KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2023 – Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Tuan Haji Akmal Nasrullah Bin Mohd Nasir telah merasmikan Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan bertempat di Kawasan Lapang AU3 Setiawangsa (Taman Komuniti Keramat Wangsa) pada pagi ini.
Menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pembangunan Taman Komuniti tersebut telah dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan geran bernilai RM1 juta yang diterima atas kejayaan menggungguli tempat pertama dalam Anugerah Inisiatif Negara Taman Terindah pada Tahun 2019.
“Projek ini melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, trek jogging, laluan pejalan kaki, kawasan riadah dan kawasan lapang bagi aktiviti kemasyarakatan penduduk sekitar.
Anugerah Inisiatif Negara Taman Terindah adalah satu bentuk pengiktirafan oleh KPKT kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah menunjukkan kualiti pembangunan landskap yang terbaik. Ia merupakan usaha bersama dalam mela ksanakan perancangan, pembangunan dan pengurusan infrastruktur landskap yang komprehensif, melalui penyediaan kawasan hijau dan landskap yang bermanfaat kepada masyarakat.” kata KPKT.
Dalam pada itu, Akmal berkata landskap bukan hanya bersifat estetika semata-mata, malah merupakan satu keperluan hidup dan merangkumi aspek pemerkasaan ekonomi, perekayasaan sosial dan kemampanan alam sekitar atau ’The 3 Pillars of Sustainability’ sebagai pra-syarat kepada kriteria sebuah Negara Maju.
”KPKT melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) sedang giat memperkemaskan sistem jaringan landskap negara, melaksanakan inisiatif serta program berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan aset landskap, meningkatkan kualiti perkhidmatan landskap dan memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu. Ia selari dengan bidang dan tanggungjawab KPKT yang merangkumi aspek Perbandaran dan Kerajaan Tempatan, Agenda Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals-SDG) di peringkat tempatan khususnya di bawah SDG 11: Perbandaran Dan Masyarakat Mampan (Sustainable Cities and Communities) menjadi fokus KPKT ke arah menjadikan bandar dan penempatan manusia yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.
”KPKT terus memberi fokus kepada aspek daya huni (liveability) yang menjadi satu instrumen penting dalam menentukan keselesaan persekitaran kehidupan. Setinggi-tinggi ucapan tahniah saya ucapkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atas kemenangan tersebut dimana hasilnya dapat dilihat melalui kejayaan pembangunan Taman Komuniti di mana kita berada pada ketika ini.’’ kata Akmal.
Peningkatan jumlah penduduk yang semakin tinggi di kawasan perbandaran telah meningkatkan keperluan ruang hijau bandar sebagai medium interaksi sosial dan rekreasi. Justeru, pelaksanaan Projek Pembangunan Landskap Persekitaran kehidupan di Kawasan Lapang AU3 Setiawangsa tersebut diharap dapat dimanfaatkan dan dipelihara sepenuhnya oleh komuniti setempat.
Leave a comment