NILAI, 20 September – Sepasang kembar seiras teruja meraikan majlis graduasi mereka bersama pada Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.
Muhammad Shah Hazimi Azlan Shah (abang) dan Muhammad Shah Hakimi Azlan Shah, 21, (adik) masing-masing menerima Sijil Operasi Perhotelan dan Sijil Servis Kenderaan Ringan antara penerima diploma dan sijil pada Sidang 5 bagi Kolej Komuniti Zon Selangor pada majlis konvokesyen yang berlangsung semalam.
“Pada mulanya permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Selayang tidak diterima berikutan kuota yang disediakan telah penuh, namun saya dipanggil pada saat akhir berikutan terdapat kekosongan ketika itu.
Saya mengambil peluang yang diberikan untuk mempelajari ilmu kemahiran dalam industri hospitaliti sementara kembar saya meneruskan pengajian dalam bidang servis kenderaan ringan di Kolej Komuniti Kelana Jaya,” kata Muhammad Shah Hazimi.
Tambahnya, pengalaman menjalani latihan industri di Doha, Qatar sempena Piala Dunia 2022 menjadi platform untuk dirinya mengasah bakat dan nilai kemahiran yang dipelajari di kolej komuniti ke peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu, pasangan kembarnya, Muhammad Shah Hakimi melahirkan kesyukuran dapat berada di atas pentas bersama pasangan kembarnya itu bagi meraikan kejayaan mereka bersama ibu bapa dan keluarga.
Minat dalam bidang automotif tercetus apabila Hakimi bekerja di bengkel kenderaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila beliau ditawarkan dengan gaji yang rendah berbanding pekerjaan yang mempunyai kemahiran dan sijil.
“Saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di kolej komuniti di mana para pelajar diberikan berpeluang untuk mempelajari teknik-teknik dalam mengurus kenderaan dan mengubah suai kenderaan selain berpeluang menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan di pelbagai peringkat,” jelasnya di sini.
Mereka berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 Sidang 5 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar.
Majlis konvokesyen ini berlangsung mulai 18 hingga 21 September ini dengan menghimpunkan 105 kolej komuniti di seluruh negara melibatkan seramai 6,375 orang graduan bagi sesi kali ini. Majlis konvokesyen kali ini turut menyambut sambutan dua dekad atau 20 tahun penubuhannya sejak tahun 2001.
Leave a comment