BM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNA

Sama-sama merencana pembangunan Malaysia MADANI yang diidamkan

317
Sama-sama kita merancang dan menjayakan Malaysia MADANI demi kemakmuran kita semua. Gambar oleh Hao Pan - Unsplash

Oleh: Dr. Mohd Khairul Naim Che Nordin

Kira-kira lebih dua dekad yang lalu, seorang intelektual Melayu iaitu Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud telah mengusulkan istilah ‘pengislahan’ yang memberi makna ‘kebaikan’ bagi menggantikan perkataan ‘pembangunan’ yang banyak digunakan dalam kertas-kertas dasar, polisi serta silibus pendidikan di setiap peringkat. Usulan ini bukanlah semata pertukaran bersifat tatabahasa sahaja tetapi berasaskan faktor makna atau semantik yang terkandung dalam istilah ‘pembangunan’ itu sendiri. Ia punyai justifikasinya kerana istilah ‘pembangunan’ menayangkan makna berciri fizikal iaitu ‘bangun’ dan ‘membangun’ yang mengisyaratkan kefahaman tentang seseorang yang bangkit dari tidur, atau usaha membina dan membuat sesuatu menjadi maju dan berkembang. Bahkan jika ditelusuri lawan kepada kata bangun dan pembangunan ialah mundur dan pemunduran, iaitu suatu yang bersifat merosot atau surut ke belakang. Namun sekali lagi perlu difahami bahawa sesuatu yang berhenti dari ‘membangun’ tidak semestinya tidak baik.

Dr. Mohd Khairul Naim Che Nordin

Sehubungan itu, tidaklah aneh untuk kita melihat reaksi masyarakat kini yang memahami maksud pembangunan dengan pembinaan menara dan bangunan tinggi yang secara simplistik digandingkan pula dengan impak dari pembangunan melulu seperti kesesakan jalan raya, kemusnahan alam sekitar, urbanisasi yang mengubah lanskap alam serta kepadatan penduduk. Ia sehingga dengan itu pula memanculkan luahan sesetengah pihak yang antaranya menyatakan, “biarlah kami tidak maju pun asal boleh hidup bahagia di kampung,” atau “hidup di bandar penuh sengsara” serta lain-lain lagi. Dari sisi ekstrem yang berlawanan pula, pembangunan dilihat mestilah membabitkan sebarang kemajuan bersifat kebendaan sehinggakan sebarang aktiviti yang tidak menampakkan kegiatan jasmani seperti berfikir, berzikir, menulis, mendidik dan lain-lain dilihat tidak menyumbang kepada pembangunan.

Ketika kita masih berbalah tentang maksud ‘pembangunan’ ini, masyarakat Barat telah membentuk suatu piawai ukuran yang dinamakan sebagai Indeks Kebahagiaan Dunia pada tahun 2012. Namun menariknya inspirasi pembentukan indeks ini diambil dari negara Bhutan yang telah mempunyai indeksnya yang tersendiri seawal tahun 1972. Kita boleh sahaja mempersoalkan setiap ukuran yang ditetapkan oleh indeks tersebut namun kita juga perlu menyedari bahawa beberapa peradaban maju telah bergerak ke hadapan melihat matlamat mencapai ‘bahagia’ dalam pembangunan.

Matlamat mencapai ‘bahagia’ dalam setiap gerak laku hidup termasuklah dalam pembangunan sebenarnya telah diajar oleh Islam. Bahagia tidak boleh dicapai hanya dengan kemewahan ekonomi atau keseronokan diri. Ia mungkin memberi rasa gembira yang sementara namun bukan bahagia yang berkekalan. Bahkan istilah ‘masyarakat atau negara yang bahagia’ sebenarnya tidak wujud melainkan ia adalah cerminan bahagia sebilangan besar individu dalam masyarakat tersebut. Oleh itu bahagia yang dimaksudkan dalam Islam merujuk kepada keyakinan diri individu tentang kehidupan ini yang membabitkan tanggungjawab selaku khalifah di bumi serta destinasi akhir mereka di akhirat. Inilah apa yang dinyatakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang keadaan diri yang yakin terhadap Allah serta penunaian amalan diri berdasarkan keyakinan tersebut sehingga hati merasa damai dan tenteram. Keyakinan ini sudah pasti perlu terhasil dari ilmu yang benar.

Namun bagaimana ‘bahagia’ ini dapat diaplikasi dalam kehidupan bernegara? Usaha kerajaan memperkenalkan dasar Malaysia Madani dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan seimbang yang menyediakan makna bahagia seperti yang dinyatakan di atas. Enam nilai terasnya iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan setidaknya menonjolkan tumpuan kerajaan kepada pembangunan berteraskan keseimbangan rohani dan jasmani dan tidak lagi hanya memfokuskan kepada pembangunan bersifat kebendaan semata-mata.

Cabaran kepada kerajaan adalah untuk merealisasikan apa yang dirancang ini. Namun, setiap lapisan masyarakat juga perlu menyedari bahawa matlamat baik ini tidak mampu dicapai tanpa sokongan mereka. Ini hanya boleh direalisasi apabila pemimpin di setiap peringkat melaksanakan amanah dan cekap menangani masalah besar rakyat; pendidik dan sistem pendidikan yang bermatlamat melahirkan insan yang berilmu, berakhlak dan juga berkepakaran tinggi; ahli ekonomi yang melihat harta sebagai alat untuk mencapai matlamat yang baik; serta ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan bekal agama tanpa menafikan keperluan dunia.

Oleh itu pembangunan dalam Islam tidak cukup sekadar dengan slogan ‘Islam’ yang digunakan tetapi bagaimana ia menyediakan diri individu sebagai hamba Allah yang taat dan juga warnegara yang baik. Justeru, penyediaan pendidikan yang saksama, seimbang dan menyeluruh, penyuburan budaya ilmu, pengagihan kekayaan yang adil, fasiliti awam yang lengkap dan berkesan, keperluan air dan tenaga elektrik yang mencukupi dan lain-lain merupakan tanggungjawab kerajaan yang wajib dilaksanakan. Dalam masa yang sama tugas individu adalah untuk membangunkan diri sendiri dalam aspek keilmuan dan kehidupan beragama.

Inilah yang disebut sebagai pengislahan iaitu melahirkan insan yang baik dalam semua segi kehidupan.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mencari kepuasan kerja dalam Islam

Oleh: Prof Madya Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi Pekerja merupakan aset bagi...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mengurus raksasa narsisisme di tempat kerja

Oleh: Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin Berhadapan dengan pelbagai jenis karakter individu adalah...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJenayahUTAMA

PDRM edar lakaran fotolit suspek kes simbah asid

KUALA LUMPUR. 19 Mei 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengedarkan...