BM @ MY LNAOKU @ My LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNA

Kesedaran awal ibu bapa bantu optimum potensi anak OKU

403
Anak OKU berhak diberi peluang yang sama untuk menyerlahkan potensi diri mereka. Gambar oleh Pavol Stugel - Unsplas

Oleh: Dr. Hanira Hanafi

Berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, OKU bermaksud “termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat”.

Dr. Hanira Hanafi

Berdasarkan data terkini (sehingga 31 Januari 2023) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, golongan OKU yang paling ramai mendaftar adalah dari kategori OKU Masalah Pembelajaran iaitu seramai 235,751 orang. Golongan ini merupakan mereka yang mempunyai masalah berikut samada secara ringan, sederhana atau teruk: Global Developmental Delay (GDD), Sindrom Down, Attention Defisit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autisme (Autism Spectrum Disorder), Kurang Upaya Intelektual dan Specific Learning Disability (Specific LD – Dyslexia Dyscalculia Dysgraphia).

Golongan OKU Masalah Pembelajaran adalah golongan yang paling berisiko kerana kebanyakan anak-anak dari kategori ini kelihatan normal dari segi rupa paras mereka. Ini menyebabkan ramai ibu-bapa tidak menyedari berkaitan masalah yang dialami oleh anak-anak mereka dan menganggap sikap anak-anak, contohnya tantrum, lambat bercakap, terlalu lasak, terlalu leka dengan gajet dan tidak fokus adalah perkembangan normal bagi kanak-kanak di usia mereka.

Ibubapa yang mempunyai anak yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) sepatutnya mempunyai kesedaran dan pendedahan awal berkaitan perkara-perkara penting yang mampu membantu anak OKU mereka untuk membesar dan memaksimakan potensi diri. Kesedaran awal yang dimaksudkan adalah mengetahui perkara-perkara penting yang perlu dilakukan bagi membantu kelangsungan hidup anak OKU sehingga mereka dewasa. Perkara penting tersebut termasuklah:

1. Mendapatkan pengesahan dari Pakar Kesihatan berkaitan status anak OKU

Umumnya, ibubapa perlulah memantau perkembangan anak sejak dari lahir dan memastikan perkembangannya adalah selari dengan “developmental goal” anak mengikut peringkat umur masing-masing. Oleh yang demikian, ibu-bapa tidak sepatutnya mengambil mudah pemeriksaan kesihatan berkala yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan melalui buku ‘Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak (0-6)’. Kebiasaannya, buku ini akan dibekalkan bagi setiap bayi (perempuan bewarna merah jambu dan lelaki buku bewarna biru) yang lahir lebih-lebih lagi di hospital kerajaan dan swasta di Malaysia. Buku tersebut bertujuan merekodkan secara berkala perkembangan bayi/kanak-kanak sehingga usia 6 tahun. Rekod tersebut termasuklah program imunisasi yang telah diambil, carta perkembangan dan gaya hidup bayi/kanak-kanak, ujian saringan perkembangan tingkahlaku anak dan kesihatan pergigian.

Apabila menyedari sesuatu yang “di luar kebiasaan”, ibubapa boleh melaporkan kepada doktor semasa sesi perjumpaan bulanan/tahunan. Oleh itu, pemeriksaaan berkala mengikut temujanji yang ditetapkan dalam buku rekod ini dapat membantu mengesan masalah-masalah yang dialami oleh anak-anak dalam tempoh yang lebih awal dan seterusnya tindakan atau intervensi awal dapat dilaksanakan bagi membantu anak-anak OKU Masalah Pembelajaran.

Pihak doktor kebiasaannya akan melakukan pemeriksaan dan ujian-ujian tertentu sehinggalah sekiranya perlu, akan mengesyorkan untuk mendapatkan kad OKU. Pihak doktor juga memberikan temujanji dan rawatan/intervensi susulan mengikut keperluan yang sepatutnya bagi membantu anak-anak OKU memaksimakan potensi diri mereka. Sebagai contoh, terapi percakapan bagi anak yang lambat bercakap dan terapi pekerjaan bagi membantu melatih kemahiran motor kasar dan halus anak.

2. Mencari kumpulan sokongan yang sesuai dengan ketidakupayaan anak

Ibu bapa juga perlu cakna dengan keperluan-keperluan lain bagi anak-anak OKU contohnya bagi Masalah Pembelajaran kerana mereka terdiri dari pelbagai jenis kategori yang berlainan keperluan. Ini termasuklah penjagaan pemakanan, terapi dan nurseri yang bersesuaian. Informasi ini dapat ditingkatkan dengan menyertai kumpulan sokongan mengikut kategori ketidakupayaan anak masing-masing. Terdapat pelbagai kumpulan sokongan yang mampu membantu ibubapa dengan perkongsian maklumat. Di samping itu juga, kumpulan sokongan ini amat penting untuk berkongsi pengalaman dan emosi. Bahkan, keperluan memastikan emosi yang stabil di kalangan ibubapa merupakan perkara pokok agar ibubapa tersebut dapat memenangkan diri mereka dan seterusnya menyokong perkembangan anak OKU dengan sabar dan berpengetahuan.

3. Mengenalpasti peluang pendidikan berdasarkan potensi anak

Setelah memperolehi kad OKU, perancangan pendidikan anak-anak OKU juga boleh dibuat dengan lebih awal dengan mengenal pasti lokasi sekolah-sekolah kerajaan dan swasta yang sesuai dan berdekatan dengan tempat kerja/tinggal. Sebagai contoh, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan sesetengah sekolah dengan kelas khas bagi kanak-kanak OKU untuk bersekolah bersama-sama dengan kanak-kanak normal yang dikenali sebagai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Kanak-kanak OKU ini juga menjalankan proses saringan dan sekiranya layak dan sesuai, mereka juga diberikan peluang untuk menyertai rakan-rakan kelas perdana bagi kesemua subjek atau subjek tertentu sahaja.

Di samping itu, KPM juga menyediakan elaun bulanan khas untuk anak-anak OKU yang bersekolah yang dikenali sebagai Elaun Murid Berkeperluan Khas sehingga mereka mencapai umur 18 tahun. Begitu juga dengan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan secara percuma untuk kesemua anak-anak OKU yang hadir ke sekolah. Bagi membantu proses intervensi kanak-kanak OKU Masalah Pembelajaran juga, pihak KPM turut menyediakan kemudahan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) di mana ianya pelbagai perkhidmatan untuk membantu murid berkeperluan khas (MBK) termasuklah menyediakan perkhidmatan konsultasi mengikut bidang khusus iaitu Peripatetik, Audiologi, Patalogi Pertuturan Bahasa, Terapi Carakerja dan Psikologi bagi menyokong pendidikan MBK secara menyeluruh.

4. Mengenal pasti peluang dan inisiatif latihan pekerjaan bagi kelangsungan hidup anak OKU

Seterusnya, peranan ibu bapa juga amat penting untuk menyedari dan memahami peluang dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan untuk kelangsungan hidup anak OKU kelak. Perkara ini termasuklah inisiatif yang disediakan oleh kerajaan dalam menyediakan latihan-latihan yang bersesuaian untuk mereka terlibat dalam bidang pekerjaan. Contohnya, Kementerian Sumber Manusia melalui HRD Corporation juga menyediakan pelbagai latihan yang dikenali sebagai OKU Talent Enhancement Program (OTEP) untuk menyediakan warga OKU terlibat dalam bidang pekerjaan. OTEP bertujuan untuk membantu OKU di Malaysia dengan kemahiran yang betul bagi mendapatkan penempatan pekerjaan. Program ini juga bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada penduduk terpinggir, meningkatkan keterangkuman masyarakat kita, serta memberi kesedaran dan kesediaan kepada masyarakat tentang penerimaan OKU di tempat kerja.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi inisiatif dan peluang yang disediakan oleh kerajaan kepada anak-anak OKU termasuklah inisiatif pasport secara percuma, inisiatif cukai, inisiatif pencen terbitan dan sebagainya. Di samping itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memberi sokongan, perangsang dan pendedahan yang wajar kepada anak OKU agar mereka merasa tidak dipinggirkan dan diterima dalam masyarakat.

Konklusinya, kesedaran awal oleh ibu bapa adalah penting dalam membuat intervensi awal dan merancang sekaligus melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang sesuai bagi membantu meningkatkan potensi optimum anak OKU mereka.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di hanira_hanafi@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKomunikasi Digital @ My LNA

Julina Johan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan baharu

PUTRAJAYA, 13 Mei 2024 – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) memaklumkan bahawa Puan...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Semenanjung Minahassa, Sulawesi

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi pada jam...