya semua pihak boleh bersatu hati dalam menghentikan tindakan genosid yang sedang dilakukan dan tidak bersetuju dengan peperangan dan kekejaman terutama kepada golongan yang tidak berdosa. Ini kerana Islam bukan agama keganasan dan tidak menyokong keganasan, bahkan tindakan Palestin adalah dalam konteks mempertahankan tanah air sendiri.

Sebaliknya, isu agama dan bangsa tidak dimanipulasi untuk menafikan kekejaman rejim Israel. Selama tempoh beratus tahun hidup bersama, sepatutnya tiada lagi prejudis antara agama di Malaysia. Kita perlu mencari titik temu untuk tidak bersetuju dengan peperangan dan keganasan pihak Israel yang ingin merampas tanah penduduk Palestin. Sekiranya sikap Islamophobia masih lagi menebal, cita-cita untuk mewujudkan perpaduan menjadi sukar.

Bagi umat Islam sama ada di peringkat antarabangsa atau setempat, isu Palestin perlu menjadi fokus bersama tanpa mengira perbezaan ideologi politik terutamanya dalam menyatakan sokongan terbuka terhadap rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis dan menyalurkan bantuan. Tambahan lagi Nabi SAW telah menegaskan tentang hakikat persaudaraan sebagaimana berikut: “Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam” (HR Muslim).

Sehubungan itu, tindakan genosid ini perlu dihentikan segera dan bantuan kepada Palestin wajar dihulurkan agar dapat mengurangkan penderitaan yang mereka alami.

……

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...