AMKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Memperkasa remaja dengan ilmu halal

611
Wakil UMHRC wakil Nestle para fasilitator serta peserta program Halal Youth Muslim Project (HYMP) yang menyertai program tersebut di Universiti Malaya Kuala Lumpur

Secara umumnya halal memberikan maksud sesuatu perkara yang dibenarkan dan membawa kepada kebaikan. Bagi umat Islam, konsep Halal merupakan panduan yang membenarkan orang Islam memakan makanan dan minuman yang diharuskan oleh Allah SWT. Ini termasuklah berkaitan dengan makanan dan minuman yang dibenarkan oleh hukum Syarak, bersih dan selamat untuk kehidupan seharian. Oleh yang demikian, pengetahuan mengenai ilmu halal adalah amat penting untuk dikuasai oleh orang Islam malah amat bermanfaat untuk turut dipelajari oleh segenap lapisan masyarakat lain.

Untuk memastikan penguasaan ilmu pengetahuan dalam bidang halal dapat dikuasai dengan baik, pendidikan mengenai ilmu halal haruslah disampaikan dengan berkesan agar pengetahuan ilmu halal ini dapat digarap dengan baik dan memberikan manfaat kepada kepada orang Islam dan segenap lapisan masyarakat lain. Sebagaimana pengguna dewasa yang mempunyai pemahaman tentang konsep makanan halal, kalangan remaja juga perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi.

Peserta meneliti isi kandungan produk barangan harian dan menentukan status produk berdasarkan panduan yang telah diberikan semasa ceramah tentang kesedaran halal

Selaras dengan matlamat Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC) untuk mendidik masyarakat melalui ilmu halal, UMHRC menyahut seruan ini untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran halal menerusi program “Halal Youth Muslim Project” (HYMP) kepada remaja. Program HYMP ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada remaja mengenai pengetahuan tentang produk halal di samping peluang-peluang kerjaya yang dapat diceburi dalam bidang halal. Program ini telah ditaja oleh geran penyelidikan dalaman Universiti Malaya iaitu geran UMCares (RUU2022-CE (04)) yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), Dr Zalina Zakaria. Program ini merupakan kesinambungan bagi program “Halal Genius Muslim Project”, iaitu sebuah program yang menerangkan tentang kesedaran halal kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah yang telah dijalankan pada tahun 2020 dan 2021. Menurut Dr Zalina, “Bagi melahirkan generasi harapan yang berpengetahuan dan berkualiti, anak-anak perlu dididik dari awal dan golongan muda perlu proaktif dalam menimba ilmu pengetahuan bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan dalam pelbagai wahana termasuklah dengan menyertai program ilmiah seperti program “Halal Youth Muslim Project” (HYMP).

Sesi ceramah tentang peluang kerjaya di dalam bidang Halal oleh Tuan Nasrul Hadi Mohamed Nor Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia

Untuk menjayakan program ini, UMHRC telah bekerjasama dengan Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyelaras program GENIUS Remaja, sebuah program Kebangsaan yang memperkasa remaja-remaja dari kumpulan B40 di Pusat Komuniti Genius Remaja PPR Pantai Ria, Pusat Komuniti Genius Remaja PPR Sri Pantai, Pusat Komuniti GENIUS Remaja PPR Kg. Muhibbah dan Pusat Komuniti Genius Remaja PA Desa Rejang, Kuala Lumpur. Program HYMP ini telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 3 Disember 2022 dan 27 Mei 2023. Peserta-peserta program yang terlibat berumur daripada 13 hingga ke 19 tahun dan merupakan peserta program GENIUS Remaja. Selaras dengan konsep “Halal untuk Semua” penyertaan peserta-peserta program turut dibuka kepada remaja bukan Muslim dan tidak terhad kepada remaja Muslim sahaja. Sambutan yang diterima adalah amat baik dan peserta dapat memahami serta mendapat pendedahan tentang kepentingan pengetahuan halal dan peluang kerjaya yang luas di dalam bidang halal.

Program HYMP telah dianjurkan selama setengah hari dan merangkumi tiga sesi iaitu sesi ceramah halal, sesi aktiviti berkumpulan dan sesi ceramah kerjaya dalam bidang halal. Bagi memastikan kelancaran program ini, seramai 10 orang fasilitator terdiri daripada pelajar Universiti Malaya dan pembantu penyelidik UMHRC turut serta dalam mengendalikan sesi-sesi sepanjang program berlansung. Fasilitator ini bertanggungjawab untuk memastikan setiap sesi berjalan dengan lancar dan memantau seramai 30-40 peserta semasa program berlangsung.

Wakil UMHRC, wakil Nestle, para fasilitator serta peserta program Halal Youth Muslim Project (HYMP) yang menyertai program tersebut di Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Untuk sesi ceramah santai, peserta telah diberikan pendedahan mengenai UMHRC, konsep berkaitan dengan halal seperti definisi-definisi penting dalam pengetahuan halal, sumber makanan halal serta pensijilan halal di Malaysia. Peserta program telah diberikan Buku Nota Halal yang mengandungi maklumat ringkas dan padat tentang definisi-definisi penting pengetahuan halal dan pensijilan halal di Malaysia. Seterusnya, bagi sesi aktiviti berkumpulan, aktiviti ini memerlukan para peserta untuk bekerja secara berkumpulan bagi melaksanakan tugas yang telah diberikan. Semua tugasan yang diberi adalah bertujuan untuk menguji kefahaman peserta tentang ceramah asas halal yang telah diberi. Ketika sesi ini, fasilitator akan menyelaras dan membantu peserta untuk melakukan aktiviti, mengenalpasti dan mengkelaskan sumber-sumber serta produk-produk kepada kategori halal, haram atau syubhah.

Peserta meneliti isi kandungan produk barangan harian dan menentukan status produk berdasarkan panduan yang telah diberikan semasa ceramah tentang kesedaran halal

 Peserta turut mempelajari teknik yang betul untuk melakukan proses “sertu” ataupun Islamic cleansing oleh pengajar yang bertauliah. Selain mendidik peserta dalam menguasai pengetahuan halal, sesi aktiviti berkumpulan turut dapat meningkatkan kemahiran sosial serta keyakinan diri peserta melalui sesi pembentangan dan persembahan. Sesi terakhir adalah sesi ceramah kerjaya dalam bidang halal, dimana peserta diberikan penerangan tentang peluang kerjaya di dalam bidang Halal oleh penceramah jemputan daripada penaja program, iaitu Nestlé Malaysia. Ceramah kerjaya telah disampaikan oleh Tuan Nasrul Hadi Mohamed Nor, Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia dimana peserta program telah diberikan pendedahan mengenai peluang kerjaya yang dapat diceburi bukan sahaja di Malaysia malah peluang kerjaya dalam bidang halal di peringkat antarabangsa.

Sesi ceramah tentang peluang kerjaya di dalam bidang Halal oleh Tuan Nasrul Hadi Mohamed Nor, Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia

Penganjuran HYMP mendapat maklum balas yang positif bukan sahaja daripada pelajar, malah dalam kalangan tenaga pengajar yang rata-rata menyambut baik usaha yang dilakukan oleh UMHRC. Menurut salah seorang daripada tenaga pengajar program GENIUS Remaja, Pn Filiz Adila, program ini adalah sangat bermanfaat dan dapat memberi kefahaman tentang kandungan serta aspek keselamatan bagi makanan, minuman serta produk-produk yang ada di pasaran. Berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada pihak rakan kolaborasi dan peserta program, pihak UMHRC berharap agar program ini dapat diteruskan dan dikembangkan di masa hadapan bukan sahaja kepada golongan remaja, malah kepada seluruh lapisan masyarakat agar ilmu pengetahuan halal dapat terus disampaikan untuk memberi manfaat serta kebaikan kepada semua.

……

Artikel disediakan oleh Noreena Nordin, Pegawai Penyelidik Sosial di Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC). Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti geran penyelidikan RUU2022 – CE (04). Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Noreena di noreen@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAKomunikasi Digital @ My LNASains, Teknologi & Komunikasi @ My LNAUTAMA

Sistem CIPM MCMC raih anugerah

CYBERJAYA, 18 Mei 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAUTAMA

MOTAC siasat insiden 300 jemaah haji terkandas di Mekah

PUTRAJAYA, 17 Mei 2024 – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri...

AMBM @ MY LNAJenayahUTAMA

Jabatan Imigresen Malaysia serbu kilang E-Waste didalangi warga asing

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah premis tidak...

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Wahai mahasiswa, sudah dimanfaatkankah kebebasan yang diberi oleh universiti?

Oleh: Dr. Abdul Muqit Muhammad Kebebasan akademik merupakan roh yang menghidupkan masyarakat...