AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNA

Keliru fahami nas agama punca perpecahan ummah

330
Nas agama perlu difahami secara menyeluruh, termasuklah konteks ayat Quran ketika diturunkan. Gambar oleh Anis Coquelet - Unsplash

Oleh: Dr. Mohd. Khairul Naim Che Nordin

Dalam sejarah Islam, gejala kafir mengkafir kepada saudara seagama telah muncul seawal era sahabat. Khawarij merupakan kumpulan pertama yang muncul mengkufurkan mereka yang tidak sealiran pandangan dengan mereka. Gejala seperti ini berterusan sehingga ke masa kini. Ia lebih genting apabila wacana tentang kafir, munafiq, fasiq dan lain-lain diukur nilai menurut lensa politik dan bukannya menurut perspektif akidah yang sahih. Gejala ini lebih berleluasa dengan perkembangan media sosial di mana wacana tentang hukum akidah ini dibahas pula oleh orang awam yang majoritinya tidak berkeahlian dan cenderung pula kepada perspektif pegangan politik yang tertentu. Walau apapun bentuk perkembangannya, faktor utama kepada gejala kafir-mengkafir ini berlaku apabila salah faham terhadap maksud nas sama ada dalam al-Quran dan juga hadis. Dalam ajaran Islam, selain nas sebagai sumber agama, kaedah dalam memahami nas juga adalah setara penting bagi mencapai tujuan makna yang dimaksudkan oleh Allah dan Nabi.

Dr. Mohd. Khairul Naim Che Nordin

Bagaimana boleh ditentukan seseorang itu salah dalam memahami nas? Pertama, kefahaman itu adalah berdasarkan kesimpulan sendiri dan bukannya didasari dengan kaedah yang tepat seperti yang ditunjukkan oleh para ulama. Kedua, istilah iman, kufur, syirik, nifaq dan jahiliyyah yang terdapat dalam nas ditafsirkan secara literal dan diumumkan pula untuk semua konteks dan keadaan. Sedangkan, setiap istilah yang digunakan dalam nas ada makna dan tujuannnya yang tersendiri. Sebagai contoh, penggunaan lafaz iman dalam al-Quran dan hadis digunakan untuk merujuk kepada iman yang sempurna dan bukan bermaksud iman semata-mata. Ini kerana jika sesuatu nas merujuk kepada iman semata-mata maka seseorang yang disebut tidak mempunyai iman telah kufur sedangkan nas tidak bermaksud sedemikian.

Dalam surah al-Anfal ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” Maksud “orang yang beriman” dalam ayat di atas ialah orang yang sempurna imannya. Ia tidak bermaksud jika seseorang itu tidak gementar hatinya atau tidak bertawakkal maka dia telah kafir kerana tidak beriman. Maksud yang sama boleh dirujuk kepada firman Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 1-10. Sebahagian ayat itu bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.” Ciri-ciri iman dalam ayat di atas merujuk kepada mereka yang sempurna imannya iaitu antaranya ialah khusyu’ dalam solat dan menjauhi perbuatan yang melalaikan. Ini tidaklah bermakna mereka yang tidak khusyu’ dalam solat itu telah kafir dan tidak beriman.

Hal yang sama boleh dilihat dalam hadis-hadis sabdaan Nabi s.a.w. Ia boleh diteliti khususnya dalam hadis tentang cabang-cabang iman. Contohnya ialah hadis: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Begitu juga hadis: “Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah dia tidak beriman! Iaitu sesiapa yang jirannya tidak merasa selamat daripada kejahatannya.” Selain itu Nabi bersabda: “Dia tidak beriman dengan aku. Iaitu sesiapa yang bermalam dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya lapar padahal dia mengetahuinya.” Oleh itu hadis-hadis ini tidak menafikan keimanan pelaku. Apa yang dinafikan dengan sebutan “tidak beriman” itu ialah menafikan kesempurnaan iman. Hal ini juga tidak menjadikan seseorang yang melakukan dosa besar sebagai kafir dan terkeluar dari agama. Ini seperti sabdaan Nabi: “Seorang penzina tidak akan berzina, jika ketika itu dia beriman. Seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia beriman…” Lafaz tidak beriman ini adalah tiadanya kesempurnaan iman bagi seseorang yang melakukan dosa besar. Atas sebab tersebut, hukuman yang dikenakan kepada pelaku zina dan peminum arak ialah hukum had dan bukannya tertakluk kepada hukum murtad. Oleh itu, Ahli Sunnah wal Jamaah jelas berpendirian bahawa pelakuan maksiat dan dosa besar tidak akan mencabut keimanan dari hati seseorang.

Manakala lafaz kufur pula perlu diteliti berdasarkan konteks ayat. Ada kufur yang bermaksud pengkufuran secara langsung kepada Allah dan ia disebut kufur akbar. Dalam al-Quran kufur untuk kategori ini boleh difahami dalam dua bentuk. Pertamanya kufur asal seperti kufurnya golongan dahriy yang menolak kewujudan Allah, atau mereka yang mengingkari kerasulan Rasul. Ia seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 136: “Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya…” Keduanya ia merujuk kepada kufur yang mendatang iaitu kufur yang membawa kepada murtad. Sebagai contoh, seseorang yang menolak keyakinan terhadap perkara asas dalam agama atau menukar keyakinan akidahnya.

Namun, istilah kufur juga digunakan untuk perbuatan maksiat. Ia dimaksudkan secara kiasan (majaz) dan bukan hakiki iaitu tidak menyebabkan seseorang pelaku itu kafir. Lafaz kufur ini digunakan antaranya untuk menunjukkan sesuatu perbuatan yang dilakukan serupa seperti mana amalan orang kafir atau dengan maksud kufur nikmat (tidak bersyukur dengan nikmat Allah). Nabi s.a.w bersabda: “(Penghubung) antara seorang lelaki dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat.” Dalam hadis yang lain Nabi bersabda: “Ikatan janji antara kita dengan mereka ialah solat. Sesiapa yang meninggalkannya, dia telah kufur.”

Istilah yang lain seperti nifaq, syirik dan lain-lain juga adalah sama seperti yang dibincangkan di atas. Ada munafiq dalam konteks akidah iaitu mereka yang menzahirkan keimanan dengan lidah dan tindakan, dan ada pula munafiq dalam perbuatan sahaja iaitu yang merujuk kepada Muslim yang mempunyai perangai dan akhak seperti orang munafiq namun mereka membenarkan apa yang ada dalam akidah.

Pelabelan seseorang sebagai kafir atau munafik sebenarnya membawa implikasi pada aspek syariat. Oleh kerana itu dalam Islam, penentuan seseorang itu kafir atau tidak hanya akan diputuskan oleh hakim. Penentuan itu pula mestilah berdasarkan bukti yang jelas dan bukannya berdasarkan andaian semata. Sehubungan itu, Sheikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti dalam karyanya Kubra al-Yaqiniyyat menyatakan, “Allah tidak membebankan kepada kita dalam perkara di sebalik yang zahir (aspek keimanan seseorang). Maka tiada hak bagi seseorang untuk memberi hukum ke atas sesuatu yang ghaib terhadap orang lain (tidak diketahui secara zahir).” Melabel seseorang tidak cukup Islam, atau lebih buruk disebut terkeluar dari agama sebenarnya tidak menjadikan iman kita lebih baik. Kesempurnaan iman dicapai dengan mengukuhkan keyakinan sendiri, memperbanyakkan amalan dan mendalami ilmu agama.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di khairulnaim@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mencari kepuasan kerja dalam Islam

Oleh: Prof Madya Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi Pekerja merupakan aset bagi...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mengurus raksasa narsisisme di tempat kerja

Oleh: Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin Berhadapan dengan pelbagai jenis karakter individu adalah...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJenayahUTAMA

PDRM edar lakaran fotolit suspek kes simbah asid

KUALA LUMPUR. 19 Mei 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengedarkan...