BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Literasi kewangan pelajar penentu keberhasilan Belanjawan MADANI

435
Tahap literasi kewangan pelajar perlu berada di paras optimum bagi menentukan kejayaan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI. Gambar oleh Kelly Sikkema- Unsplas

Oleh: Dr. Adilah A. Wahab

Pada Februari lalu, Perdana Menteri (PMX) yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI. Untuk tahun 2023, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan RM15.3 bilion berbanding RM14.5 bilion tahun sebelumnya.

Dr. Adilah A. Wahab

Antara inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2023 Malaysia MADANI khusus untuk pelajar di institusi tinggi adalah (1) RM6.6 bilion untuk pinjaman pendidikan dan kemudahan melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Peneraju, dan Universiti Teknologi MARA (UiTM); (2) peruntukan sebanyak RM6.7 bilion untuk memperkasakan inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); dan (3) diskaun 20 peratus untuk bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 Mac hingga 31 Mei tahun ini.

Namun, inisiatif-inisiatif yang terkandung di dalam Belanjawan 2023 Malaysia MADANI ini mungkin hanya dapat di manfaatkan majoritinya oleh pelajar yang celik kewangan. Pelajar yang tidak celik kewangan akan mengendahkan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

Pelajar di institusi tinggi perlu memahami nilai wang, mengurus kewangan dan membuat perancangan dengan sedikit dana yang mereka ada untuk masa hadapan. Apabila pelajar celik dan terancang kewangannya, mereka tidak akan gusar akan kewangan mereka dan lebih cemerlang dalam pengajian.

Berdasarkan tinjauan RinggitPlus, pada tahun 2022, 70 peratus rakyat Malaysia menyimpan kurang daripada RM500 sebulan. Bermakna, 7 daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai simpanan sebanyak RM500 atau kurang.

Dua faktor utama yang menghalang pelajar di institusi tinggi daripada menyimpan wang ialah literasi kewangan yang rendah dan kekurangan persediaan untuk merancang kewangan. Kajian mengenai “Kajian Pasaran Modal Belia 2022” oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan bahawa majoriti belia Malaysia mempunyai literasi kewangan yang lemah.

Justeru, apabila pelajar institusi tinggi tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung yuran pengajian mereka sepanjang kursus pengajian, sukar bagi mereka untuk memberikan tumpuan kepada pembelajaran. Lebih membimbangkan jika pelajar menghadapi kecemasan, seperti kemalangan, kematian ahli keluarga, kerosakan komputer, atau keperluan untuk kediaman sementara yang bakal akan menjejaskan prestasi akademik mereka.

Oleh itu, pelajar institusi tinggi perlu celik kewangan. Kajian juga membuktikan betapa literasi kewangan boleh membantu untuk mengurangkan jurang kekayaan termasuklah jurang di antara pendapatan isi rumah, etnik mahupun jantina.

Sebagai contoh, terdapat perbezaan yang besar antara pendapatan isi rumah dari sudut literasi kewangan. Pada tahun 2022, agihan pendapatan isi rumah antara kumpulan etnik Cina dan Bumiputera ialah 1:0.71. Khususnya, pendapatan isi rumah kaum Cina adalah RM 3,000 lebih tinggi daripada pendapatan isi rumah Bumiputera. Ini selari dengan analisis literasi kewangan yang

dilakukan oleh SC yang menunjukkan bahawa belia Cina mempunyai tahap literasi kewangan yang lebih tinggi daripada belia Bumiputera.

Terdapat dua langkah utama yang boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk mewujudkan pelajar institusi tinggi yang lebih bersedia dan celik kewangan. Langkah pertama, kerajaan khususnya KPT, boleh membangunkan satu program pendidikan literasi kewangan negara yang disepadukan untuk pendidikan rendah, menengah dan institusi tinggi.

Sebelum ini, Malaysia melancarkan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2019–2023. Matlamat utama adalah untuk meningkatkan pendidikan kewangan dan literasi kewangan rakyat Malaysia. Terdapat lima pelan strategik yang terkandung di dalam strategik tersebut: menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang dan persaraan, meningkatkan akses kepada pengurusan kewangan, memupuk pembangunan tabiat kewangan yang baik dalam kalangan populasi sasaran, dan melindungi kekayaan.

Bagaimanapun, tidak semua pelan strategik dalam Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2019–2023 dilaksanakan dengan sebaiknya. Sehingga kini, terlalu sedikit usaha untuk menggalakkan literasi kewangan di peringkat awal kanak-kanak, sekolah rendah atau sekolah menengah.

Negara jiran kita, Singapura mempunyai program literasi kewangan yang komprehensif untuk rakyatnya. Pada tahun 2003, program pendidikan kewangan Singapura MoneySense telah diperkenalkan. Program MoneySense menggalakkan kesedaran dan kepentingan kewangan dalam kalangan kanak-kanak dari sekolah rendah hingga institusi tinggi.

Program MoneySense mendidik prinsip dan kewangan asas kepada murid sekolah rendah, termasuk cara membezakan antara keperluan dan kehendak, berbelanja mengikut kemampuan kita dan konsep berjimat cermat.

Manakala bagi pelajar sekolah menengah, Program MoneySense mencerakinkan konsep perancangan kewangan asas dan penggunaan kredit secara beretika. Untuk pengajian tinggi, program MoneySense melibatkan pelajar dengan pengalaman sebenar dalam analisis kos-faedah dan kemahiran pengurusan wang yang mantap.

Langkah kedua untuk meningkatkan literasi dan kesediaan perancangan pelajar di institusi pengajian tinggi adalah melalui pembinaan indeks untuk literasi kewangan pelajar dan kesediaan merancang kewangan sebelum mereka mendaftar di universiti yang disasarkan. Melalui inisiatif ini, institusi pengajian tinggi akan dapat meramalkan keadaan dan literasi kewangan setiap pelajar berdasarkan indeks, dan mereka akan dapat menawarkan bantuan kewangan atau memaklumkan pelajar berkenaan literasi kewangan, perancangan kewangan, pinjaman dan sokongan.

Untuk perlaksanaan indeks literasi dan kesediaan merancang kewangan, pelajar perlu melengkapkan soal selidik mengenai literasi kewangan dan kesediaan perancangan kewangan. Hasil daripada soal selidik tersebut akan dipertimbangkan mengikut pemberat yang ditetapkan dan yang akhirnya akan membentuk indeks khusus untuk setiap pelajar. Hasilnya, universiti dan pelajar akan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai literasi kewangan pelajar dan kesediaan merancang kewangan untuk pembelajaran pelajar di institusi tinggi dan masa hadapan.

Kebiasaannya, pelajar institusi tinggi di Malaysia akan merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar atau Bursari untuk memohon bantuan atau melaporkan keadaan kewangan mereka. Sehingga hari ini, Malaysia tidak mempunyai indeks atau pengukuran standard yang boleh digunakan untuk mengenal pasti status dan kestabilan kewangan pelajar.

Ringkasnya, kerajaan dan institusi tinggi perlu membentuk pelan strategik literasi kewangan dan indeks literasi dan kesediaan merancang kewangan yang kukuh dan dipantau rapi oleh pakar kewangan untuk memberi meningkatkan literasi dan kesediaan merancang kewangan pelajar institusi tinggi Malaysia. Apabila wujud ramai pelajar yang celik kewangan, jurang pendapatan dapat dikurangkan dan kemajuan negara akan dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia—selari dengan gagasan besar Malaysia MADANI.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di adilahw@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNA

Tiada Gangguan Bekalan Air Mei ini, Air Selangor tangguh penyelenggaraan LRA Sungai Selangor

Oleh : JomCheck Talian JomCheck baru-baru ini telah disoal berkenaan kesahihan mesej...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Sumbawa, Indonesia

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Sumbawa pada pukul...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Shopee Jamin Pembelian Tanpa Risiko dengan 15 Hari Pemulangan Percuma

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2024 – Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia...